Friday 30 December 2016

Janji mesti ditunai elak jadi menafik

Setiap janji mesti ditunaikan. Jika tidak tunai janji itu adalah tanda sikap seorang munafik. Setiap orang perlu melaksana janji yang telah dilafazkan dan menjauhkan sikap suka menipu. Individu paling banyak berjanji ialah mereka bergelar pemimpin. 

Masa paling banyak menabur janji ialah ketika ingin dipilih dan diangkat ke jawatan lebih tinggi. Ketika itu janji dicanang kepada rakyat tanpa memikirkan sama ada mampu menunaikan janji-janji itu atau tidak. 

Apabila berjaya menjadi pemimpin hasil janji-janji yang ditaburkan, mereka menunjukkan sikap yang bertentangan. Mereka bukan sahaja tidak menunaikan janji, sebaliknya marahkan dan melemparkan pelbagai gelaran kepada sesiapa yang ingin menuntut janji. Orang yang menuntut janji pula dipersalahkan dan dijadikan musuh. 


Pemimpin menyeru rakyat melakukan sesuatu berdasarkan kepada hukum agama. Namum, pemimpin sendiri lupa melaksanakan apa yang telah jelas mesti mereka tunaikan. Menunaikan janji itu adalah wajib sepertimana wajibnya membayar hutang. 


Individu jadi pemimpin mesti rela berkorban demi melaksanakan tugas. Seluruh masa dan tenaga tumpukan untuk melaksanakan tugas dengan sebaiknya. Jangan menunding jari dan menyalahkan rakyat jika mereka gagal melaksanakan janji. Mereka yang berjanji, tetapi orang lain pula yang dipersalahkan.  

Pemimpin bukan saja perlu kreatif dan bijak dalam berfikir, tetapi juga mempunyai tubuh badan sihat. Kesihatan amat penting bagi membolehkan seseorang pemimpin sentiasa bersedia melaksanakan tugas yang berkaitan.

Sesungguhnya, jawatan yang disandang tidak boleh digunakan untuk mengumpul kekayaan atau kesenangan sendiri. Mereka berkhidmat untuk kepentingan rakyat dan bukannya memenuhi nafsu sendiri yang pastinya tidak akan pernah puas dengan apa yang telah dimiliki. 

Sifat pemimpin yang mengutamakan kaum keluaga dan kroni akan menimbulkan banyak masalah dalam kepimpinan. Sikap itu termasuk tidak amanah. Mereka akan mencari jalan untuk mengkayakan ahli keluarga dan menafikan hak rakyat. 

Pemimpin tawaduk tidak rungsing hilang sokongan disebabkan tidak memberi layanan istimewa kepada penyokong setia. Sebaliknya, dia lebih takut kepada pembalasan Allah jika gagal melaksanakan tugas dengan baik.

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah, wahai Tuhan yang memberikan kerajaan. Engkau memberi kerajaan (kekuasaan) kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau gugurkan (jatuhkan) kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau muliakan dan Engkau hinakan orang yang kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Ali Imran, ayat 26)

No comments:

Post a Comment