Dua kejadian banjir besar melanda Kelantan iaiatu Bah Kuning 2014 dan Bah Merah 1927. Ada persamaan Bah Kuning Bah Merah.
Pendapat itu memang tepat, tetapi bukan merangkumi keseluruhan negeri Kelantan. Setiap tempat mempunyai tahap kedalaman air yang berbeza-beza. Hakikatnya, tidak semua kawasan di Kelantan mengalami Banjir Kuning 2014. Antara kawasan yang tidak terlibat ialah jajahan Bachok dan Pasir Putih.
Bahkan, ada kawasan yang mengalaminya, tidak seburuk banjir besar sebelumnya iaitu pada tahun 2004. Pada mereka, banjir 2004 lebih buruk berdasarkan kepada kedalaman air di kawasan tempat tinggal mereka.
Sebahagian yang lain pula mengatakan tahap kedalaman air bah di tempat mereka pada tahun 2004 dibandingkan dengan tahun 2014 adalah sama.
Manakala banyak kawasan yang digambarkan mengalami Bah Kuning yang teruk, tetapi sebenarnya hanya sebilangan penduduk yang tinggal di tepi sungai dan kawasan rendah yang terlibat.
Dari segi jumlah penduduk yang berpindah ke pusat pemindahan sementera dilapor mencecah kira-kira 150 ribu orang bagi seluruh Kelantan. Manakala, bilangan rumah yang rosak kesemuanya kira-kira 2400 buah. Penduduk juga mengalami kerosakan harta benda seperti kenderaan, perabot, alatan elektrik dan sebagainya.
Alhamdulillah, biarpun banjir Kuning 2014 amat luar biasa, jumlah korban untuk negeri Kelantan adalah 13 orang.
Punca Bah Kuning 2014 menjadi pendebatan apabila ia dipolitikkan. Hakikatnya, tidak satu punca sebagai penyebabnya. Pertama tentulah puncanya ialah hujan lebat. Dilaporkan jumlah taburan hujan mencecah dua kali ganda berbanding musim banjir sebelumnya.
Punca lain tentulah sedikit sebanyak disumbangkan oleh pembalakan tidak terkawal. Air hujan di kawasan tanah gondol mudah mengalir masuk ke dalam aliran sungai secara laju. Ia bukan saja membawa air hujan dan selut, bahkan sisa-sisa pembalakan dan kayu balak yang menjadi punca 'langgar' jambatan dan rumah yang memberi kesan kerosakan maksima.
Satu lagi puncanya berkaitan dengan proses penanaman semula kelapa sawit. Banyak kawasan di jajahan Gua Musang dilakukan penanaman semua kelapa sawit dan pembersihan kawasan untuk penanaman baru.
Di kawasan Kota Bharu dan Tumpat pula, biarpun tidak berlaku hujan, air dari hulu sungai menyebabkan kawasan itu mengalami banjir tanpa hujan. Jumlah air yang mengalir deras dari hulu sungai melimpah ke tebing menegelamkan hampir keseluruhan bandar Kota Bharu dan jajahan berkenaan.
Punca air sukar mengalir terus ke laut adalah fenomina air pasang yang mana paras air laut yang tinggi.
Tidak kurang juga punca air melimpah tebing ialah kedalaman sungai yang cetek akibat pemendapan pasir dan lumpur. Masalah ini telah lama berlaku tetapi tidak ada usaha untuk mendalamkan semula.
Berbalik kepada persoalan mengatakan Bah Kuning 2014 berpunca pembalakan dan ada yang bertanya adakah semasa Bah Merah 1927 sudah ada pembalakan.
Kita singkap kembali banjir atau Bah Merah 1927 melalui catatan lama dari sumber penceritaan akhbar ketika tahun tersebut. Adalah sesuatu yang menyedihkan kerana ketika itu lebih 1,000 kematian dilaporkan.
Dengan air dikatakan setinggi 40 kaki dan sesetengah pendapat memberitahu ia setinggi 60 kaki dari tebing sungai Kelantan, ia menghapuskan sama sekali kesemua rumah di sepanjang tebing Sungai Kelantan.
Penasihat British ketika itu telah menghantar isyarat dan mesej berbunyi “the situation is desperate” dan keretapi khas digunakan untuk menghantar bantuan segera sebanyak 2,000 kampit beras dari Padang Besar Ke Golok Priok berhampiran sempadan Kelantan-Siam, kemudian ia diagihkan kepada mangsa dengan bot.
