Friday 30 December 2016

Membaca proses menuntut ilmu

Membaca satu proses menuntut ilmu, sedangkan menuntut ilmu wajib dilakukan setiap muslim. Ilmu menjadi penunjuk jalan ke arah mencapai kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat. Sesiapa mencari ilmu mendapat keuntungan yang banyak berbanding orang tidak berilmu.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Kelebihan orang berilmu ke atas orang yang beribadat adalah seperti kelebihan bulan ke atas seluruh bintang dan sesungguhnya nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, tetap mereka itu mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilnya, dia mengambilnya dengan mendapat habuan yang banyak." (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Ahli hadis mentafsir kelebihan orang alim yang beramal dengan ilmunya dengan orang beramal tanpa ilmu adalah seperti kelebihan bulan dengan bintang di langit, yakni apabila muncul bulan pernama, maka cahaya bintang lain akan hilang dan lenyap. 

Justeru, kita perlu menjadikan membaca sebagai amalan seharian untuk menjadi masyarakat yang berilmu pengetahuan. Rakyat di negara maju menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya wajib. 

Sesungguhnya, era kegemilangan umat Islam pada masa dulu berpunca penemuan dan penyebaran ilmu. Kemampuan umat Islam pada waktu itu dikagumi dan dihormati masyarakat seluruh dunia. 

Sarjana Islam silam telah menyumbangkan kepakaran untuk kesejahteraan hidup manusia yang digunakan sehingga kini.

Umat Islam perlu bergerak seiring dengan kemajuan dan perubahan dunia. Tumpuan yang perlu diberikan sekarang ialah penguasaan ilmu dalam semua bidang. 

Sesungguhnya amat besar pahala bagi mereka berusaha mencari ilmu sehingga Allah SWT  mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa yang menjalani jalan mencari ilmu, maka Allah memudahkan baginya jalan ke syurga, dan sesungguhnya malaikat meletakkan sayap-sayapnya bagi penutut ilmu reda dengan apa yang dilakukannya, dan sesungguhnya orang berilmu itu mereka yang di langit dan di bumi akan meminta ampun baginya hingga ikan di air.  (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Proses mencari ilmu melalui pembacaan dapat dilakukan dengan mudah bila-bila masa dan di mana saja. Memiliki buku bermakna sentiasa bersama sahabat yang bersedia mencurah ilmu. Mereka yang menolak buku daripada menjadi kawan sebenarnya menolak 'kekayaan' yang ingin diberikan oleh buku.

Allah SWT menyuruh Rasulullah SAW  'membaca' biarpun baginda sebenarnya tidak boleh membaca. Perintah itu adalah simbolik untuk menyatakan betapa pentingnya membaca untuk mendapatkan ilmu.

Firman Allah SWT bermaksud: “Bacalah atas nama Tuhanmu yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang telah mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.” - (Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5).

Napoleon Bonarparte, pemerintah Peranchis yang menaiki takhta kuasa pada tahun 1799 pernah berkata: “Saya lebih takut kepada empat surat khabar di Peranchis daripada empat ribu senjata.  Apabila saya biarkan empat surat khabar itu berleluasa, tentu hanya empat minggu sahaja saya sempat menduduki takhta kerajaan.”

Kata-kata Napoleon itu merujuk kepada pengaruh yang dapat disebarkan melalui bahan bacaan. Dia juga mengungkapkan kata-kata: “Sesiapa yang membaca dan mengamalkan apa-apa yang dibacanya, akan dapat memerintah dunia.”

Kegagalan umat Islam sekarang adalah berpunca daripada kurangnya ilmu berbanding penganut agama lain. Sebab itu, kebanyakan negara Islam mundur dan kadar buta huruf yang tinggi. 

No comments:

Post a Comment