Saturday 31 December 2016

Kebaikan pelajar menabung

Banyak kebaikan amalan menabung. Budaya menabung membolehkan jumlah yang banyak dikumpul secara sedikit-sedikit. Pepatah ‘sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit’ adalah di antara nasihat yang mendidik agar masyarakat menabung hasil pendapatan atau wang yang diperoleh. Jumlah yang sedikit akan menjadi banyak jika amalan menyimpan diteruskan dalam tempoh yang lama.   

Sikap menabung perlu dimulakan sejak awal lagi. Kanak-kanak dan pelajar yang menerima wang daripada ibu bapa patut digalakkan menabung sebahagian wang yang diterima itu.  

Amalan menabung perlu dilakukan biarpun sekadar memasukkan wang dalam tabung sekadar beberapa puluh sen sehari. Perbuatan itu tentu tidak sukar untuk dilakukan yang merupakan jumlah baki perbelanjaan harian.    

Amalan baik yang dimulakan semenjak kecil mudah dibentuk dan menjadi sebati di dalam diri setiap individu. Kebiasaan dilakukan sejak kecil menjadi lambang peribadi yang baik dan mampu berterusan sehingga dewasa. Kata pepatah, ‘meletur buluh biar dari rebungnya’.

Rata-rata pelajar sekarang menerima wang saku dalam jumlah agak besar daripada ibu bapa masing-masing. Sebahagian ibu bapa mampu menyediakan wang lebih memandangkan kedudukan ekonomi keluarga yang baik.  

Jumlah wang yang diterima melebihi jumlah wang yang benar-benar diperlukan, yakni berdasarkan kadar perbelanjaan sederhana. Tidak dinafikan sebanyak mana sekalipun wang dimiliki masih tidak mencukupi jika berbelanja secara boros dan mengikut kehendak hati yang tidak pernah puas dan tiada batasan.

Satu amalan amat keji dan buruk bagi sesiapa berbelanja mengikut hawa nafsu. Syaitan tidak pernah berhenti daripada menggalakkan manusia melakukan perkara yang boleh mendatangkan keburukan.  Sesiapa berbelanja boros merupakan mengikut telunjuk syaitan.

Justeru, peluang mendapat wang saku melebihi daripada apa yang diperlukan sepatutnya tidak menjadikan pelajar berbelanja lebih. Wang diperoleh itu wajar ditabung sebagai simpanan.  Menabung bukan hanya untuk orang miskin, tetapi orang kaya juga perlu menabung.

Biarpun ibu bapa memiliki banyak harta yang boleh digunakan bila-bila masa tanpa had, bukan alasan untuk berbelanja lebih. Berbelanja boros satu kelemahan diri yang perlu diubati agar tidak terus menguasai diri.  

Didapati ramai pelajar yang berbelanja seperti orang dewasa yang sudah bekerja. Mereka memakai pakaian berjenama mahal, memiliki kenderaan mewah, berbelanja di pusat perniagaan terkenal dan bebas ke sana ke mari dengan menggunakan wang disediakan oleh ibu bapa. 

Pelajar yang terlalu dimanjakan oleh ibu bapa selalu mudah lupa diri. Banyak pelajar terjebak dalam kancah kehidupan tidak sihat kerana kemewahan yang dinikmati tanpa batas. 

Banyak pelajar mengunjungi tempat berpeleseran, gejala dadah, seks bebas dan hidup bebas berpunca memiliki wang yang banyak disediakan oleh ibu bapa.   

Kebanyakan pelajar daripada keluarga kaya raya berbelanja sesuka hati. Malah ada yang berbelanja mewah untuk menunjukkan kedudukan keluarga masing-masing. Sikap ego dan mementingkan diri menguasai diri.  

Ketika ada pelajar berbelanja boros, terdapat rakan mereka yang hidup melarat. Satu amalan amat mulia dan berperikemanusiaan jika membantu rakan dalam kesusahan. Kita berusaha untuk membentuk masyarakat penyayang dan bersatu padu. Tolong menolong menjadi lambang kehidupan masyarakat bertamadun.

Pelajar patut sedar setiap sen yang diterima daripada ibu bapa adalah satu amanah agar digunakan untuk kebaikan. Berbelanja dengan cermat dan berhemah satu amalan orang bijak pandai.  

Beringat semasa senang dapat mengelak bencana dan kesusahan yang tidak dapat diduga pada masa hadapan. Langit tidak selalunya cerah. Seperti roda, ada kalanya di atas dan pada masa lain pula berada di bawah.  

Amalan menabung di kalangan pelajar mampu membentuk masyarakat yang berdisiplin dan bermaruah. Setiap individu perlu bijak menilai keperluan hidup tanpa melepasi batas-batas keperluan sehingga membazir dan merugikan.  

Pelajar yang suka mengamalkan sikap membazir akan menjadi amalan sehingga dewasa. Sebenarnya tidak semua bernasib baik terus mendapat kekayaan daripada ibu bapa. Sebaliknya mereka perlu lebih berdikari dan mencari sendiri wang yang diperlukan.  

Justeru itu, pelajar perlu membiasakan diri dengan sikap berjimat dan menabung. Sifat menabung bukan sahaja sebagai simpanan masa depan, tetapi adalah satu pelaburan yang menguntungkan.  

Tidak dinafikan, kebanyakan pelajar kurang jelas mengenai keperluan perancangan kewangan dan pelaburan untuk masa hadapan. Fenomena ini berlaku disebabkan kewangan mereka disediakan oleh ibu bapa dan tidak didedahkan cara mana pengurusan kewangan.

