Sunday, 15 January 2017

HUKUM SAMBUT HARI IBU











Kita banyak menyambut ‘hari’ sebagai tanda meraikan atau menghargai sesuatu peristiwa, kelompok manusia atau individu tertentu.  Hari ibu salah satu hari yang disambut oleh masyarakat di seluruh dunia.  Umumnya, hari ibu disambut pada setiap hari Ahad kedua bulan Mei setiap tahun. 

Ini bermakna tarikh untuk hari ibu berubah-ubah setiap tahun.  Memandangkan hari ibu bermula di Barat, maka ada yang mempertikaikan sambutan hari ibu.  Ada yang mengatakan haram sambut hari ibu.

Tidak jelas bilakah sambutan hari ibu dimulakan.  Bagaimanapun, banyak kisah mengaitkan ia mula diamalkan sejak zaman Yunani Purba ribuan tahun lalu.

Mengikut catatan, satu aliran pemikiran mengakui bahawa perayaan ini lahir dari satu adat pemujaan ibu di Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele, ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac.

Orang Rom Purba juga menyambut suatu perayaan yang bernama Matronalia bagi memperingati dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari ini.

Orang-orang Greece pula menganggap hari ibu sebagai perayaan musim bunga dan penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. 

Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai “Mothering Sunday”. Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari sama ada dalam bulan Februari atau Mac. 

Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Perayaan ini bersamaan hari kenduri Persembahan Nabi Isa di Kuil dalam mazhab Ortodoks Timur. Oleh sebab Theotokos (Ibu Tuhan) amat penting dalam perayaan ini kerana membawa Christ ke Kuil Jerusalem, perayaan ini dikaitkan dengan ibu. Namun begitu, kini ramai orang Greece cenderung menyambut Hari Ibu mengikut negara Barat yang lain.

Dalam tempoh tersebut, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. 

Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan. 

Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Di Amerika Syarikat pula, hari ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi “The Battle Hymn of The Republic” (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan “Hallelujah” dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother’s Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Anna Jarvis dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika. 

Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Hari Ibu juga disambut pada hari yang berbeza-beza di sebelah Asia kerana berbagai macam sumber asal-usulnya. Di China, Hari ibu disambut sebagai memperingati Meng Mu, ibu kepada Mencius. 

Di Thailand dirai sempena hari keputeraan Ratu Sirikit Kitiyakara pada 12 Ogos. Manakala 1 Jun di Mongolia adalah Hari Ibu dan pada Kanak-kanak Sedunia juga disambut serentak. Mongolia adalah satu-satunya negara yang menyambut Hari Ibu dua kali setahun.

Para ulama berselisih pandangan mengenai persoalan hukum meraikan hari ibu  ini. Sesetengah ulama mengatakan ianya bersifat bidah atau berdosa malahan ada yang ‘extreme’ sehingga mengharamkannya. Memang benar ianya bidah dan haram sekiranya itikad dan niat untuk meniru dan meraikan budaya-budaya di atas.

Manakala Profesor Tafsir dan Ilmu al-Quran di Universiti Al-Azhar, Dr Muhammad Bakar Ismail,  berpandangan sambutan Hari Ibu adalah harus kerana meraikan serta memuliakan ibu seperti pada hari ibu adalah bidah dalam perkara adat dan bukan ibadat.

Apa yang penting, sambutan hari ibu yang kita sambut itu tidak diniatkan dengan kaitan sambutan hari ibu yang diamalkan oleh penganut agama lain yang bersandarkan kepercayaan mereka. 

Anggaplah sambutan itu sebagai satu adat yang kita wujudkan untuk kebaikan.  Dalam Islam sesuatu adat yang mendatangkan kebaikan dibenarkan.  Sambutan itu dilakukan dalam ruang lingkup untuk meraikan ibu dan meletakkan kedudukan ibu pada tahap yang mulia. 
Sesungguhnya, Allah memerintahkan agar kita memuliakan ibu dan bapa.  Berdosa besar sesiapa yang mengabaikan kedua ibu bapanya. 

Firman Allah SWT: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).  
(Surah al-Isra, ayat 23)

Dengan termaktubnya hari ibu seharusnya dijadikan hari peringatan atau perayaan terhadap peranan seorang ibu dalam keluarganya, baik untuk suami, anak-anak, mahupun sesama manusia.

Pengorbanan ibu kepada anak itu tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit dan kemewahan semata-mata. Oleh itu, wajib anak berbuat baik dan berbakti kepada ibu mereka terutama selepas meningkat dewasa.

Firman Allah SWT: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (supaya berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu.” (Surah Lukman, ayat 14)

Kita menyambut hari ibu bukan bermakna menyembah ibu sepertimana dilakukan oleh penganut agama lain yang menjadi tradisi mereka.  Sesungguhnya, biarpun ibu diletakkan di tahap yang mulia, tidak pula bermakna kita menyembah ibu.

Firman Allah SWT: “Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23) 


No comments:

Post a Comment