Wednesday 17 October 2018

KHASIAT POKOK BUAH GUCIL

Pokok gucil atau dieja guchil untuk ejaan lama. Pokok gucil juga dipanggil pokok gunchiak. Seorang teman dari Kedah kata buah gocak. Sumber lain pula menamakan buah binayuyu atau binayuyo. Buah yang semakin sukar ditemui sekarang. 

Ada juga memanggil pokok gucil dengan nama pokok goncar. Apapun nama, pokok gucil kini dikategori pokok nadir atau semakin jarang ditemui.

Pokok gucil biasanya tumbuh di kawasan berhampiran paya dan ada juga di kawasan berbukit. Pokok gucil berbatang keras berdaun kecil. Pokok gucil boleh membesar ketinggian melebihi 15 meter.  

Buah gucil kecil-kecil dan bergugus seperti lada hitam. Buah gucil berwarna hijau ketika muda dan menjadi ungu kehitaman setelah masak. Rasa buahnya ketika muda masam dan menjadi masam-masam manis ketika masak. 
 
Pokok gucil boleh dibiakkan dengan kaedah semaian biji benih dan keratan batang.

Tiada maklumat tentang khasiat buah gucil yang dibuat secara kajian ilmiah. Namun, di kalangan orang kampung secara tradisinya menjadikan pucuk gucil untuk dijadikan ulam. 

Pucuk gucil dan buah gucil dikatakan boleh mengurangkan kencing manis, darah tinggi dan mengatasi masalah penghadaman. 
 
Pucuk atau daun gucil yang diramas dengan air boleh dijadikan pencuci muka untuk mengatasi jerawat dan menyegarkan kulit muka.   

Nama pokok gucil banyak dijadikan nama kampung. Di Kelantan sekurang-kurangnya terdapat dua nama kampung atau tempat menggunakan nama gucil.

Paling popular ialah Guchil di Kuala Krai. Di Kota Bharu terdapat nama Guchil di Jalan Bayam. 
 
Di Kuala Terengganu, Terengganu juga ada nama Kampung Guchil. Di Pasir Puteh, Kelantan dan Jerteh, Terengganu terdapat nama Gong Guchil.
 



 

1 comment:

  1. Terima kasih di atas maklumat berkenaan daun dan pokok gucil.

    ReplyDelete