Simpanan dalam institusi kewangan dan saham amanah memberi pulangan lumayan yang meningkatkan jumlah simpanan. Peningkatan itu dapat mengatasi kesan inflasi yang berlaku dalam ekonomi negara. 

Keuntungan dari simpanan diumpamakan seperti keuntungan senyap yang diperoleh sepanjang masa. Pihak lain yang bekerja bagi pihak kita dan memberi keuntungan yang berpatutan.  

Pelajar boleh memilih sama ada untuk menabung dengan institusi perbankan konvensional yang mengamalkan kadar faedah tetap atau sistem perbankan Islam yang berdasarkan kaedah perkongsian untung dan beberapa syarat lain mengikut syariat Islam. 

Pelajar juga boleh melabur wang di dalam saham amanah yang banyak terdapat di negara kita.  Sekarang sudah ada saham amanah yang diwujudkan khas untuk remaja. 

Kewujudan saham amanah tersebut menunjukkan galakan kerajaan agar setiap remaja turut melabur di dalam saham yang memberi pulangan lumayan dan menggalakkan amalan menabung.  

Kebaikan melabur di dalam saham amanah ialah kadar risikonya lebih rendah berbanding jika melabur di dalam pasaran terbuka, terutama ketika dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil.  

Pelaburan dalam saham amanah dikendalikan oleh pakar pelaburan untuk memastikan pelabur mendapat pulangan yang memuaskan. Sedangkan jika melabur di pasaran saham terbuka, individu pelabur sendiri perlu menentukan sektor pelaburan.

Bagi pelajar dari keluarga kurang berkemampuan amat perlu mengamalkan sikap berjimat cermat.  Wang yang diperoleh daripada ibu bapa perlu dihargai sebaik mungkin. Bukan mudah bagi keluarga miskin untuk menyediakan wang perbelanjaan untuk anak-anak, biarpun jumlahnya kecil.

Kebiasannya pelajar dari keluarga miskin terpaksa berikhtiar sendiri melakukan kerja yang dapat mendatangkan wang untuk menampung kewangan keluarga. Hargailah setiap sen yang diperoleh dan berusahalah menabung biarpun dalam jumlah yang sedikit.

Jumlah yang disimpan mungkin membantu menentukan untung nasib masa hadapan. Wang terkumpul boleh digunakan untuk pelbagai keperluan seperti membiayai pengajian di pusat pengajian tinggi, memulakan perniagaan dan sebagainya.  

Biarpun kerajaan menyediakan dana untuk pelajar kurang mampu melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi, jumlahnya tidak mencukupi. Wang sendiri masih diperlukan dalam jumlah yang banyak, terutama ketika mula mendaftar di pusat pengajian tinggi.  

Banyak pelajar cemerlang tidak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi disebabkan masalah kewangan. Masalah itu dapat diatasi jika mereka telah lama menabung untuk tujuan itu. 

Jadi, mulakan sikap menabung mulai sekarang. Anda akan dapat merasakan kebaikannya pada masa akan datang.  

Punca umat Islam hilang kuasa

Bermusuh sama sendiri menjadi punca hilang kekuatan sesama Islam. Umat Islam perlu saling hormat menghormati dan elak daripada sengketa berpanjangan untuk kembali kuat dan berkuasa.   

Menjadi tanggungjawab umat Islam menonjolkan kebaikan dan keindahan Islam, jangan sampai Islam ditempelak dengan perbuatan boleh memalukan dan mencemarkan imej. 


Amat dukacita apabila kelompok yang kononnya  memperjuang Islam, tetapi melakukan perbuatan memalukan, termasuklah menjatuhkan sesama Islam. Sesiapa berpegang kepada ajaran islam perlu mengutamakan perpaduan dan mengelak bercakaran sesama sendiri.

Akibat bercakaran sesama sendiri, pihak lain ambil kesempatan menindas umat Islam. Kelemahan dan kesan buruk yang dihadapi tidak menjadi pengajaran umat Islam apabila terus berpecah sesama sendiri. Lebih malang lagi apabila menyalahkan sesama Islam, tetapi pada masa sama berkerjasama dengan bukan Islam. 

Nampaknya, umat Islam sudah keliru mana pihak yang patut dijadikan kawan dan mana lawan. Sikap gila kuasa menyebabkan umat Islam berpecah sesama sendiri.   

Apa yang nyata, umat Islam masih diliputi mega mendung sengketa dan perbalahan yang seolah-olah tiada penghujungnya. Marilah kita berdoa semoga Allah berkenan melimpah nikmat ukhuwah kepada seluruh umat Islam. 

Semua pihak perlu sedar betapa rugi apabila umat Islam menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata mencetuskan sengketa peperangan sesama sendiri. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya (Surah an-Nisa, ayat 59)  

Kalau dilihat kepada sirah Nabi SAW, baginda datang mengajak masyarakat beriman dengan Allah. Baginda juga mementingkan perpaduan.  

Ini dapat diperhatikan melalui pengorbanan golongan Ansar yang menyerahkan isteri mereka untuk diperisterikan oleh golongan Muhajirin selepas mereka berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah SAW.

Contoh ini senang kita sebut tetapi jangan lupa untuk kita merenungnya dalam-dalam. Hijrah baginda itu berlaku seolah-olah disebabkan ‘tidak berjayanya’ misi dakwah di Mekah.

Malah, berkat perpaduan ketika itu, Nabi SAW berjaya mengharungi pahit getir cabaran berdakwah yang mendapat tentangan hebat kafir Quraisy.

