Friday 20 January 2017

Sejarah riwayat hidup Imam Syafie

Sejarah riwayat hidup Imam Syafie. Nama sebenar Imam Syafie ialah Muhammad Bin Idris Bin Abbas Bin Uthman bin Syafie Bin Saib Bin Abdu Yazid Bin Hasyim Bin Abdul Mutalib Bin Abdul Manaf.

Imam Syafie adalah berasal dari keturunan Arab Quraisy. Nasabnya berkait dengan Nabi Muhammad SAW. Beliau dilahirkan di Kota Gaza Palestin pada bulan Rejab 150 Hijrah.

Menyelusuri perjalanan hidup dan proses pembelajaran Imam Syafie amat menarik sekali. Ayah beliau meninggal sewaktu Imam Syafie masih kecil, ada riwayat yang mengatakan sewaktu beliau masih dalam kandungan ibunya lagi.

Sebelum melahirkan beliau, ibunya bermimpi melihat sebutir bintang keluar dari perutnya lalu naik ke langit. Lalu bintang itu pecah lalu jatuh bertaburan jatuh ke bumi.

Cahaya dari bintang pecah yang jatuh itu menerangi seluruh muka bumi. Ibunya terkejut bila mengetahui suaminya juga mengalami mimpi yang sama iaitu dia melihat ada sebutir bintang yang keluar dari perut isterinya.

Imam Syafie penentang amalan bidaah. Kata beliau, semua perkara yang diadakan menyalahi Quran dan sunnah atau ijmak ulama adalah bidaah yang keji dan sesat.

Manakala mana-mana perkara atau kebaikan yang tidak menyalahi sedikit pun dari kesemua itu adalah bidaah yang terpuji. Imam
Syafie berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti juga tiga orang Imam Mazhab lain yang terkenal seperti Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Ahmad Bin Hambal (mazhab Hambali). 

Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah ini dicetuskan oleh ulama sebelum mereka iaitu Syeikh Abu Hasan Asyaari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.

Imam Syafie juga melarang taklid, baik taklid kepada dirinya sendiri ataupun kepada sesiapa saja. 


Beliau selalu berpesan: “Janganlah mereka-reka dalam perkara agama mengguna-pakai taklid sahaja kepada perkataan ataupun tindakan yang tidak disertai dengan keterangan ataupun alasan dari Quran dan hadis”.


Beliau juga berpesan: “Tiap-tiap perkara yang saya katakan padahal kata Rasulullah SAW bertentangan dengan perkataan saya, Rasulullah itulah lebih utama perlu dituruti”

Ketinggian ilmu Imam Syafie mendapat pujian dan pengiktirafan ulama lain. Imam Malik bekas gurunya pernah berkata: “Tidak ada lagi keturunan Quraisy yang lebih pandai daripada Imam Syafie”

Umat Islam di Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara majoritinya berpegang kepada Mazahab Syafie.  

Antara kata-kata menarik Imam Syafie:

- Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat. Ia juga amalan para Nabi, Rasul dan orang soleh.

- Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindari ia supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.

- Hati adalah raja dalam diri. Oleh itu, lurus dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.

- Hak kepada diri, iaitu dengan mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

- Hak kepada malaikat maut, iaitu menqadakan segala kewajipan yang tertinggal iaitu dengan memohon maaf daripada orang yang dizalimi, membuat persiapan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah SWT.

- Hak kepada kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, jangan suka kencing merata, memperbanyakkan solat tahjud dan membantu orang yang dizalimi.

- Hak kepada malaikat Mungkar dan Nakir, iaitu jangan berkata dusta, sering berkata benar, meninggalkan maksiat dan memberi nasihat.

- Hak kepada Mizan, iaitu menahan kemarahan, banyakkan berzikir, ikhlas dalam amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

- Hak kepada titian sirat, iaitu buang tabiat suka mengumpat, warak, bantu orang beriman dan hidup dalam suasana berjamaah.

- Hak kepada malaikat Malik, iaitu menangis lantaran takutkan kepada Allah SWT, membanyakkan sedekah, membuat kebaikan kepada ibubapa dan memperbaiki akhlak.

- Hak kepada malaikat Ridwan iaitu reda kepada qada Allah SWT, sabar menerima bala dan bertaubat.

- Hak kepada Rasulullah SAW iaitu dengan sering bersalawat kepada baginda, berpegang kepada sunnahnya dan bersaing mencari kelebihan dalam beribadah.

- Hak kepada Allah SWT, iaitu mengajak manusia kepada kebaikan, mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran, bencikan kepada sebarang maksiat dan tidak melakukan kejahatan.

- Bila kamu tak tahan penatnya belajar, maka kamu akan menanggung perihnya kebodohan.

- Jangan cintai orang yang tidak mencintai Allah. Kalau Allah saja ia tinggalkan, apalagi kamu.

-Barangsiapa yang menginginkan Husnul Khatimah, hendaklah ia selalu bersangka baik dengan manusia.

- Doa di saat tahajjud adalah umpama panah yang tepat mengenai sasaran.

- Ilmu itu bukan yang dihafal tetapi yang memberi manfaat.

- Siapa yang menasihatimu secara sembunyi-sembunyi maka ia benar-benar menasihatimu. Siapa yang menasihatimu di khalayak ramai, dia sebenarnya menghinamu.

- Berapa banyak manusia yang masih hidup dalam kelalaian, sedangkan kain kafannya sedang ditenun.

No comments:

Post a Comment