Sunday 15 January 2017

Analisa salahlaku etika perniagaan

Peniaga tamak dan tidak beretika terdedah melakukan salah laku dalam mengendalikan urusniaga. Peniaga ambil kesempatan atas situasi ekonomi, lemah kuatkuasa undang-undang dan nilai hidup masyarakat.  

Analisa ekonomi 
- Umumnya masyarakat menilai salahlaku etika dalam pengurusan berdasarkan pendekatan ekonomi mikro. Ini berdasarkan kepada sasaran pasaran bersifat peribadi dalam membuat keputusan.

Berdasarkan kepada situasi ini, peniaga mengambil kesempatan bahawa pengguna secara peribadi mengambil sesuatu keputusan sama ada mahu membeli atau tidak. Pengaruh ekonomi dan sosial kurang mempengaruhi.  

Sebab itu, dalam keadaan ekonomi yang kurang baik, pengguna masih membeli untuk sesuatu tujuan, contohnya persiapan perayaan. Apa yang dilakukan itu dilihat sebagai satu analisa mikro melibatkan keputusan individu.

Ini mudah difahami, bagaimana peniaga masih meneruskan salahlaku etika walaupun perkara ini sering dimuatkan dalam media dan kempen-kempen menyedarkan pengguna agar lebih berhati-hati dan mempertahankan hak daripada menjadi mangsa peniaga tidak bertanggungjawab. 

Namun, keadaan itu terus berlaku, pengguna tidak mengambil pengajaran, bahkan sanggup menghadapi situasi itu.

Analisa Undang-undang - Kita juga selalunya mengharapkan tindakan yang bersifat peribadi untuk menentukan sama ada betul atau salah. Ini termasuk dalam soal berkaitan undang-undang. Sebenarnya undang-undang telah jelas menyatakan mana betul dan salah. 

Apa yang boleh dilakukan dan tidak boleh dilakukan. Tetapi, sudah sikap manusia tidak suka mematuhi apa yang telah ditetapkan terhadap mereka.

Begitulah dalam soal etika. Boleh dikatakan apa yang menyalahi etika, sebenarnya juga menyalahi undang-undang. Contohnya, berkaitan jualan promosi. Peniaga dikehendaki menyatakan dengan jelas harga asal dan berapa peratusan potongan dibuat. 

Peniaga juga dikehendaki mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa sebelum mengadakan promosi jualan bagi menjamin hak pengguna tidak dikhianati. 

Namun, seperti telah dijelaskan, peniaga kerap membelakangkan perkara itu. Mereka lebih percaya kepada keputusan pengguna dalam menentukan betul atas salah. 

Biarpun, peniaga melakukan kesalahan, pengguna yang menentukan salah atau betul. Dalam hal ini, pengguna biasanya tidak ambil peduli hal itu asalkan kehendak mereka untuk memperoleh sesuatu tercapai. 

Contohnya, pengguna masih ingin membeli barang tiruan biarpun tahu satu kesalahan menjual dan mengedar barang tiruan. Bahkan, mereka ’berterima kasih’ kepada peniaga yang ’sudi’ menjual barang tiruan. Soal undang-undang biarlah ditanggung oleh peniaga sekiranya mereka ditahan oleh pihak berkuasa.                                          

Analisa Etika – Satu lagi pendekatan menganalisa masalah etika ialah melalui kaedah analisa etika. Perdekatan ini menjelaskan bahawa menjadi tanggungjawab moral untuk menentukan perkara itu betul atau salah. Malah diandaikan bahawa semua orang tidak kira jantina akan dilayan sama rata dan mendapat manfaat seadanya.

Jadi, pengguna seperti menyerahkan sepenuhnya kepada peniaga untuk melaksanakan tugas tanpa melanggar etika. Dengan kata lain, pengguna seakan-akan mengatakan mereka tidak akan menjadi mangsa kepada salahlaku etika yang dilakukan oleh peniaga. 

Maka itu, mereka tidak mengambil sebarang langkah curiga atau melakukan sesuatu langkah berjaga-jaga untuk mengalak diri daripada menjadi mangsa. 

No comments:

Post a Comment