Nasib baik juga sebulan sebelum itu Kerajaan Siam telah menghantar 10,000 kampit beras dari Bangkok memandangkan Kelantan sentiasa mengalami banjir.
Kedai-kedai di Kota Bharu mengalami kerugian dan Istana Sultan Kelantan ketika itu juga ditengelami air. Begitulah dahsyatnya gambaran Bencana Bah Merah 1927 sepertimana yang dilaporkan oleh akhbar The Singapore Free Press bertarikh 24hb Januari 1927.
Sepertimana Bah Kuning 2014, Bah Merah 1927 juga berpunca taburan hujan melebihi kebiasaan. Selain itu juga terdapat faktor lain seperti penerokaan hutan tadahan hujan yang berfungsi untuk menyerap air dan mengawal hakisan tanah.
Tetapi dengan melihat kepada beberapa peristiwa yang berlaku dalam tahun-tahun sebelumnya, terdapat bukti penerokaan tanah secara besar besaran berlaku di Negeri Kelantan dan ia berkait rapat dengan ganguan kepada kelestarian alam iaitu hutan hujan tropika dengan kegiatan penerokaan hutan, pembalakan serta perlombongan.
Pada 22hb April 1905 Kerajaan Kelantan telah memajakkan tanah di Negeri Kelantan kepada sebuah Syarikat Duff Developtment dengan menyerahkan hak perdagangan tunggal meliputi kawasan seluas 5000 batu persegi.
Dari tarikh itu bermula penerokaan tanah oleh Syarikat Duff Developtment dalam berbagai aktiviti seperti perladangan getah, pembalakan, perlombongan dan pembinaan landasan keretapi.
Menurut artikel The Straits Times, 19hb Januari 1920, bertajuk Duff Developtment: Land Areas Selected on Railway Route menceritakan bagaimana Duff Developtment membuat keputusan memilih dan membangunkan kawasan disepanjang jajaran laluan landasan Keretapi bakal menghubungkan semenanjung Tanah Melayu dengan Singapura.
Duff Developtment telah memilih 5 blok tanah di kawasan Tanah Merah Kelantan dan setiap satunya seluas 17,000 ekar, 8,000 ekar, 6,000 ekar, 14,000 ekar dan 10,000 ekar. 17,000 ekar adalah kawasan yang telah diteroka untuk tanaman getah yang telah diperoleh hasilnya.
Dalam perkembangan berasingan, ketika itu dilaporkan jajaran Laluan Keretapi Pantai Timur seksyen Kelantan adalah sepanjang 34.24 batu bermula dari Tumpat ke Tanah Merah telah memulakan semula pembinaan pada Januari 1918 setelah terhenti pada November 1914. Ketika pembinaan sejumlah 275,298 Cu. Yards atau 74330.46 tan tanah dan 31,839 Cu. Yards atau 8596.53 tan batu telah digali dari bumi Tanah Merah sepanjang jajaran sejauh 19 batu.
Manakala, sambungan Jajaran Pasir Mas ke Rantau Panjang mengakibatkan 36,603 Cu Yards atau 9882.81 Tan tanah telah digali. Ianya diserahkan untuk beroperasi sepenuhnya pada September 1920.
Tujuh tahun kemudian Kelantan menerima taburan hujan yang luar biasa dan dengan penerokaan tanah yang menggila oleh Duff Developtment maka banjir yang berlaku membawa tanah bersama dan disebabkan tanah tersebut dikatakan berwarna merah kerana kandungan bijih besi sepertimana diberi jolokan oleh Pengurusan Duff dalam laporan mereka bahawa ‘Kelantan Soil is Second to None’ maka banjir ketika itu kelihatan kemerah-merahan.
Dari sebab itu itulah ia dipercayai digelar oleh penduduk Kelantan sebagai ‘Bah Merah’. Antara bukti jelas penerokaan hutan di sebelah Tanah Merah adalah runtuhnya dua buah jambatan besi masing-masing di Sungai Golok dan Pasir Mas akibat dari hentaman kayu-kayu balak yang hanyut bersama arus.
Dengan kata lain, ada kaitan langsung kejadian banjir dengan penerokan kawasan balak bagi kedua-dua Bah Merah 1927 dan Bah Kuning 2014.
No comments:
Post a Comment