Tahap keilmuaan dan kebijaksanaan Imam Abu Hanifah dikagumi.
Selain itu, beliau juga dikenali dan dihormati disebabkan sikap tegasnya
menolak kedudukan tinggi yang diberikan pemerintah kepadanya.
Dia menolak pangkat dan menolak wang yang diberikan kepadanya.
Akibat dari penolakannya itu dia ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara. Di
dalam penjara dia diseksa, dipukul dan sebagainya.
Gabenor di Iraq pada waktu itu berada di tangan Yazid bin
Hurairah Al-Fazzari. Pernah pada suatu ketika Imam Abu Hanifah akan diangkat
menjadi ketua urusan perbendaharan negara, tetapi perlantikan itu ditolaknya.
Dia tidak mahu menerima kedudukan tinggi tersebut. Sampai berulang kali Yazid
menawarkan pangkat itu kepadanya, namun tetap ditolaknya.
Pada waktu yang lain Yazid menawarkan pangkat hakim, tetapi juga
ditolaknya. Yazid tidak senang melihat sikap Imam Abu Hanifah, memusuhi
pemerintah, kerana itu timbul rasa curiganya. Oleh kerana itu dia disiasat dan
diancam akan dihukum dengan hukum dera.
Ketika Imam Abu Hanifah mendengar kata ancaman hukum dera itu
Imam Abu Hanifah menjawab: “Demi Allah, aku tidak akan menerima jawatan yang
ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan.” Demikian
beraninya Imam Abu Hanifah dalam menegakkan pendirian hidupnya.
Pada suatu hari Yazid mengumpulkan para alim ulama ahli fiqh
yang terkemuka di Iraq. Di antara mereka yang datang ketika itu adalah Ibnu Abi
Laila, Ibnu Syblamah, Daud bin Abi Hind dan lain-lain. Kepada
mereka, masing-masing diberi kedudukan rasmi oleh gabenor.
Ketika itu gabenor menetapkan Imam Abu Hanifah menjadi Ketua
Sekretari Gabenor. Tugasnya adalah bertanggungjawab terhadap keluar masuk wang
negara. Gabenor dalam memutuskan jawatan itu disertai dengan sumpah, “Jika Abu
Hanifah tidak menerima pangkat itu nescaya dia akan dihukum dengan deraan.”
Walaupun ada ancaman seperti itu, Imam Abu Hanifah tetap menolak
jawatan itu, bahkan dia tetap tegas, bahawa dia tidak mahu menjadi pegawai
kerajaan dan tidak mahu campur tangan dalam urusan negara.
Kerana sikapnya itu, akhirnya ditangkap oleh gabenor. Kemudian
dimasukkan ke dalam penjara selama dua minggu, dengan tidak dipukul. Lima belas
hari kemudian baru dipukul sebanyak 14 kali pukulan, setelah itu baru
dibebaskan.
Beberapa hari sesudah itu gabenor menawarkan menjadi hakim, juga
ditolaknya. Kemudian ditangkap lagi dan dijatuhi hukuman dera sebanyak 110
kali. Setiap hari didera sebanyak sepuluh kali pukulan. Namun demikian Imam Abu
Hanifah tetap dengan pendiriannya. Sampai dia dilepaskan kembali setelah cukup
110 kali dicemati.
Akibat dari pukulan itu muka dan seluruh badannya menjadi
bengkak-bengkak. Hukuman cemati itu sengaja untuk menghina Imam Abu Hanifah.
Walaupun demikian ketika Imam Abu Hanifah diseksa, dia sempat
berkata. “Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat
nanti.”
Ketika dia berusia lebih dari 50 tahun, ketua negara ketika itu
berada di tangan Marwan bin Muhammad. Imam Abu Hanifah juga menerima ujian.
Pada tahun 132H, pemerintahan Bani Umaiyyah bertukar kepada Bani
Abbasiyyah. Khalifahnya bernama Abu Abbas as Saffah.
Pada tahun 132H sesudah Abu Abbas meninggal dunia diganti dengan
Khalifah Abi Jaafar Al-Mansur. Ketika itu Imam Abu Hanifah telah berumur 56
tahun. Namanya masih tetap harum sebagai ulama besar yang disegani. Ahli fikir
yang cepat dapat menyelesaikan sesuatu persoalan.
