Friday 15 December 2017

Gaya hidup punca masalah kewangan

Perubahan gaya hidup menjadi punca bebanan kewangan rakyat. Banyak perbelanjaan yang dahulunya tidak perlu, kini menjadi senarai perbelanjaan.

Dahulu tidak ada kos membayar bil internet dan telefon pintar, tetapi kini menjadi senarai penting. Masa tahun 80an tidak ada televisyen berbayar. Dahulu tidak ada restoran besar yang menyediakan berbagai jenis makanan dari Korea, Jepun dan Barat.

Dahulu, rakyat menggunakan air paip atau air telaga tanpa ditapis. Tetapi kini boleh dikatakan setiap rumah ada penapis air yang setengahnya harga mencecah RM5000.

Dahulu kalau sakit urat atau lengah badan, cari tukang urut atau makan majung. Namun, sekarang ada 'tukang urut' di rumah yang dibeli dengan harga puluhan ribu ringgit.

Semua itu perubahan gaya hidup yang memerlukan kos. Tidak salah untuk berubah asalkan mendapat keselesaan hidup. Namun, jika tidak mampu, hiduplah secara ikut kemampuan. Kata pepatah, ukur baju di badan sendiri. Satu lagi peribahasa adalah, kalau kail sejengkal, lautan dalam jangan diduga. Jangan buat sesuatu di luar kemampuan kita.

Kalau ingin menikmati kehidupan lebih baik, berusahalah lebih gigih. Rebut peluang yang ada walaupun terpaksa mengorbankan masa dan tenaga. Utamakan kerja dan kurangkan berangan-angan. Cepat mengambil keputusan dan cepat bertindak. Jangan lepaskan peluang dengan alasan ada lagi peluang yang sama pada masa hadapan. Masa terus berjalan biarpun kita tidak menggunakannya. Inilah punca mengapa kita tidak berjaya.

Kelemahan dan kekurangan kita jangan disalahkan kepada orang lain. Sikap menyalahkan pihak lain tidak akan mengubah keadaan menjadi lebih baik. Sebaliknya, terimalah kelamahan dan kekurangan dengan reda. Pada masa sama berusahalah untuk memperbaiki kelemahan itu. Betulkan apa yang salah. Tambah apa yang kurang. Dengan cara itu sahaja kita akan menjadi lebih baik.

Ketika rakyat bercakap tentang terpaksa berdepan masalah ekonomi, warga asing masih menjadikan Malaysia lubuk rezeki. Mereka sanggup menghabiskan banyak wang semata-mata ingin bekerja di Malaysia. Malah, mereka sanggup berdepan segala resiko, termasuk maut di perjalanan untuk sampai di Malaysia. Maka itu, bersyukurlah menjadi rakyat Malaysia dan hargai peluang yang ada.

No comments:

Post a Comment