Dalam konteks kita di Malaysia, memang adakalanya kita lalai lalu lupa nikmat keamanan, perpaduan dan kesejahteraan dikecapi.

Kita perlu menghayati firman Allah yang bermaksud: ”Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga” (Surah Ali-Imran, ayat 103).

Akal manusia hebat

Kepentingan ilmu. Umat Islam perlu merebut peluang kelebihan memiliki ilmu. Keghairahan dan berahi menuntut ilmu perlu menjadi budaya di kalangan umat Islam. Dengan kekuatan akal dan ilmu meletakkan kedudukan seseorang pada tahap lebih baik. Mereka dapat memahami matlamat hidup dan patuh kepada perintah Maha Pencipta. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat memahami.” (Surah az-Zumar ayat 9).  

Seharusnya orang Islam tidak melepaskan peluang untuk berjihad melalui menuntut ilmu. Satu jihad yang amat penting dilaksanakan setiap Muslim bagi mengembalikan kedudukan Islam pada tahap kegemilangan.

Skop dan maksud jihad tidak hanya apabila berperang menegakkan Islam. Tindakan sesetengah orang menyertai kumpulan tertentu di luar negara atas alasan berjihad tidak menepati tuntutan Islam. Tindakan mereka membunuh sesama Islam tidak termasuk dalam erti jihad. 

Adalah lebih mudah kita berjihad dengan menuntut ilmu. Sedangkan kebaikannya amat besar dan boleh dikongsikan dengan orang lain. Orang berilmu boleh mengajar dan kongsi ilmu dengan orang lain. Itu sebahagian amalan yang memberi kebaikan berkekalan biarpun selepas meninggal dunia.  

Jangan kita lepas peluang untuk mempelajari sesuatu kebaikan.   

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barangsiapa yang memasuki masjid kami ini (masjid Nabawi) dengan tujuan mempelajari kebaikan atau mengajarkannya, maka ia laksana orang yang berjihad di jalan Allah. Dan barangsiapa yang memasukinya dengan tujuan selain itu, maka ia laksana orang yang sedang melihat sesuatu yang bukan miliknya.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban, Ibnu Majah dan Ahmad). 

Sabda Rasulullah SAW lagi yang maksudnya: "Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali". (Hadis riwayat Tirmizi).

Hari ini kedudukan umat Islam lemah antara lain berpunca kurang penguasaan ilmu moden. Umat Islam menjadi pengguna kepada ciptaan umat lain. Jadi, sudah tentu apa yang digunakan itu bukan yang terbaik untuk umat Islam. 

Proses mencari ilmu paling mudah dan berkesan ialah melalui pembacaan kerana ia dapat dilakukan bila-bila masa dan di mana saja.  

Memiliki buku bermakna sentiasa bersama sahabat yang bersedia mencurah ilmu bila-bila masa. Mereka yang menolak buku daripada menjadi kawan sebenarnya menolak 'kekayaan' yang terdapat di dalam setiap buku.

Malaikat Jibril ketika menyampaikan wahyu pertama menyuruh Rasulullah SAW 'membaca' biarpun baginda sebenarnya tidak boleh membaca. 

Perintah itu adalah simbolik untuk menyatakan betapa pentingnya membaca untuk mendapatkan ilmu. Melalui pembacaan membolehkan manusia mengetahui apa yang tidak diketahui sebelumnya.   

Firman Allah SWT bermaksud: “Bacalah atas nama Tuhanmu yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang telah mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.” (Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5).

Friday 30 December 2016

Membaca proses menuntut ilmu

Membaca satu proses menuntut ilmu, sedangkan menuntut ilmu wajib dilakukan setiap muslim. Ilmu menjadi penunjuk jalan ke arah mencapai kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat. Sesiapa mencari ilmu mendapat keuntungan yang banyak berbanding orang tidak berilmu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Kelebihan orang berilmu ke atas orang yang beribadat adalah seperti kelebihan bulan ke atas seluruh bintang dan sesungguhnya nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, tetap mereka itu mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya, dia mengambilnya dengan mendapat habuan yang banyak." (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Ahli hadis mentafsir kelebihan orang alim yang beramal dengan ilmunya dengan orang beramal tanpa ilmu adalah seperti kelebihan bulan dengan bintang di langit, yakni apabila muncul bulan pernama, maka cahaya bintang lain akan hilang dan lenyap. 

Justeru, kita perlu menjadikan membaca sebagai amalan seharian untuk menjadi masyarakat yang berilmu pengetahuan. Rakyat di negara maju menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya wajib. 

Sesungguhnya, era kegemilangan umat Islam pada masa dulu berpunca penemuan dan penyebaran ilmu. Kemampuan umat Islam pada waktu itu dikagumi dan dihormati masyarakat seluruh dunia. 

Sarjana Islam silam telah menyumbangkan kepakaran untuk kesejahteraan hidup manusia yang digunakan sehingga kini.

Umat Islam perlu bergerak seiring dengan kemajuan dan perubahan dunia. Tumpuan yang perlu diberikan sekarang ialah penguasaan ilmu dalam semua bidang. 

