Sunday 21 April 2019

BUAH KERIAN ADA BANYAK JENIS

Kerian sebuah daerah di Perak. Kubang Kerian pula sebuah bandar di Kota Bharu yang terkenal dengan Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian. Di Terengganu terdapat Kemajuan Tanah Sungai Kerian.

Itu beberapa nama tempat yang menggunakan perkataan 'kerian'. Kerian adalah nama pokok saka berkayu yang tumbuh tinggi. Pokok kerian kini dikategorikan pokok nadir atau semakin sukar ditemui.

Terdapat pelbagai jenis pokok kerian yang membezakan bentuk buah, ukuran dan rasa.

Antara pokok kerian paling popular ialah keriang dot atau juga dikenali dengan nama pokok jambu arang atau jambu hitam. Nama lain keriang dot ialah jamblang, jambang, jambe kleng, jambu kling dan jambu kalang.

Buah keriang dot berbentuk bujur dan saiznya lebih besar. Jadi ialah mendapat perhatian dari penggemarnya. 

Buah ini mempunyai rasa sedikit kelat namun manis apabila benar-benar masak. Kandungan airnya lebih banyak dan enak dimakan.

Satu jenis lagi kerian ialah ukuran buahnya lebih kecil dan berbentuk bulat. Dari segi rasanya tidak banyak beza, kecuali ukuran lebih kecil dan bulat.

Buah kerian sama besar atau kecil ukuran buahnya, menjadi kegemaran kanak-kanak dan orang dewasa pada masa dahulu. 

Pokok kerian banyak tubuh di kawasan kampung dan di dalam hutan. Jadi, tidak sukar untuk mendapatkan buah kerian pada masa dahulu.  

Memandangkan pokok kerian tumbuh tinggi dan buahnya berada di hujung ranting, untuk mendapatkan buah kerian kena tunggu buahnya gugur.

Buah yang gugur sudah masak ranum dan rasanya masam manis. Boleh dimakan terus atau digaul dengan cuka, garam, gula, kicap atau perisa lain.

Pokok kerian hanya berbuah sekali dalam setahun. Di tempat ada pokok kerian akan jadi macam pesta apabila penduduk kampung beramai-ramai mencarinya. Selain sedap dimakan, buah kerian kaya dengan khasiat daripada segi perubatan.

Sesiapa makan buah kerian akan ada kesan hitam pada bahagian lidah dan mulutnya untuk beberapa ketika dan mungkin sehingga sehari kalau makan banyak. 

Namun, kesan hitam itu tidak menghalang penggemar untuk makan buah kerian, bahkan 'bangga' ada tanda hitam sebagai 'memberitahu' bahawa dia makan buah kerian.

No comments:

Post a Comment