Suatu hari Imam Abu Hanifah mendapat panggilan dari baginda
Al-Mansur di Baghdad, supaya dia datang mengadap ke istana. Sesampainya dia di
istana Baghdad, dia ditetapkan oleh baginda menjadi hakim kerajaan Baghdad.
Dengan tawaran tersebut, salah seorang pegawai negara bertanya:
“Adakah guru tetap akan menolak kedudukan baik itu?” Dijawab oleh Imam Abu
Hanifah “Amirul mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada saya
membayar sumpah saya.”
Kerana dia masih tetap menolak, maka diperintahkan kepada
pengawal untuk menangkapnya, kemudian dimasukkan ke dalam penjara di Baghdad.
Pada saat itu para ulama yang terkemuka di Kufah ada tiga orang. Salah satu di
antaranya ialah Imam Ibnu Abi Laila. Ulama ini sejak pemerintahan Abu Abbas as
Saffah telah menjadi mufti kerajaan untuk kota Kufah.
Pada suatu hari Imam Abu Hanifah dikeluarkan dari penjara kerana
mendapat panggilan dari Al-Mansur, tetapi dia tetap menolak. Baginda bertanya,
“Apakah engkau telah suka dalam keadaan seperti ini?”
Dijawab oleh Imam Abu Hanifah: “Wahai Amirul Mukminin semoga
Allah memperbaiki Amirul Mukminin. Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah,
janganlah bersekutu dalam kepercayaan dengan orang yang tidak takut kepada
Allah. Demi Allah saya bukanlah orang yang boleh dipercayai di waktu tenang,
maka bagaimana saya akan dipercayai di waktu marah, sungguh saya tidak
sepatutnya diberi jawatan itu.”
Baginda berkata lagi: “Kamu berdusta, kamu patut dan sesuai
memegang jawatan itu.” Dijawab oleh Imam Abu Hanifah: “Amirul Mukminin, sungguh
baginda telah menetapkan sendiri, jika saya benar, saya telah menyatakan bahawa
saya tidak patut memegang jawatan itu. Jika saya berdusta, maka bagaimana
baginda akan mengangkat seorang maulana yang dipandang rendah oleh bangsa Arab.
Bangsa Arab tidak akan rela diadili seorang golongan hakim seperti saya.”
Pernah juga terjadi, baginda Abu Jaffar Al-Mansur memanggil tiga
orang ulama besar ke istananya, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Sufyan ats Tauri
dan Imam Syarik an Nakhaei. Setelah mereka hadir di istana, maka ketiganya
ditetapkan untuk menjawat pangkat tinggi dalam kerajaan, masing-masing diberi
surat perlantikan tersebut.
Imam Sufyan ats Tauri diangkat menjadi hakim di Kota Basrah,
lmam Syarik diangkat menjadi hakim di ibu kota. Adapun Imam Abu Hanifah tidak
mahu menerima perlantikan itu di manapun dia diletakkan. Perlantikan itu
disertai dengan ancaman bahawa siapa saja yang tidak mahu menerima jawatan itu
akan didera sebanyak l00 kali deraan.
Imam Syarik menerima jawatan itu, tetapi Imam Sufyan tidak mahu
menerimanya, kemudian dia melarikan diri ke Yaman. Imam Abu Hanifah juga tidak
mahu menerimanya dan tidak pula berusaha melarikan diri.
Oleh sebab itu Imam Abu Hanifah dimasukkan kembali ke dalam
penjara dan dijatuhi hukuman sebanyak 100 kali dera. Setiap pagi dipukul dengan
cemati sementara dileher beliau dikalung dengan rantai besi yang berat.
Suatu kali Imam Abu Hanifah dipanggil baginda untuk mengadapnya.
Setelah tiba di depan baginda, lalu diberinya segelas air yang berisi racun.
Dia dipaksa meminumnya. Setelah diminum air yang beracun itu Imam Abu Hanifah
kembali dimasukkan ke dalam penjara. Imam Abu Hanifah meninggal dunia pada
bulan Rejab 150H/767M dalam keadaan menderita di penjara ketika itu dia berusia
70 tahun (ada yang mengatakan 68 tahun).
Dalam riwayat lain disebutkan bahawa beliau dipukul dalam
penjara sehingga mati. Kematian tokoh ilmuan Islam ini amat dirasai oleh dunia
Islam. Solat jenazahnya dilangsungkan 6 kali, setiapnya didirikan oleh hampir
50,000 orang jamaah.
No comments:
Post a Comment