Sesungguhnya amat besar pahala bagi mereka berusaha mencari ilmu sehingga Allah SWT  mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang menjalani jalan mencari ilmu, maka Allah memudahkan baginya jalan ke syurga, dan sesungguhnya malaikat meletakkan sayap-sayapnya bagi penutut ilmu reda dengan apa yang dilakukannya, dan sesungguhnya orang berilmu itu mereka yang di langit dan di bumi akan meminta ampun baginya hingga ikan di air.  (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Proses mencari ilmu melalui pembacaan dapat dilakukan dengan mudah bila-bila masa dan di mana saja. Memiliki buku bermakna sentiasa bersama sahabat yang bersedia mencurah ilmu. Mereka yang menolak buku daripada menjadi kawan sebenarnya menolak 'kekayaan' yang ingin diberikan oleh buku.

Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW  'membaca' biarpun baginda sebenarnya tidak boleh membaca. Perintah itu adalah simbolik untuk menyatakan betapa pentingnya membaca untuk mendapatkan ilmu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Bacalah atas nama Tuhanmu yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang telah mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.” - (Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5).

Napoleon Bonarparte, pemerintah Peranchis yang menaiki takhta kuasa pada tahun 1799 pernah berkata: “Saya lebih takut kepada empat surat khabar di Peranchis daripada empat ribu senjata.  Apabila saya biarkan empat surat khabar itu berleluasa, tentu hanya empat minggu sahaja saya sempat menduduki takhta kerajaan.”

Kata-kata Napoleon itu merujuk kepada pengaruh yang dapat disebarkan melalui bahan bacaan. Dia juga mengungkapkan kata-kata: “Sesiapa yang membaca dan mengamalkan apa-apa yang dibacanya, akan dapat memerintah dunia.”

Kegagalan umat Islam sekarang adalah berpunca daripada kurangnya ilmu berbanding penganut agama lain. Sebab itu, kebanyakan negara Islam mundur dan kadar buta huruf yang tinggi. 

Hukum sambut Tahun Baharu

Sinonim dengan acara sambutan tahun baru adalah perhimpunan mengira detik 12 malam dan persembahan hiburan yang diadakan awal dari itu, kemudian berlanjutan sehingga awal pagi. 

Matlamat dianjurkan sambutan tahun baru sebagai satu motivasi untuk membina azam menempuh cabaran mendatang tahun mendatang dan muhasabah pencapaian tahun yang baru ditinggalkan.

Namun, amat mendukacitkan apabila sambutan tahun baru yang diamalkan di negara kita sekarang banyak yang bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu.  

Banyak acara diwarnai dengan hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, meminum arak dan keriangan mengasyikkan.

Itulah hakikat yang sangat mendukacitakan kita. Ketika masyarakat dilanda kebimbangan berhubung keruntuhan nilai moral dan peningkatan gejala sosial, terutama di kalangan remaja, sambutan tahun baru menyebabkan keadaan menjadi semakin parah.

Golongan muda menjadikan sambutan tahun baru sebagai pesta lebih hebat berbanding hari biasa.  

Budaya hidup merosakkan yang menular di kalangan remaja kini berlatarbelakangkan cara hidup yang sukakan hiburan dan kebebasan, dan amat malang sekali mereka menjadikan sambutan tahun baru untuk menjadikan keadaan lebih merosakkan.   

Keasyikan berhibur dan berfoya melupakan mereka kepada akar umbi sebagai bangsa Timur, apatah lagi jika nak dinilai berdasarkan nilai agama Islam. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dengan berpeluk-cium tanpa segan silu. Mereka langsung tidak menghiraukan pandangan dan sensitiviti orang lain yang turut berada di situ.   

Inilah yang membawa kepada pelakuan seks bebas, pesta arak, penyalahgunaan dadah, lumba motosikal (juga kereta) haram, pergaduhan dan perbuatan luar kawal. Disebabkan terlalu terikut-ikut melayan keseronakan sambutan tahun baru ada yang 'tersemai' zuriat tahun baru. 

Gambaran persepsi songsang tentang nilai moral dan akhlak masyarakat seperti itu perlu diubah.  

Perlu diingat bahawa moral dan akhlak menjadi teras bagi tamadun sesuatu bangsa. Kejatuhan akhlak dan moral adalah permulaan kehancuran sesebuah bangsa. Ia menjadi virus yang merebak di segenap cabang kehidupan sehingga semuanya musnah.

Gambaran keburukan acara sambutan tahun baru bukan bertujuan menakut-nakutkan sesiapa, tetapi untuk renungan semua. Tidak sepatutnya perkara buruk itu dilakukan sebagai ‘azam’ tahun baru.  

Tahun baru yang sepatutnya disambut dengan azam memperbaiki kehidupan telah dimulai dengan noda dan kemusnahan nilai diri.

Berdasarkan itu, amatlah wajar pihak berkuasa lebih tegas mengawal acara sambutan tahun baru. Pihak berkuasa tempatan, polis dan jabatan agama sebagai agensi kerajaan sepatutnya memainkan peranan yang penting dalam membasmi gejala merosakkan ini.

Ibu bapa seharusnya tidak membenarkan anak menghadiri majlis sambutan tahun baru, kecuali yang dianjurkan secara tertib. Selidik dahulu atur cara yang disusun bagi memastikan tidak terselit program tidak bermoral. Jangan terikut-ikut dengan budaya tidak bermoral yang merosakkan kehidupan. 

Lebih baik jika ahli keluarga mengadakan sambutan tahun baru dengan semua berkumpul di rumah. Cara itu 'menghalang' anak daripada keluar menyambutnya bersama rakan-rakan secara tidak terkawal. Untuk lebih meriah, jemputlah ahli keluarga lain dan rakan-rakan. Majlis boleh diserikan dengan jamuan khas sempena tahun baru.       

