Friday 20 January 2017

Nilai baik kisah Mat Jenin

Orang kuat berangan dipanggil Mat Jenin. Timbul rasa malu jika dipanggil Mat Jenin, melambangkan sekadar kuat berangan-angan yang tidak dapat ditunaikan. Peribahasa 'angan-angan Mat Jenin' diambil dari kisah penglipurlara bertajuk Mat Jenin. 

Kisah Mat Jenin popular dalam masyarakat Melayu diceritakan turun temurun secara lisan dan bertulis sebagai warisan bangsa.

Kisah Mat Jenin kuat berangan-angan diceritakan pelbagai versi, tetapi semuanya berkisar kepada kisah seorang anak muda bernama Mat Jenin yang kuat berangan-angan. Pengakhiran kisah hidupnya ditamatkan dengan kematiannya akibat kuat berangan-angan. 

Tetapi siapakah Mat Jenin sebenarnya? Benarkah wujud seorang bernama Mat Jenin dalam masyarakat Melayu di negara kita pada zaman dulu? Di kalangan pengkaji sejarah, mereka menolak kewujudan seorang bernama Mat Jenin. 

Malah cerita itu dianggap cerita saduran yang turut menjadi cerita di negara-negara lain menggunakan nama dan plot cerita berlainan, tetapi tetap berlatarbelakangkan kisah kuat berangan-angan tidak menjadi kenyataan. 

Cerita penglipurlara memang memberi keseronakan dan pengajaran kepada pendengar atau pembaca. Justeru, cerita itu terus mendapat tempat dalam masyarakat walaupun berdepan dengan medium hiburan lain khususnya televisyen dan gejet telekomunikasi.      

Cerita Mat Jenin berkisar tentang anak muda bernama Mat Jenin yang digambarkan kuat berangan-angan yang dianggap tidak masuk akal dan hanya impian kosong. 

Sebenarnya ada pengajaran atau nilai baik berkaitan kisah Mat Jenin jika dilihat dari sudut positif.

Mat Jenin digambarkan sebagai pemuda yang rajin. Dia sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan asalkan mendatangkan rezeki. Kerja yang sering dilakukan oleh Mat Jenin ialah sebagai pemanjat pokok kelapa untuk menyara hidupnya sebatang kara.  

Berlatarkan ketika memanjat pokok kelapa itulah kisah Mat Jenin dikembangkan sehingga mencapai puncak dia terjatuh dari atas pokok kelapa.

Kemalangan itu menyebabkan Mat Jenin meninggal yang digambarkan sebagai kesan buruk akibat kuat berangan-angan. Sebab itu orang tidak mahu berangan-angan dan takut mati beragam yang niat atau cita-citanya tidak tercapai. 

Sebenarnya, jika dihalusi cerita Mat Jenin, ada unsur yang sepatutnya dijadikan contoh. Untuk melihat kebaikan atau contoh baik sikap Mat Jenin, di sini diperturunkan sebahagian cerita ‘Angan-angan Mat Jenin’ yang biasa diceritakan. 

Dikisahkan, sambil memanjat pokok kelapa, Mat Jenin berangan-angan apa akan dibuat dengan upah yang diterima, “.... duitnya aku akan gunakan untuk membeli telur ayam.

Telur ayam itu akan diramkan untuk mendapatkan anaknya. Anak ayam-ayam itu akan membesar dan membiak. Lepas itu aku akan menjualnya untuk membeli kambing pula...’

Begitulah angan-angan Mat Jenin ketika sedang memanjat pokok kelapa sehinggalah dia menjadi kaya dan berkahwin dengan anak raja. Tetapi dia mati terjatuh dari atas pokok kelapa kerana terlepas pegang pelepah kelapa disebabkan tidak tahan geli digeletek isterinya.

Permulaan cerita cukup bermakna menunjukkan sikap seorang anak muda yang mempunyai rancangan teliti untuk menjadi kaya. Dia tidak hanya berangan-angan duduk di bawah pokok, sebaliknya dia memanjat pokok kelapa untuk mencapai impiannya.

Mat Jenin sepatutnya dianggap ahli fikir dan perancang yang patut dicontohi. Dia tidak mimpikan kekayaan dengan mudah. Sebaliknya dia berusaha dari peringkat rendah dan setiap peringkat perancangannya boleh diterima akal.

No comments:

Post a Comment