Hakikat inilah sebenarnya yang diamalkan sarjana Islam sehingga mampu mencipta kejayaan pada zaman kemuncak tamadun dahulu. Mereka mengejutkan minda agar tidak terus lena, sebaliknya berfikir dengan kekuatan yang dimiliki untuk berjaya.
Buku Rahsia Minda Hebat tulisan Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan Muhammad Zakaria memberi kekuatan kepada pembaca yang berusaha untuk merubah kehidupan kepada lebih baik. Kandungan buku itu mempersembahkan gagasan berdasarkan ilmu syariat dan psikologi serta pengalaman mereka untuk mengajak pembaca memahami kekuatan dan fungsi minda.
Kita perlu yakin kepada kekuatan minda yang dianugerahkan Allah SWT untuk manusia menjadi khalifah dengan tugas yang cukup berat. Namun, bagi mereka yang hanya menggunakan kekuatan nafsu, tugas sebagai khalifah dirosakkan untuk kepentingan diri. Mereka yang sedemikian menggunakan kelebihan ilmu dan pengetahuan untuk dimanipulasi bagi kepentingan diri.
Minda membolehkan manusia menilai baik dan buruk, mampu membezakan di antara yang benar dan palsu, bersih dan kotor, untung atau rugi, malah memandu untuk mengenal diri dan Penciptanya.
Jadi, amat rugi yang menungkapkan kata-kata bahawa dirinya malas untuk berfikir atau fikiran lembap. Otak boleh diumpamakan seperti logam yang perlu sentiasa digilapkan untuk nampak bersinar. Proses mengilap otak ialah dengan banyak berfikir atau menggunakan fungsi otak agar sentiasa berjalan.
Hasan al-Basri berkata: "Sesungguhnya golongan yang berfikir mereka sentiasa mengulangi apa yang mereka ingati, sehinggalah hati mereka dapat berbicara dengan kata-kata hikmah."
Kisah seorang Barat, Isaac Newton (1643-1727), iaitu seorang ahli fizik, matematik, falsafah dan astronomi yang terkenal dengan penemuan formula graviti wajar juga diambil pengajaran.
Kejayaan Newton adalah hasil penelitian dan berfikir terhadap apa juga kejadian yang berlaku di sekelilingnya. Setiap perkara yang berlaku pasti ada alasan sebabnya yang menjadi aturan alam. Biarpun apa yang berlaku di dunia ini dikaitkan sebagai ‘semulajadi’, namun hakikatnya ia ditentukan oleh Allah SWT setiap apa yang berlaku walaupun sekecil pergerakan jisim-jisim yang tidak kelihatan dengan mata kasar.
Allah SWT menyuruh agar manusia mengkaji setiap ciptaan, melainkan zat-Nya. Setiap ciptaan dan kejadian di dunia ini ada manfaatnya kepada manusia. Oleh sebab itu, manusia perlu mengkaji dan mencari cara mana sesuatu perkara itu boleh dimanfaatkan.
Amat ditakuti apabila manusia menggunakan keupayaan akal untuk melakukan onar dan kejahatan. Mereka bijak mengggunakan akal untuk menimpu orang lain dengan mendapat apa yang tidak sepatutnya menjadi hak mereka. Malah mereka bijak menampilkan diri seperti seperti orang-orang baik dan bermaruah, sedangkan pelakuan sebenarnya penuh dengan kepalsuan.
Marilah kita bersama-sama melaksanakan hak keutamaan menggunakan minda sepertiman ditegaskan Rasulullah SAW dalam dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban, maksudnya: "Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun."
No comments:
Post a Comment