Friday 20 January 2017

Cara sentiasa kekal sihat

Bersukan, bersenam atau beriadah adalah cara atau satu keperluan untuk melahirkan individu kekal sihat, harmoni dan berinteraksi antara satu sama lain, selain dijadikan sebagai aktiviti masa senggang yang berfaedah. 

Biasanya apabila disebut bersukan, kita lebih fokus kepada jenis-jenis sukan untuk menyertai pertandingan. Sedangkan bersukan untuk tujuan menyertai pertandingan sebenarnya hanya melibatkan sebilangan kecil mereka yang digelarkan ahli sukan, manakala matlamat sebenar bersukan atau beriadah adalah untuk menjaga kesihatan.         

Oleh sebab itu, lebih elok kita menyebutnya beriadah yang merujuk kepada aktiviti melakukan gerak badan, senaman atau segala kegiatan yang dilakukan pada waktu lapang untuk menyihatkan badan dan fikiran.

Kelancaran pengaliran darah ke seluruh badan amat penting bagi pengangkutan horman dan zat pemakanan. Pengaliran darah yang ‘tersekat’ dan lemah akan mengakibatkan organ-organ badan tidak berfungsi dengan baik yang menyebabkan penyakit berbahaya berkaitan pengaliran darah. 

Pergerakan anggota badan dapat membantu jantung berfungsi dengan baik. Kesihatan jantung perlu dijaga kerana ia adalah ‘enjin’ kepada seluruh anggota badan. Jika jantung tidak berfungsi dengan baik, maka seluruh anggota badan menghadapi masalah dan mengganggu kualiti hidup serta menyebabkan penyakit berbahaya seperti kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang, lemah jantung dan sesak nafas.

Aktiviti badan yang aktif meningkatkan kadar metabolisma badan dan pembakaran lemak yang dapat mengatasi masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Keadaan badan mengalami obesiti mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan, terutama menyebabkan penyakit kencing manis atau diabetes dan darah tinggi.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), Kementarian Kesihatan bagi tahun 2011 menunjukkan bahawa kadar penyakit diabetes meningkat kepada 15.2 peratus daripada 11.6 peratus pada tahun 2006, sementara darah tinggi dalam kalangan orang dewasa yang berumur melebihi 30 tahun meningkat daripada 32.2 peratus kepada 32.7 peratus.

Selain itu, pengeluaran peluh ketika beriadah dapat membantu proses pengeluaran bahan beracun seperti asid daripada badan. Banyak unsur kimia berbahaya tidak dapat dikeluarkan melalui air kencing dan najis, sebaliknya hanya secara pelepasan air peluh.

Oleh sebab itu kerajaan melancarkan program sukan untuk semua dan gaya hidup sihat. Untuk mengekalkan tahap kecergasan, setiap orang perlu bersukan setiap hari atau sekurang-kurangnya selama 20 minit setiap kali sebanyak tiga kali seminggu.

Satu cara mudah beriadah ialah berjalan kaki. Berdasarkan kajian, berjalan kaki sebanyak 10,000 langkah sehari dapat membantu mengekalkan kesihatan badan yang melayakkan seseorang dianggap sebagai seorang yang aktif dan sihat dari segi fizikal. Oleh sebab itu, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) melancarkan kempen 10,000 Langkah Sehari.

Berjalan 10,000 langkah adalah bersamaan dengan berjalan kaki anggaran sejauh 6 kilometer sehari. Berjalan dengan langkah 10 000 sama seperti berenang selama 90 minit, berbasikal selama 70 minit, bermain bola sepak selama 90 minit.

Walaupun jumlahnya agak besar, tetapi tidak bermakna 10,000 langkah berjalan kaki itu perlu dilakukan secara berterusan untuk menggenapkan bilangan 10,000 langkah itu.  

Maksud 10,000 langkah ialah jumlah langkah berjalan kaki yang dilakukan dalam tempoh sehari. Tidak kiralah berjalan di dalam rumah, pergi ke sekolah, ketika melakukan tugasan seharian dan sebagainya.

Oleh sebab itu, setiap orang perlu mengurangkan penggunaan kemudahan seperti kereta dan motosikal untuk perjalanan ke tempat yang dekat. Selain itu kurangkan penggunan lif dan tangga bergerak jika berurusan di tempat yang menyediakan kemudahan tersebut. 

Golongan muda perlu mengambil kesempatan untuk menjaga kesihatan sebelum masuk usia tua yang biasanya mengalami pelbagai masalah kesihatan. Penyakit pada usia tua sebenarnya banyak berpunca tidak menjaga kesihatan ketika usia muda yang menunjukkan tanda-tandanya apabila usia meningkat tua.

No comments:

Post a Comment