Friday 20 January 2017

Cara cegah penyakit menular

Wabak penyakit adalah antara bala angkara kecuaian manusia. Sesungguhnya, setiap kejadian tidak berlaku dengan tanpa sebab, melainkan mengikut sunatullah yang telah ditetapkan atau berlaku secara yang diketahui puncanya. 

Allah SWT menurunkan bala penyakit bagi menyedarkan manusia agar tidak melakukan perbuatan menyalahi hukum, tabie alam dan undang-undang. Semua perbuatan yang mendatangkan bala mempunyai kaitan dengan perbuatan yang dilarang. 

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak ada seseorang Islam yang ditimpa sesuatu yang menyakitkan, yaitu penyakit atau lainnya, melainkan Allah gugurkan dengan sebab itu dosa-dosanya, sebagaimana pokok menggugurkan daunnya (pada musim tertentu).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Islam melarang semua bentuk pebuatan yang mendatangkan keburukan, biarpun sekecil mana perbuatan itu. Islam tidak berkompromi membenarkan perbuatan buruk atas alasan ia perkara kecil atau biasa dilakukan di kalangan ahli masyarakat.     

Biarpun kecil, kesannya mungkin besar. Akibatnya, manusia perlu menanggung segala bentuk bala akibat perbuatan sendiri. Wabak penyakit tidak tersebar dengan sendiri, melainkan melibatkan unsur kecuaian manusia. 

Sikap tidak mementingkan kebersihan, mengambil makanan berbahaya, tidak mematuhi peraturan kawalan penyakit, melakukan perbuatan dosa dan tidak mensyukuri nikmat Allah SWT  adalah antara punca berlaku wabak penyakit.  

Manusia biasanya lupa nikmat sihat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Ada dua jenis nikmat yang banyak melekakan ramai manusia, iaitu nikmat sihat dan nikmat masa lapang.” (Hadis riwayat Bukhari).

Nabi Muhammad memberi panduan berguna bagaiman mencegah dan mengawal sesuatu penyakit. Apa yang diamalkan Rasulullah diakui berkesan oleh pakar-pakar kawalan penyakit dan perubatan moden hari ini.

Rasulullah SAW memerintahkan agar sekiranya wabak penyakit menular di satu kawasan, maka penduduknya dilarang keluar ke tempat lain bagi mengelak penyakit itu  tersebar ke kawasan lain. Penduduk dari tempat lain pula ditegah memasuki kawasan dilanda wabak bagi mengelak terkena penyakit.     

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Jika kamu dengar berita suatu wabak taun berlaku di satu-satu tempat maka janganlah kamu memasuki tempat itu dan jika ia sudah berlaku di tempat kamu maka janganlah kamu keluar daripadanya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Di negara kita, apabila ada sesuatu wabak penyakit melanda sesuatu kawasan, kerajaan akan mengeluarkan arahan supaya rakyat tidak berkunjung ke kawasan itu. Penduduknya pula dinasihatkan agar tidak keluar dari kawasan itu.

Arahan itu penting bagi mengelak wabak penyakit menular di tempat lain. Lebih banyak orang menanggung akibatnya jika wabak merebak ke kawasan lain sehingga sukar untuk dikawal.  

Justeru, sesiapa yang yang perlu terus kekal di sesuatu tempat dilanda wabak hendaklah melakukan langkah berjaga-jaga supaya tidak terkena wabak penyakit itu, di samping bersabar dan bertawakal menghadapi musibah. Sesungguhnya Allah tidak akan mempersia-siakan pahala orang yang sabar dan bertawakal.      

Hal ini dijelasan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Seseorang hamba (Muslim) yang berada dalam satu-satu negeri yang terkena wabak taun maka hendaklah dia tetap diam di dalamnya, jangan sekali dia lari keluar daripadanya. Hendaklah dia bersabar dan mengharapkan ganjaran Tuhan dan di dalam hatinya dia berkeyakinan bahawa dia tidak akan terkena sesuatu kecuali apa yang telah ditentukan Allah untuknya. Baginya pahala sebagaimana pahala orang yang mati syahid.” (Hadis riwayat Bukhari).

Wabak penyakit adalah satu ujian terhadap manusia. Kejadian itu memberi peringatan dan menguji sejauh mana penerimaan terhadap apa yang berlaku terhadap diri dan masyarakat.  

Orang beriman menganggap wabak penyakit mempunyai hikmah disebaliknya. Semakin banyak ujian dihadapi memberi peringatan supaya lebih menghampirkan diri kepada Allah SWT. Oleh itu amat wajar melahirkan rasa bersyukur dapat meneruskan kehidupan biarpun berdepan dengan pelbagai wabak penyakit silih berganti.

Sikap manusia mudah lupa apabila mendapat nikmat, termasuklah nikmat kesihatan. Anugerah kesihatan baik yang dinikmati dirasakan sekadar satu perkara biasa. Sebaliknya, apabila ditimpa musibah penyakit, baru seseorang akan merasakan betapa besarnya anugerah kesihatan.

Kehidupan ini penuh dengan cubaan yang menguji ketakwaan dan keimanan. Hanya hamba yang benar-benar yakin kepada janji Allah SWT berjaya menghadapi setiap ujian dengan tenang. Allah SWT mengenakan lebih banyak ujian bertujuan memberi lebih banyak kebaikan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan baginya, Dia akan memberi musibah kepadanya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Orang bersabar dan reda terhadap ujian mendapat balasan besar. Hadis yang diriwayatkan Bukhari bermaksud: “Jika kamu sabar, bagi kamu syurga.”

Untuk menghindar sesuatu penyakit perlulah mengikut kaedah yang berkaitan dengannya. Sebagai contohnya untuk mengelak daripada penyakit deman denggi hendaklah menghalang diri daripada digigit nyamuk aedes.

Nyamuk aedes membiak di dalam takungan air yang bersih. Justeru, langkah pencegahan yang utama ialah menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes. Jika nyamuk aedes tidak ada, maka tidaklah penyakit deman denggi merebak. 

Tindakan menghapuskan tempat pembiakan aedes sebenarnya berkait rapat dengan menjaga kebersihan alam sekitar. Rasulullah SAW sentiasa menekankan soal menjaga kebersihan yang menjadi sebahagian daripada cabang iman.

No comments:

Post a Comment