Sunday, 20 January 2019

ISUNYA BUKAN SOAL TIDAK ISLAMIK

Majlis jamuan malam dan tari menari adalah sebahagian daripada tradisi fraterniti perundangan di negara ini walaupun ia kelihatan agak kebaratan. Fraterniti peguam di Malaysia mempunyai banyak tradisi yang agak unik dan hanya ada dalam profesion itu sahaja, malah kadang-kadang dilihat seperti ‘terlalu ke-Inggerisan.’

Antara tradisi berkenaan, peguam pelatih perlu melakukan kunjungan hormat ke kamar hakim apabila diterima masuk menjadi peguam manakala semasa di dalam mahkamah, para peguam akan memanggil rakan mereka ‘rakan saya yang arif’ meskipun mereka merupakan pihak lawan di dalam mahkamah.

Mengenai fraterniti sebenarnya masyarakat tidak kisah sangat. Yang menjadi kontroversi ialah berikutan klip video tular yang menunjukkan aksi Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Hakim Tan Sri Richard Malanjum dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong menari twist di pentas pada majlis makan malam ‘Opening of Legal Year 2019’ anjuran Sabah Law Society di Kota Kinabalu pada 18 Jan 2019.  

Aksi berkenaan mendapat perhatian ramai dalam media sosial yang menyifatkan kelakuan itu sebagai memalukan institusi kehakiman dan perundangan negara kerana ia melibatkan soal integriti badan kehakiman.

Yang dipertikaikan bukan kerana menari, tetapi hubungan sosial yang sepatutnya ada batasan antara pihak berkuasa tertinggi dalam bidang perundangan dengan barisan peguam.

Bahkan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pernah membuat laporan kepada SPRM mempersoalkan mengenai sikap Peguam Negara (pada ketika itu),Tan Sri Apandi Ali yang menari spontan dengan beberapa menteri kabinet ketika majlis sambutan Hari Kemerdekaan Tahun 2016 apabila berkumandang sebuah lagu trdisional.

Itu acara rasmi kerajaan dan bukannya majlis sosial. Tarian itu tindakan spontan di satu majlis rasmi. Itupun jadi isu besar kepada pembangkang pada ketika itu. Seperti pepatah; meludah ke langit jatuh ke muka sendiri. 

Sebaliknya, majlis di Kota Kinabalu pada 18 Jan 2019 itu adalah majlis sosial yang melibatkan pihak berkuasa tertinggi dalam bidang perundangan negara dengan kumpulan peguam yang secara jelas mempunyai kepentingan dalam urusan tugas seharian.

Jadi, isunya sekarang bukan soal Islamik atau 'patuh syariah' tetapi melibatkan melibatkan soal integriti badan kehakiman. Kita tidak bercakap tentang Islamik atau 'patuh syariah kerana ketiga-tiga individu utama itu bukan beragama Islam.

Elok kita faham kata kata mendalam bekas Hakim Kanan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa berkenaan kehidupan sebenar dan sewajarnya bagi seorang hakim: “Para hakim tidak sepatutnya dikenali. Keadilan adalah buta”.


Kod Etika Hakim 2009 muka surat 1765 yang mana menyebut:


Perkara 8 (1)(a): Seorang hakim hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya TIDAK MENIMBULKAN KERAGUAN yang munasabah tentang keupayaan untuk bertindak dengan saksama sebagai sorang hakim.

Dan

Perkara 8(2): Seseorang hakim hendaklah MENGELAKKAN HUBUNGAN RAPAT DENGAN ANGGOTA PROFESION PERUNDANGAN secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan sedemikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah.

Oleh itu, memandangkan video tersebut menunjukkan 'hubungan rapat' Ketua Hakim Negara dengan peguam-peguam yang masih mempunyai kes perundangan dalam mahkamah di bawah pentadbiran beliau, maka adalah munasabah jika rakyat merasa syak terhadap integriti dan keadilan institusi kehakiman selepas ini.

No comments:

Post a Comment