Tanamkan sikap bersyukur ketika menyambut tahun baru, kita masih dipanjangkan umur dan dapat meneruskan tugsan hidup yang masih belum selesai atau tidak tercapai. 

Janji mesti ditunai elak jadi menafik

Setiap janji mesti ditunaikan. Jika tidak tunai janji itu adalah tanda sikap seorang munafik. Setiap orang perlu melaksana janji yang telah dilafazkan dan menjauhkan sikap suka menipu. Individu paling banyak berjanji ialah mereka bergelar pemimpin. 

Masa paling banyak menabur janji ialah ketika ingin dipilih dan diangkat ke jawatan lebih tinggi. Ketika itu janji dicanang kepada rakyat tanpa memikirkan sama ada mampu menunaikan janji-janji itu atau tidak. 

Apabila berjaya menjadi pemimpin hasil janji-janji yang ditaburkan, mereka menunjukkan sikap yang bertentangan. Mereka bukan sahaja tidak menunaikan janji, sebaliknya marahkan dan melemparkan pelbagai gelaran kepada sesiapa yang ingin menuntut janji. Orang yang menuntut janji pula dipersalahkan dan dijadikan musuh. 


Pemimpin menyeru rakyat melakukan sesuatu berdasarkan kepada hukum agama. Namum, pemimpin sendiri lupa melaksanakan apa yang telah jelas mesti mereka tunaikan. Menunaikan janji itu adalah wajib sepertimana wajibnya membayar hutang. 


Individu jadi pemimpin mesti rela berkorban demi melaksanakan tugas. Seluruh masa dan tenaga tumpukan untuk melaksanakan tugas dengan sebaiknya. Jangan menunding jari dan menyalahkan rakyat jika mereka gagal melaksanakan janji. Mereka yang berjanji, tetapi orang lain pula yang dipersalahkan.  

Pemimpin bukan saja perlu kreatif dan bijak dalam berfikir, tetapi juga mempunyai tubuh badan sihat. Kesihatan amat penting bagi membolehkan seseorang pemimpin sentiasa bersedia melaksanakan tugas yang berkaitan.

Sesungguhnya, jawatan yang disandang tidak boleh digunakan untuk mengumpul kekayaan atau kesenangan sendiri. Mereka berkhidmat untuk kepentingan rakyat dan bukannya memenuhi nafsu sendiri yang pastinya tidak akan pernah puas dengan apa yang telah dimiliki. 

Sifat pemimpin yang mengutamakan kaum keluaga dan kroni akan menimbulkan banyak masalah dalam kepimpinan. Sikap itu termasuk tidak amanah. Mereka akan mencari jalan untuk mengkayakan ahli keluarga dan menafikan hak rakyat. 

Pemimpin tawaduk tidak rungsing hilang sokongan disebabkan tidak memberi layanan istimewa kepada penyokong setia. Sebaliknya, dia lebih takut kepada pembalasan Allah jika gagal melaksanakan tugas dengan baik.

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah, wahai Tuhan yang memberikan kerajaan. Engkau memberi kerajaan (kekuasaan) kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau gugurkan (jatuhkan) kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau muliakan dan Engkau hinakan orang yang kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Ali Imran, ayat 26)

Islam galak aktiviti sukan

Islam galak bersukan, riadah, senaman dan aktiviti lasak untuk kesihatan minda dan cergas. Individu kuat lebih diutamakan di sisi Allah SWT. Banyak kebaikan dapat dilakukan jika sihat dan cerdas. Manakala, individu yang lemah menjadi beban kepada individu lain.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih kasih kepada Allah daripada mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim).

Namun, tidak banyak individu muslim memahami kepentingan sukan dari sudut perspektif Islam. Sukan lebih dilihat dari sudut untuk bersuka ria dan membuang masa.

Sebenarnya, bersukan juga satu ibadah jika dilakukan dalam ruang lingkup tuntutan agama. Rasulullah SAW sendiri minat bersukan dan menggalakkan umatnya bersukan. Antara hadis berkaitan sukan ialah arahan supaya ibu bapa mengajar anak-kemahiran memanah dan menunggang kuda.

Suruhan Rasulullah SAW supaya belajar memanah dan berkuda tentu tidak untuk semata-mata berperang. Islam agama syumul melihat kepentingan sesuatu perkara dari sudut yang luas.

Rasulullah SAW dalam hadis yang lain turut menyebut tentang berenang. Tentu kita terfikir mengapa perlu belajar berenang, sedangkan di padang pasir tidak banyak tempat berair. Inilah keperluan peringkat global yang dilihat oleh Rasulullah.

Umat Islam mesti bergerak ke serata alam untuk menyebarkan Islam. Salah satu persiapan ialah kemahiran yang bersesuaian dengan tempat yang dituju.

Penggunaan kapal menjadi pengangkutan utama pendakwah Islam bergerak ke seluruh pelusuk dunia, termasuk di Melaka yang menjadi pelabuhan utama dunia pada masa lalu.

Dalam sejarah Islam turut tercatat mengenai pembentukan tentera laut yang besar dilakukan Muawiyah Abi Sufian, sehingga berjaya menyeberangi Laut Mediterranean dan seterusnya menguasai Andalusia (Sepanyol).

Jika umat Islam hanya memikirkan keperluan setempat, sudah pasti tidak ada siapa yang ingin belajar berenang ketika zaman Rasulullah SAW. Pemikiran Rasulullah SAW melepasi batasan masa dan geografi mengajar sesuatu yang penting untuk kebaikan umat Islam.

