Saturday 31 December 2016

Punca umat Islam hilang kuasa

Bermusuh sama sendiri menjadi punca hilang kekuatan sesama Islam. Umat Islam perlu saling hormat menghormati dan elak daripada sengketa berpanjangan untuk kembali kuat dan berkuasa.   

Menjadi tanggungjawab umat Islam menonjolkan kebaikan dan keindahan Islam, jangan sampai Islam ditempelak dengan perbuatan boleh memalukan dan mencemarkan imej. 


Amat dukacita apabila kelompok yang kononnya  memperjuang Islam, tetapi melakukan perbuatan memalukan, termasuklah menjatuhkan sesama Islam. Sesiapa berpegang kepada ajaran islam perlu mengutamakan perpaduan dan mengelak bercakaran sesama sendiri.

Akibat bercakaran sesama sendiri, pihak lain ambil kesempatan menindas umat Islam. Kelemahan dan kesan buruk yang dihadapi tidak menjadi pengajaran umat Islam apabila terus berpecah sesama sendiri. Lebih malang lagi apabila menyalahkan sesama Islam, tetapi pada masa sama berkerjasama dengan bukan Islam. 

Nampaknya, umat Islam sudah keliru mana pihak yang patut dijadikan kawan dan mana lawan. Sikap gila kuasa menyebabkan umat Islam berpecah sesama sendiri.   

Apa yang nyata, umat Islam masih diliputi mega mendung sengketa dan perbalahan yang seolah-olah tiada penghujungnya. Marilah kita berdoa semoga Allah berkenan melimpah nikmat ukhuwah kepada seluruh umat Islam. 

Semua pihak perlu sedar betapa rugi apabila umat Islam menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata mencetuskan sengketa peperangan sesama sendiri. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya (Surah an-Nisa, ayat 59)  

Kalau dilihat kepada sirah Nabi SAW, baginda datang mengajak masyarakat beriman dengan Allah. Baginda juga mementingkan perpaduan.  

Ini dapat diperhatikan melalui pengorbanan golongan Ansar yang menyerahkan isteri mereka untuk diperisterikan oleh golongan Muhajirin selepas mereka berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah SAW.

Contoh ini senang kita sebut tetapi jangan lupa untuk kita merenungnya dalam-dalam. Hijrah baginda itu berlaku seolah-olah disebabkan ‘tidak berjayanya’ misi dakwah di Mekah.

Malah, berkat perpaduan ketika itu, Nabi SAW berjaya mengharungi pahit getir cabaran berdakwah yang mendapat tentangan hebat kafir Quraisy.

Dalam konteks kita di Malaysia, memang adakalanya kita lalai lalu lupa nikmat keamanan, perpaduan dan kesejahteraan dikecapi.

Kita perlu menghayati firman Allah yang bermaksud: ”Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga” (Surah Ali-Imran, ayat 103).

No comments:

Post a Comment