Monday 17 October 2016

Sambut Hari Warga Tua

Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan sebagai pengiktirafan kepada warga emas agar mereka tidak dilihat golongan membawa beban.

Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda harus menghargai jasa mereka selama ini. Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita.

Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini? Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara. Golongan ini boleh terus membabitkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dengan menyumbang idea bernas berdasarkan pengalaman mereka.

Samuel Ullman memberikan satu pesan bestari "Nobody grows old merely by living a number of years. We grow old by deserting our ideals. Years may wrinkle the skin, but to give up enthusiasm wrinkles the soul".

Apa yang dapat difahami dari kata-kata ini adalah bahawa jumlah angka pada usia kita tidak penting. Apa yang penting adalah semangat untuk hidup dan memberikan sumbangan berguna kepada manusia di sekeliling kita.

Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku kehidupan yang penuh mencabar ini.

Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat jahat. Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat.

Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.

Warga tua sebenarnya boleh menyumbang tenaga dengan melakukan kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. 

Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar di kawasan kejirannannya. Bekas guru agama wajar mengajar bacaan al-Quran kepada golongan muda di sekitar rumahnya. 

Seorang bekas profesor boleh menulis artikel ilmiah bersesuaian dengan bidangnya. Tulisan itu dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum. 

Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya, mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk menambah sumber rezeki.

Contoh di atas hanya beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. Tentunya golongan ini lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka.

Sumbangan yang diberikan itu, walaupun kelihatan kecil, namun golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil.

Begitu pun, mungkin sesetengah warga tua berpendapat bahawa masa tua adalah waktu untuk berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak. Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana ia akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada.

Sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara. Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah 'sakit'.

Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian. Di samping itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan digalakkan.

Pada masa yang sama, warga emas ini perlu sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.

Proses penuaan adalah perkara semula jadi. Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini. Jadi, elakkan diri daripada sedih atau sensitif jika orang lain mengatakan yang anda kelihatan tua kerana semua orang akan melalui proses penuaan itu.

Usia walaupun meningkat, namun sebenarnya kita masih mam-pu memberikan sumbangan berguna kepada bangsa, agama dan negara. Oleh itu, hadapilah usia emas anda dengan penuh gemilang.

No comments:

Post a Comment