Friday 30 December 2016

Hukum sambut Tahun Baharu

Sinonim dengan acara sambutan tahun baru adalah perhimpunan mengira detik 12 malam dan persembahan hiburan yang diadakan awal dari itu, kemudian berlanjutan sehingga awal pagi. 

Matlamat dianjurkan sambutan tahun baru sebagai satu motivasi untuk membina azam menempuh cabaran mendatang tahun mendatang dan muhasabah pencapaian tahun yang baru ditinggalkan.

Namun, amat mendukacitkan apabila sambutan tahun baru yang diamalkan di negara kita sekarang banyak yang bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu.  

Banyak acara diwarnai dengan hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, meminum arak dan keriangan mengasyikkan.

Itulah hakikat yang sangat mendukacitakan kita. Ketika masyarakat dilanda kebimbangan berhubung keruntuhan nilai moral dan peningkatan gejala sosial, terutama di kalangan remaja, sambutan tahun baru menyebabkan keadaan menjadi semakin parah.

Golongan muda menjadikan sambutan tahun baru sebagai pesta lebih hebat berbanding hari biasa.  

Budaya hidup merosakkan yang menular di kalangan remaja kini berlatarbelakangkan cara hidup yang sukakan hiburan dan kebebasan, dan amat malang sekali mereka menjadikan sambutan tahun baru untuk menjadikan keadaan lebih merosakkan.   

Keasyikan berhibur dan berfoya melupakan mereka kepada akar umbi sebagai bangsa Timur, apatah lagi jika nak dinilai berdasarkan nilai agama Islam. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dengan berpeluk-cium tanpa segan silu. Mereka langsung tidak menghiraukan pandangan dan sensitiviti orang lain yang turut berada di situ.   

Inilah yang membawa kepada pelakuan seks bebas, pesta arak, penyalahgunaan dadah, lumba motosikal (juga kereta) haram, pergaduhan dan perbuatan luar kawal. Disebabkan terlalu terikut-ikut melayan keseronakan sambutan tahun baru ada yang 'tersemai' zuriat tahun baru. 

Gambaran persepsi songsang tentang nilai moral dan akhlak masyarakat seperti itu perlu diubah.  

Perlu diingat bahawa moral dan akhlak menjadi teras bagi tamadun sesuatu bangsa. Kejatuhan akhlak dan moral adalah permulaan kehancuran sesebuah bangsa. Ia menjadi virus yang merebak di segenap cabang kehidupan sehingga semuanya musnah.

Gambaran keburukan acara sambutan tahun baru bukan bertujuan menakut-nakutkan sesiapa, tetapi untuk renungan semua. Tidak sepatutnya perkara buruk itu dilakukan sebagai ‘azam’ tahun baru.  

Tahun baru yang sepatutnya disambut dengan azam memperbaiki kehidupan telah dimulai dengan noda dan kemusnahan nilai diri.

Berdasarkan itu, amatlah wajar pihak berkuasa lebih tegas mengawal acara sambutan tahun baru. Pihak berkuasa tempatan, polis dan jabatan agama sebagai agensi kerajaan sepatutnya memainkan peranan yang penting dalam membasmi gejala merosakkan ini.

Ibu bapa seharusnya tidak membenarkan anak menghadiri majlis sambutan tahun baru, kecuali yang dianjurkan secara tertib. Selidik dahulu atur cara yang disusun bagi memastikan tidak terselit program tidak bermoral. Jangan terikut-ikut dengan budaya tidak bermoral yang merosakkan kehidupan. 

Lebih baik jika ahli keluarga mengadakan sambutan tahun baru dengan semua berkumpul di rumah. Cara itu 'menghalang' anak daripada keluar menyambutnya bersama rakan-rakan secara tidak terkawal. Untuk lebih meriah, jemputlah ahli keluarga lain dan rakan-rakan. Majlis boleh diserikan dengan jamuan khas sempena tahun baru.       

Tanamkan sikap bersyukur ketika menyambut tahun baru, kita masih dipanjangkan umur dan dapat meneruskan tugsan hidup yang masih belum selesai atau tidak tercapai. 

No comments:

Post a Comment