Friday, 20 January 2017

Layan ibu mertua

Pada suatu hari, aku terpaksa melayan ibu mertua. Sebenarnya aku baru berkahwin sebulan lalu. Isteriku, Yati anak tunggal. Bapa mertuaku telah meninggal kira-kira empat tahun lalu. Tinggallah ibu mertuaku dengan isteriku di rumah peninggalan arwah bapa mertuaku.

Justeru, aku ambil keputusan untuk tinggal di rumah itu kerana tidak sanggup meninggalkan ibu mertuaku keseorangan. Tambahan pula, kata ibu mertuaku, rumah itu akan diserahkan kepada isteriku nanti.
Aku memang perokok tegar. Setiap hari dua bungkus rokok pasti dihabiskan. Aku paling kuat merokok jika keseorangan. 
Pada suatu malam ketika aku sedang merokok di ruang tamu, ibu mertuaku menghampiri aku. Dua duduk di sebelahku. Ketika itu isteriku sedang nyenyak di dalam bilik tidur. Katanya letih sangat kerana banyak kerja di pejabat.
Ibu mertua: Li.. ibu lihat kamu ni kuat merokok. Ketagih sangat nampak. Sepanjang hari merokok. Kamu tidak takut bahayakah?
Aku:  Biasalah ibu... orang lain pun merokok.
Ibu mertua: Tahukah kamu merokok itu haram di sisi Islam?
Aku: Mana ada haramnya merokok... pak lebai, pak haji dan ada mufti pun merokok. Jadi, pada saya merokok itu tidak haram.
Ibu mertua: Adakah sesuatu menjadi halal kerana ada orang lain melakukannya? Kalau ada pak lebai menipu, adakah itu bermakna menipu itu halal dan baik?
Aku: Tidaklah begitu..... tetapi tidak ada ayat dalam al-Quran dan hadis mengatakan merokok itu haram.
Ibu mertua: Adakah ayat al-Quran atau hadis menyatakan dadah itu haram? 
Aku: Tidak ada.
Ibu mertua: Jadi adakah kamu akan mengatakan dadah itu halal?
Aku: Tentulah tidak.
Ibu mertua: Kalau begitu, demikian juga dengan rokok. Perkara yang mendatangkan keburukan itu adalah diharamkan dalam Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang maruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk. (Surah al Araf, ayat 157).”
Aku: Apa buktinya merokok itu buruk. Semua orang merokok mengatakan 'hebat' merokok.  Boleh memberi ketenangan dan inspirsi...
Ibu mertua: Itu kata perokok. Hakikatnya kajian perubatan telah membuktikan merokok itu berbahaya. Adakah kamu sayangkan Yati?
Aku: Ya.... sudah pasti.
Ibu mertua: Kalau begitu, berhentilah merokok.
Aku:  Apa kaitannya?
Ibu mertua: Bapa Yati meninggal kerana barah paru-paru akibat ketagih merokok. Ibu tidak mahu Yati kehilangan suami akibat yang sama. Cukuplah ibu kehilangan suami akibat itu. 
Aku perhatikan ibu mertuaku sebak dan ada air mata mengalir membasahi pipinya. Dia kemudian bangun masuk ke bilik meninggalkan aku bersedirian di ruang tamu. Aku insaf dan berjanji akan berusaha berhenti merokok.

No comments:

Post a Comment