Thursday, 5 January 2017

Apakah hukum makan katak

Masyarakat Islam di Malaysia tidak makan katak kerana haram. Namun, ada mazahab kata harus atau boleh makan katak. Ia berdasarkan dalam al-Quran disebut hanya babi sahaja haram dimakan oleh orang Islam. 
 
Maka, semua haiwan lain halal dimakan kecuali disebabkan kategori bangkai, darah mengalir, disembelih bukan kerana Allah, mati dicekik atau tercekik, mati dipukul, mati jatuh dari tempat tinggi, mati ditanduk ketika berlaga dan mati dimakan binatang buas.
 
Perkara ini dijelaskan dua ayat ini. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 173)
 
Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman: "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik." (Surah al-Maidah, ayat 3)
 
Dalam dua ayat al-Quran di atas tidak disebut katak haram dimakan. Jika meneliti nas dan dalil daripada hadis pula tentang hukum makan katak didapati Rasulullah SAW tidak pernah menjelaskan hukum yang jelas tentang makan katak. Sebaliknya yang ada ialah hadis larangan membunuh katak.
 
Dalam satu hadis disebutkan daripada Abu Hurairah katanya bahawa Rasulullah telah menegah daripada membunuh surah (sejenis burung), katak, semut dan pelatuk. (Riwayat Ibn Majah)
 
Dalam hadis lain disebutkan Rahman bin Uthman berkata telah menyebut seorang ahli perubatan berada di sisi Rasulullah dan dia telah menyebut katak akan dijadikan ubat, maka Rasulullah melarang membunuhnya. (Riwayat Ahmad)
 
Dalam sebuah hadis lagi disebutkan: "Daripada Abdul Rahman bin Uthman bahawa Rasulullah telah melarang membunuh katak. (Riwayat Nasai)
 
Ada juga hadis yang menyebut bahawa suara katak pada musim hujan merupakan tasbih kepada Allah. Berdasarkan hadis itu menyebabkan ada ulama termasuk Imam Syafie berijtihad dan menganggap kerana Rasulullah melarang membunuh katak, maka hukum makannya pun haram.
 
Bagaimanapun, ketiga-tiga hadis melarang membunuh katak serta beberapa hadis yang menyebut bahawa katak itu sebagai tasbih kepada Allah adalah hadis yang lemah disebabkan terdapat perawinya yang lemah dan tidak boleh dipercayai.
 
Ada sesetengah ulama mengkategorikan katak seperti ikan dan haiwan-haiwan yang tinggal dalam air. Mengenai kategori ini ada nas yang umum daripada ayat al-Quran dan hadis dihurai dan ditafsirkan (bukan secara terang-terang dan muktamad) bahawa semua haiwan yang tinggal dalam air adalah harus dimakan.
 
Nas yang umum daripada al-Quran itu bermaksud: "Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, yang kepada-Nya kamu akan dihimpunkan. (Surah al-Maidah, ayat 96)
 
Nas yang umum daripada hadis pula seperti hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Malik, Darimi dan lain-lain yang bermaksud: "Ia (laut) bersih airnya dan halal bangkainya."
 
Berdasarkan nas daripada al-Quran dan hadis yang umum ini serta hukum yang diambil daripada kaedah syariah asal setiap sesuatu itu harus, maka dapat dikatakan semua haiwan yang tinggal dalam air harus dimakan termasuk katak. 

No comments:

Post a Comment