Individu yang berfikiran lahiriah mudah terpesona dengan kekuatan luaran. Bersukan menampilkan ciri-ciri kekuatan luaran. Lihatlah susuk badan ahli sukan. Kelebihan ini ada manfaatnya.

Catatan sejarah membuktikan kekuatan fizikal Rasulullah SAW berjaya mengislamkan seseorang. Kisahnya, ahli gusti kafir Quraisy, Rukanah bin Abu Yazid bin Hashim pernah mencabar Rasulullah SAW membuktikan mukjizatnya.

Syarat pertandingan itu ialah jika Rasulullah SAW menang, Rukamah akan memeluk Islam. Akhirnya, Rasulullah SAW memenangi pertandingan gusti yang diadakan tiga pusingan itu.

Pastinya keadaan yang sama berlaku di mana-mana. Apa yang penting, sukan berjaya mendedahkan masyarakat umum mengenai Islam. Manusia mudah terpesona dengan sesuatu yang hebat.

Sukan di samping mempunyai faedah lahiriyah, turut mendatangkan faedah batiniah atau rohani. Bersukan mengajar kepada semangat kerjasama, jatidiri, tabah, jujur, ikhlas, tidak mudah menyerah kalah, rajin, kesungguhan dan nilai murni lain. Sifat yang tertanam dalam diri tidak hanya diamalkan ketika bersukan, tetapi diterapkan juga dalam aktiviti lain.

Sukan kini mengandungi nilai ekonomi yang tinggi. Kelab bola sepak, bola keranjang dan pemotoran kini berstatus syarikat gergasi yang tersenarai di bursa saham. Pendapatan pemain profesional telah mencecah puluhan jutaan ringgit setahun.

Mencari rezeki melalui sukan tidak menyalahi syariat Islam. Ganjaran yang disediakan dapat menaikkan semangat dan keupayaan ahli sukan. Mengikut riwayat, Rasulullah SAW pernah mengadakan pacuan kuda dan memberi hadiah kepada pemenangnya. (Riwayat Ahmad).

Peluang ini mesti direbut sepenuhnya. Ia turut melibatkan keuntungan ekonomi kepada industri pelancongan, pengangkutan, pengiklanan, penyiaran, peralatan sukan dan peralatan kesihatan. Semua ini melibatkan keuntungan yang besar kepada pihak yang terlibat secara langsung dalam aktiviti sukan dan masyarakat seluruhnya.

Tidak dinafikan, mengapa negara Barat mementingkan sukan adalah untuk menjana ekonominya. Masyarakat dunia mengenali Sepanyol, Itali, Jerman, Argentina, Brazil dan Britin melalui liga bola sepak yang diminati masyarakat seluruh dunia.

Umat Islam perlu melihat sukan melalui prespektif yang luas. Jadikan sukan senjata membina kekuatan setanding dangan masyarakat lain.

Imam Ibnul-Qayyem di dalam kitabnya ‘Zad-Al-Ma`aad’, menyatakan pergerakkan ialah asas kepada sukan. Ia menolong badan membuang sisa makanan dengan cara tabii. Ia menjadikan badan aktif, meningkatkan immuniti badan dan melindungi badan daripada penyakit. Setiap organ ada jenis sukan yang sesuai dengannya. Bagi menunggang kuda, memanah, bergusti dan berlumba-lari, merupakan sukan yang memberi manfaat kepada seluruh badan.

Monday 26 December 2016

Acara sambutan Hari Pahlawan

Sambutan Hari Pahlawan diadakan bagi peringati jasa perajurit yang gugur pertahan keamanan dan kemerdekaan tanah air dalam Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan Zaman Darurat.

Kerajaan Malaysia telah mengiystiharkan tarikh 31 Julai sebagai Hari Pahlawan sempena tamatnya darurat pada tarikh sebut pada tahun 1960.

Namun, acara sambutaan Hari Pahlawan pertama kali diadakan pada 4 Ogos 1968. Upacara julung kali itu telah diadakan di Tugu Negara, Kuala Lumpur mencatat sejarah acara sambutan yang kemudiannya diadakan setiap tahun.  

Turut hadir di upacara tersebut Tan Sri Sardon Jubir, Menteri Pengangkutan, diplomat-diplomat asing, orang-orang kenamaan dan pegawai-pegawai angkatan tentera dan polis.

Upacara sambutan telah dimulakan dengan bertafakur bagi mengenang pahlawan-pahlawan yang telah gugur, diikuti dengan bacaan doa dan meletakkan kalungan bunga serta menaikkan bendera.

Satu perbarisan khas telah diadakan oleh sepasukan pegawai-pegawai pasukan tentera. Upacara sambutan, yang sama juga telah diadakan di negeri-negeri lain termasuk Johor, Perlis, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Di Johor, upacara meletakkan kalungan bunga telah diadakan di Tugu Peringatan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Osman Saat dan dihadiri oleh 300 orang terdiri dari pasukan tentera dan polis.  

Di samping sambutan di Tugu Negara, kerajaan telah melancarkan kutipan derma Rayuan Hari Pahlawan sebagai membantu para perajurit di seluruh tanah air.

Biarpun tarikh 31 Julai diiystiharkan Hari Pahlawan, namun acara sambutan tidak semestinya hanya pada tarikh tersebut. Ia bergantung kepada keadaan atau keperluan.  

Pelbagai acara diadakan sempena Hari Pahlawan ini bagi mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis sebelum dan selepas Malaysia merdeka. Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sebelum tahun 2010, acara sambutan Hari Pahlawan diadakan di Tugu Negara.  Bagaimanapun, mulai tahun 2010 ini, kerajaan telah memutuskan lokasi sambutan dilakukan di dataran yang sesuai. Sebagai permulaan, Dataran Merdeka dipilih sebagai lokasi sambutan.

Pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

Dengan perpindahan tempat sambutan turut melibatkan perubahan acara yang diadakan. Acara sambutan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Jakim dan disahkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Keputusan Majlis Fatwa Malaysia menjelaskan mengenai acara sambutan Hari Pahlawan iaitu amalan seperti tiupan "Last Post", bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan "Rouse" yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Selain itu bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak. 


Sebelum kerajaan mengambil keputusan menukar acara sambutan dan lokasi, acara sempena Hari Pahlawan diadakan di hadapan Tugu Negara berhampiran Panggung Aniversari, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. 


Ia melibatkan acara letak kalungan bunga oleh pemimpin negara iaitu Yang Dipertuan Agong dan Perdana Menteri serta ketua pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ketiga-tiga cabangnya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertafakur selama seminit di Tugu Negara. 


Acara tradisi ketenteraan lain yang diadakan ialah tiupan 
Last Postdan Rouse serta deklamasi sajak juga dilakukan di hadapan tugu. 

Manakala acara-acara keagamaan seperti majlis bacaan doa selamat, yasin, tahlil dan sebagainya juga diadakan di Masjid Negara.


Setiap warganegara wajar mengingati tarikh 31 Julai setiap tahun sebagai satu cara mengenang budi dan bagi mengingati kembali perit jerih erti perjuangan para pahlawan negara yang telah banyak berkorban demi kemakmuran negara. 


Mungkin, Hari Pahlawan di Malaysia tidak sehebat di negara lain, tetapi jangalah pula ia dilupakan langsung. 


Ingatlah, kenikmatan yang dikecapi kini adalah hasil keringat dan darah para pahlawan yang mempertaruhkan nyawa demi kedaulatan negara.

Monday 19 December 2016

Elak pecah belah

Wajib taat pemimpin dan elak perpecahan sesama sendiri. Bina kekuatan pertahan Islam, haram sokong pemecah belah yang hancurkan Islam.  

Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi menegaskan, fatwa propaganda yang mengatakan seseorang itu akan masuk syurga jika mengundi parti tertentu adalah suatu kejahilan, kebodohan dan kesesatan.

Dr. Sulaiman turut menegaskan adalah haram bagi umat Islam menyokong kumpulan yang berniat atau bertindak mahu menjatuhkan kerajaan Islam yang memerintah walaupun dalam kepimpinan didapati berlaku kesalahan melibatkan hukum syarak.

Selain itu, beliau juga berhujah tindakan untuk menjatuhkan kerajaan Islam adalah tidak dibenarkan agama, apatah lagi jika umat Islam itu mahu menggantikan dengan pemerintahan yang boleh mendatangkan bahaya lebih besar.

Kita tidak boleh memandang remeh apatah lagi melihat dari pandangan politik sempit terhadap peringatan Dr. Sulaiman bahawa, ''tindakan untuk menjatuhkan kerajaan Islam adalah tidak dibenarkan agama, apatah lagi jika umat Islam mahu menggantikan dengan pemerintahan yang boleh mendatangkan bahaya lebih besar.''

Justeru adalah lebih baik jika orang Melayu tanpa mengira fahaman politik berfikir dengan matang. Pandangan Dr. Sulaiman yang sudah tentulah tidak mempunyai apa-apa motif politik.

Sebaliknya, Dr. Sulaiman memberi pandangan kerana berpendapat adalah tidak wajar demi merebut kuasa politik sebuah kerajaan Islam mahu ditumbangkan.

Malaysia menjadi negara Islam contoh di kalangan seluruh negara Islam. Bahkan, amalan yang ditunjukkan oleh penganut Islam di Malaysia turut dikagumi oleh bukan Islam seluruh dunia.

Sebab itu, kedudukan Malaysia sebagai negara Islam dikagumi di seluruh dunia, termasuk di kalangan kuasa besar termasuk Amerika Syarikat.

Jika ada kelemahan pun ia tidak sampai menjejaskan kedudukan Islam di Malaysia, justeru adalah lebih baik jika pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam bertindak memberi pandangan secara ikhlas dan jujur bagi memperbaiki keadaan, bukannya hanya mengejar impian politik semata-mata.

Kesungguhan pihak memperjuangkan Islam dilihat hanya untuk kepentingan politik. Sepanjang perjuangan mereka, tidak ada ada yang dilihat membawa kepada kebaikan. Sebaliknya, apa yang berlaku ialah perpecahan sesama Islam. 

Tenaga dan potensi umat Islam di Malaysia terbantut disebabkan perpecahan sesama sendiri. 

Sepatutnya jika ada kelemahan berilah teguran secara berhemah dan bukannya merendah-rendahkan pihak lain, malah apa yang lebih buruk jika ia disertai dengan maki hamun serta cercaan.

Sikap seumpama ini bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam malah akan menyebabkan usaha menyatukan umat Islam di negara ini menjadi bertambah rumit dan sukar. 

Islam yang dilihat sukakan perpaduan telah dicemari oleh sikap umat Islam sendiri yang gilakan kuasa.

Cara kawal nafsu makan

Sikap ingin terhadap makanan dan minuman ikut nafsu, satu sifat tercela. Sikap boros mengikut perangai syaitan. Rasulullah bersabda bermaksud: “Antara sifat boros itu adalah makan apa yang teringin oleh selera.” - (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Sebenarnya tiada sebab mengapa perlu menyediakan makanan bermacam-macam jenis. Sesiapa yang terdorong kepada makanan dan minuman secara lahap, dia tidak memahami erti takwa. Tidak patuh kepada apa diperintakan Allah. 

