Sunday 15 January 2017

Salahlaku etika urusniaga

Terdapat cara mengatasi salah laku etika dalam urusniaga. Peniaga tidak beretika perlu dihalang daripada terus ambil kesempatan terhadap pengguna. Antara langkah perlu diambil ialah penguatkuasaan undang-undang. Hidup manusia dibatasi undang-undang atau peraturan. Ia bukan setakat hubungan sesama dengan manusia, bahkan lebih penting lagi hubungan dengan Allah yang disebut sebagai hukum atau peraturan agama. 

Namun, undang-undang semata-mata tidak memberi apa-apa makna. Maka itu, penguatkuasaan undang-undang amat penting untuk memastikan salahlaku etika tidak terus berlaku.  

Sesiapa yang melakukan perkara berlawanan dengan apa ditetapkan dalam undang-undang, maka hendaklah dia dikenakan tindakan berdasarkan kepada peruntukan yang dinyatakan dalam undang-undang.  

Sebagai contoh Akta Kawalan Harga 1946 menjelaskan di antara kesalahan peniaga ialah gagal meletakkan tanda harga pada barangan jualan. Mana-mana peniaga yang gagal berbuat demikian bagi kesalahan pertama orang perseorangan denda boleh dikenakan sehingga RM15,000.00 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya dan kesalahan berikutnya denda sehingga RM25,000.00 atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya.

Jika penguatkuasaan dilakukan sepenuhnya, ia tentu dapat mengatasi masalah salahlaku etika di kalangan peniaga. Untuk penguatkuasaan ini, tindakan bukan saja bergantung kepada pegawai penguatkuasa semata-mata, bahakan lebih penting ialah penyertaan bersama pengguna. 

Mana-mana pengguna yang merasakan dirinya tertipu atau mengesan ada penipuan dilakukan oleh peniaga, maka mereka perlu melaporkan perkara itu kepada pegawai penguatkuasaan untuk dikenakan tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang.  

Perkara ini penting untuk menghalang perkara itu terus berlaku dan pada masa yang sama memberi pengajaran agar peniaga itu tidak akan meneruskan atau mengulangi perbuatan salah itu. Pada masa yang sama ia memberi peringatan kepada peniaga lain agar tidak melakukan kesalahan yang sama.

Satu lagi langkah untuk mengatasi salah latku etika ialah pembinaan etika itu sendiri. Etika adalah prinsip berkaitan akhlak. Akhlak yang baik akan membimbing seseorang melakukan perkara baik dan menjauhkan daripada melakukan perkara buruk sama terhadap diri sendiri mahupun orang lain.

Salahlaku etika bermakna melakukan sesuatu yang mendatangkan keburukan. Dalam kes peniaga, salahlaku etika sudah tentu sesuatu yang melibatkan kerugian kepada pengguna. 

Maka untuk mengelak gelaja buruk berkaitan salahlaku etika, maka pemupukan atau pembinaan etika perlu dilakukan terhadap peniaga. Mereka perlu diberi kesedaran bahawa perkara yang baik dilakukan tentunya mendatangkan kebaikan kepada diri sendiri. Peniaga yang baik tentunya disenangi oleh pembeli. 

Hubungan baik antara peniaga dengan pembeli akan membentuk kesetiaan, di mana pembeli akan sentiasa membeli di situ setiap kali ingin membeli. Dengan kata lain, peniaga berpeluang mendapat keuntungan lebih untuk tempoh masa yang lama. Nama baik dan kesetiaan adalah elemen penting dalam perniagaan.

Sebab itu, peniaga perlu menjaga etika dalam melakukan perniagaan. Biarlah tidak dapat mengaut keuntungan besar dalam tempoh masa singkat, tetapi apa yang penting ialah perniagaan terus berkembang dalam tempoh masa lama.

Sesungguhnya, pembeli yang berpuashati dengan peniaga bukan saja meneruskan kesetiaan, tetapi juga akan mempromosikan atau memperkenalkan kepada rakan dan saudara mara untuk turut sama membeli di situ.

Salahlaku etika satu perkara amat buruk. Sebab itu, gejala ini perlu dihapuskan segera. Masyarakat yang terbiasa dengan salahlaku etika dalam pengurusan akan menganggap perkara itu ’wajib’ dilakukan. Jika ini berlaku, masyarakat dan negara akan hancur.  

Sesuatu yang buruk sudah pasti merosakan, merugikan dan menindas. Dalam keadaan itu tidak lagi wujud perasaan saling menghormati dan kasih sayang. Siapa yang bijak melakukan penipuan, dia akan berkuasa. Yang lemah terus ditindas dan mengalami kerugian. 

Dalam suasana itu, maka perasaan curiga, benci dan persengketaan akan bertambah buruk. Ia bukan saja berlaku dalam hal berkaitan tertentu saja, tetapi juga akan merebak dalam perkara-perkara lain.

Maka sebab itu, perlaksaan etika murni perlu diterapkan dalam diri setiap rakyat. Perkara ini amat penting bagi menjayakan misi mencapai status negara maju. Maksud maju bukan sekadar pada pandangan fizikal atau kebendaan semata-mata. Tetapi, ia juga turut merangkumi soal berkaitan nilai-nilai murni yang diamalkan oleh rakyat. 

Banyak negara maju kini berdepan masalah apabila rakyatnya terdedah kepada salahlaku etika yang seriau. Mereka lebih mementingkan diri sendiri dan sanggup melakukan apa saja asalkan apa yang diingini tercapai. Akibatnya, banyak perkara yang salah dilakukan. 

No comments:

Post a Comment