Saturday 31 December 2016

Akal manusia hebat

Kepentingan ilmu. Umat Islam perlu merebut peluang kelebihan memiliki ilmu. Keghairahan dan berahi menuntut ilmu perlu menjadi budaya di kalangan umat Islam. Dengan kekuatan akal dan ilmu meletakkan kedudukan seseorang pada tahap lebih baik. Mereka dapat memahami matlamat hidup dan patuh kepada perintah Maha Pencipta. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat memahami.” (Surah az-Zumar ayat 9).  

Seharusnya orang Islam tidak melepaskan peluang untuk berjihad melalui menuntut ilmu. Satu jihad yang amat penting dilaksanakan setiap Muslim bagi mengembalikan kedudukan Islam pada tahap kegemilangan.

Skop dan maksud jihad tidak hanya apabila berperang menegakkan Islam. Tindakan sesetengah orang menyertai kumpulan tertentu di luar negara atas alasan berjihad tidak menepati tuntutan Islam. Tindakan mereka membunuh sesama Islam tidak termasuk dalam erti jihad. 

Adalah lebih mudah kita berjihad dengan menuntut ilmu. Sedangkan kebaikannya amat besar dan boleh dikongsikan dengan orang lain. Orang berilmu boleh mengajar dan kongsi ilmu dengan orang lain. Itu sebahagian amalan yang memberi kebaikan berkekalan biarpun selepas meninggal dunia.  

Jangan kita lepas peluang untuk mempelajari sesuatu kebaikan.   

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Barangsiapa yang memasuki masjid kami ini (masjid Nabawi) dengan tujuan mempelajari kebaikan atau mengajarkannya, maka ia laksana orang yang berjihad di jalan Allah. Dan barangsiapa yang memasukinya dengan tujuan selain itu, maka ia laksana orang yang sedang melihat sesuatu yang bukan miliknya.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban, Ibnu Majah dan Ahmad). 

Sabda Rasulullah SAW lagi yang maksudnya: "Siapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka ia berjuang fisabilillah hingga ia kembali". (Hadis riwayat Tirmizi).

Hari ini kedudukan umat Islam lemah antara lain berpunca kurang penguasaan ilmu moden. Umat Islam menjadi pengguna kepada ciptaan umat lain. Jadi, sudah tentu apa yang digunakan itu bukan yang terbaik untuk umat Islam. 

Proses mencari ilmu paling mudah dan berkesan ialah melalui pembacaan kerana ia dapat dilakukan bila-bila masa dan di mana saja.  

Memiliki buku bermakna sentiasa bersama sahabat yang bersedia mencurah ilmu bila-bila masa. Mereka yang menolak buku daripada menjadi kawan sebenarnya menolak 'kekayaan' yang terdapat di dalam setiap buku.

Malaikat Jibril ketika menyampaikan wahyu pertama menyuruh Rasulullah SAW 'membaca' biarpun baginda sebenarnya tidak boleh membaca. 

Perintah itu adalah simbolik untuk menyatakan betapa pentingnya membaca untuk mendapatkan ilmu. Melalui pembacaan membolehkan manusia mengetahui apa yang tidak diketahui sebelumnya.   

Firman Allah SWT bermaksud: “Bacalah atas nama Tuhanmu yang menjadikan manusia dari segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu itu Maha Pemurah yang telah mengajarkan dengan pena pengetahuan yang manusia belum ketahui.” (Surah al-Alaq ayat 1 hingga 5).

No comments:

Post a Comment