Ajaran Islam amat menekankan sifat bersederhana dan tidak gelojoh terhadap makanan. Firman Allah bermaksud: “Makanlah dan minumlah tetapi janganlah berlebih-lebihan.” - (Surah al-Araf, ayat 31).

Sifat bersederhana membawa lebih keberkatan dan kebaikan yang berterusan. Ia dapat mengelak daripada pembaziran apabila makanan tidak habis dimakan. Perut kita tidak mungkin dapat menerima jumlah makanan yang banyak melebihi apa sepatutnya.

Makan dan minum berlebih-lebihan banyak keburukannya. Kesan langsung akibat terlalu kenyang ialah rasa letih, ingin tidur, fikiran lemah dan malas. 

Imam Syafie yang terkenal bijak dan warak pernah berkata: “Aku tidak pernah makan kenyang sejak berusia 16 tahun kerana kekenyangan akan menambah berat badan, mengeraskan hati, menumpulkan otak, menyebabkan mengantuk dan malas beribadat.”

Manakala Syaidina Umar pula berkata: “Jauhi makan berlebihan. Sesungguhnya ia penyebab diri mewarisi penyakit, menyebabkan malas bersembahyang dan hendaklah kamu menjaga makan, kerana ia paling baik untuk jasad, dan hindarkan daripada berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah bencikan orang alim yang gemuk.”

Kajian perubatan mendapati cara makan yang tidak baik, terutamanya makan terlalu banyak dan gelojoh adalah punca masalah kesihatan. Banyak penyakit ‘moden’ dihidapi disebabkan tidak mematuhi tata cara makan yang betul.

Untuk mengelak daripada makan dan minum terlalu banyak ketika berbuka dan mengelak daripada pembaziran, buatlah perancangan anggaran keperluan makanan yang sepatutnya bagi setiap ahli keluarga. 

Ketika membeli juadah, tekadkan niat agar tidak terdorong perasaan tamak dan gelojoh. Elak diri daripada membeli di gerai yang menjual terlalu banyak jenis makanan. Selesai membeli apa yang perlu, cepat-cepat tinggalkan kawasan bagi mengelak terpengaruh membeli yang lain.

Suri rumah yang menyediakan makanan di rumah, sudah memadai menyediakan satu atau dua menu berlainan. Jika terasa ingin memakan pelbagai jenis makanan, sediakan ia pada hari-hari lain. Ia lebih menjimatkan, senang dan mendatangkan kepuasan.

Nafsu makan bulan Ramadan

Puasa latih diri menahan nafsu, malangnya bertukar jadi bulan puja nafsu makan. Ada sanggup memandu jauh dan beratur panjang semata-mata ingin mendapat makanan atau minuman diingini. Hebatnya kehendak nafsu makan pada bulan Ramadan.

Ketika berbuka dapat disaksikan ramai menikmati juadah seperti berpesta makanan dengan pelbagai macam hidangan. Tidak keterlaluan dikatakan majlis berbuka dijadikan acara ‘membalas dendam.’ Maka hilanglah manfaat sebenar puasa untuk mengekang nafsu makan. 

Meskipun berbelanja itu menjadi hak seseorang, tetapi hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang. 


Boros sifat syaitan. Islam menganjurkan agar kita bersederhana dalam apa juga perkara, termasuk dalam soal makan dan berbelanja. 


Membeli pelbagai jenis makanan dan minuman kadangkala agak keterlaluan dan melampaui batas. Apa yang dibeli bukan satu keperluan atau hendak dimakan.  


Kita tentu dapat mengagak sendiri adakah semua makanan yang dibeli itu dapat dimakan semuanya. Biarpun nafsu kita besar, hakikatnya perut kita ada batasnya.  


Cara terbaik mendidik nafsu ialah mengelak daripada melihat pelbagai juadah yang dijual. Nafsu hendak membeli akan tertutup jika kita tidak melihat makanan yang pelbagai jenis itu.  


Maka itu, hadkan masa atau tempat untuk membeli. Jangan berada terlalu lama di gerai atau bazar menjual makanan. Setelah membeli apa yang perlu, segera beredar dari termpat itu.


Kita juga perlu bersihkan hati daripada sifat buruk suka boros. Apabila kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dihadkan. Akhirnya hal ini membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk memenuhi kemudahan hidup. 


Justeru, mereka tidak lagi berbelanja atau mengguna secara berlebih-lebihan (boros) sehingga membawa kepada pembaziran. Amat mendukacitakan apabila pembaziran dilakukan ketika ada segelintir ahli masyarakat terlalu memerlukan bantuan.


Alangkah baiknya jika kita menghapuskan amalan pemborosan dan pembaziran dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan dihulurkan, Allah SWT akan menyediakan ganjaran pahala berlipat kali ganda.


Amalan sebegini secara tidak langsung akan menggambarkan tujuan sebenar Allah SWT mensyariatkan puasa Ramadan, seterusnya melahirkan masyarakat penyayang dan berwawasan. 


Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara membazir (boros).” (Surah al-Isra’, ayat 26) 


Allah SWT menggalakkan amalan bersedekah dan melarang amalan berbelanja secara berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Oleh itu, marilah bersama meninggalkan sesuatu yang keji dan mengamalkan yang baik lagi terpuji.