Dalam
akhbar dan majalah serta televisyen kerap menyiarkan kisah penderitaan individu
dan keluarga yang memerlukan bantuan orang ramai. Betapa banyaknya insan di
sekeliling kita yang sebenarnya boleh dikategorikan sebagai bernasib
malang.
Laporan
itu bukan sekadar untuk melariskan jualan akhbar, tetapi juga merupakan satu
tanggungjawab sosial yang perlu dilaksanakan. Laporan itu juga bukan setakat
untuk dibaca dan kemudian tidak ada apa-apa yang belaku. Ia memerlukan tindakan
orang ramai untuk mengubah keadaan menjadi lebih baik.
Alhamdulillah,
setakat ini, banyak laporan yang disiarkan di akhbar mendapat respon yang
positif daripada pihak yang berkaitan dan orang ramai. Nasib insan malang yang
dilaporkan itu sedikit terbela dan ada yang dapat menyelesaikan masalah yang
membelenggu selama ini.
Sumbangan
itu tidak kisahlah sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta, tenaga, khidmat
nasihat dan apa-apa jua yang dapat membantu golongan itu. Setiap sumbangan
pastinya memberi kebaikan kepada penerimanya.
Rakyat
Malaysia memang terkenal dengan sikap prihatin dan pemurah. Jika ada bencana di
luar negara, rakyat Malaysia adalah antara yang terawal menghulurkan
bantuan.
Pelbagai
jenis tabung yang dikendalikan oleh kerjaaan, pihak swasta dan NGO diwujudkan
untuk menerima bantuan orang ramai bagi disalurkan kepada mangsa atau golongan
yang daif di luar negara. Kutipannya ada yang mencecah jutaan ringgit untuk
setiap tabung.
Beberapa
nama NGO Malaysia kini terkenal di seluruh dunia, khususnya di negara yang
pernah mereka menyumbangkan bantuan. Malah, ada NGO antarabangsa dengan
kerjasama NGO Malaysia kini menjadikan Malaysia sebagai pangkalan hadapan untuk
menyalurkan bantuan bencana di negara-negara rantau Asia.
Selain
memberi bantuan di peringkat antarabangsa, kita sepatutnya turut memberi tumpuan
untuk membantu golongan daif di negara kita. Mereka ini sepatutnya lebih
diutamakan untuk mendapat bantuan kita. Ini tidak pula bermakna perlu
menghentikan bantuan kepada rakyat di negara lain.
Hubungan
peringkat antarabangsa memang perlu diwujudkan. Ia secara langsung menaikkan
imej negara di mana masyarakat antarabangsa. Rakyat negara kita juga mungkin
pada masa akan datang memerlukan bantuan luar negara apabila berlaku bencana
besar.
Kepada
yang bernasib baik, bersyukurlah dan menghargai setiap kebaikan yang dimiliki
sekarang. Salah satu tanda bersyukur ialah menghulurkan sedekah dan bantuan
kepada yang memerlukan. Masyarakat prihatin mudah tersentuh hatinya untuk
menyumbang membantu individu lain yang mengharapkan bantuan.
Sedikit
sumbangan yang dihulurkan kepada golongan daif atau mengharapkan sesuatu
bantuan amat bermakna. Bagi golongan kaya mungkin merasakan jumlah itu terlalu
kecil yang sekadar cukup untuk sekali belanja. Memang jurang perbezaan
perbelajaan golongan kaya dengan golongan miskin amat ketara.
Jumlah
yang disediakan untuk sekali makan di hotel mungkin boleh digunakan untuk
belanja makan sebulan bagi satu keluarga miskin. Sekali berbelanja di pasar
raya bagi orang kaya mungkin menyamai pendapatan sebulan seisi rumah golongan
miskin. Jika tidak penuh sebuah troli, akan terus dicari-cari barang biarpun
tidak begitu penting untuk digunakan.
Jika
diperhatikan, memang besar jurang perbezaan perbelanjaan antara golongan kaya
dengan golongan miskin. Ketika ada golongan miskin mengikat perut tiada apa
yang hendak dimakan, golongan berada pula berbelanja mewah memenuhi kehendak
hati. Perkara ini menjadi perkara biasa dalam semua masyarakat.
Memang
tidak salah golongan kaya berbelanja apa yang diingini. Itu juga satu motivasi
untuk berusaha gigih mencari kekayaan. Apa yang dibelanjakan itu juga membentuk
satu rantaian ekonomi yang turut dinikmati golongan miskin.
Apa
yang diharapkan daripada golongan kaya ialah hulurkan sedikit simpati kepada
golongan miskin. Ringankan tangan untuk menghulurkan bantuan yang pastinya
tidak akan mendatangkan bebanan ekonomi kepada diri sendiri.
Sesungguhnya
golongan kaya diuji sama ada bersyukur dengan apa yang dimiliki dengan membelanjakan
ke arah kebaikan. Manakala golongan miskin pula diuji adakah reda dengan apa
yang terjadi terhadap dirinya.
Dalam
Islam telah terdapat mekanisma wajib iaitu zakat yang mesti ditunaikan oleh
golongan kaya yang cukup syarat wajib zakat. Jika perintah agama ini
dilaksanakan sepenuhnya, nasib golongan miskin akan terbela. Sekarang ini
sistem pungutan zakat di negara kita semakin bertambah bersistematik yang
diuruskan oleh pakar dan berjaya mengumpulkan jumlah yang besar untuk manfaat
golongan yang layak menerimanya.
Jumlah
yang wajib dikeluarkan zakat adalah dianggap sebagai milik golongan yang layak
menerimanya. Pemilik asal haram daripada terus memegang jumlah harta yang
sepatutnya dikeluarkan zakat itu.
Orang
yang enggan mengeluarkan zakat tergolong sebagai tidak sempurna imannya kerana
mengeluarkan zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam yang menjadi tonggak
kesempurnaan keislaman seseorang.
Mengeluarkan
zakat adalah cara untuk membersihkan harta. Harta yang bersih lebih subur dan
diberkati. Ia umpama seperti dahan pokok yang berpenyakit perlu dipotong. Jika
tidak dipotong, penyakit akan merebak ke dahan lain. Sebalik, selepas dipotong,
akan tumbuh tunas lain yang lebih segar.
Selain
zakat, satu lagi tuntutan syariat ialah bersedekah. Islam tidak menetapkan
syarat untuk mengeluarkan sedekah, asalkan mampu melakukan dan tidak pula
mendatangkan mudarat kepada diri sendiri.
Sikap
sesetengah individu yang bersedekah tanpa menghiraukan keperluan sendiri dan
keluarga adalah ditegah. Utamakan dahulu keperluan diri sendiri dan ahli
keluarga, baru difikirkan untuk orang lain. Peraturan ini bukan melahirkan
sikap mementingkan diri, tetapi satu keperluan dalam kaedah fikah.
No comments:
Post a Comment