Wednesday 8 March 2017

Bantuan Rakyat 1 Malaysia


Secara keseluruhan, seramai hampir 6,320,769 permohonan telah diluluskan bagi menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) 2017 yang merangkumi bantuan RM1,200 kepada 3,242,048 penerima isirumah yang berpendapatan bulanan RM3,000 dan kebawah, bantuan RM900 kepada 291,918 penerima isirumah yang berpendapatan bulanan di antara RM3,001 hingga RM4,000, dan bantuan RM450 kepada 2,786,803 penerima individu yang berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5.41 billion - statistik ini adalah untuk kelulusan peringkat awal dan tidak termasuk setelah kelulusan selepas rayuan.

BR1M adalah sebenarnya satu formula ekonomi untuk menstabilkan tekanan inflasi, BR1M salah satu stimulasi pakej ekonomi, atau pakej rangsangan ekonomi. BR1M bukan satu bentuk rasuah politik, tetapi kaedah ampuh membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

BR1M merupakan satu bentuk bantuan sosial yang diperkenal oleh kerajaan Malaysia kepada kumpulan sasar yang telah dikenal pasti. Ia bermula pada tahun 2012 dan diuruskan oleh pelbagai agensi yang dipantau oleh kerajaan.

BR1M adalah inisiatif di bawah jaminan sosial iaitu satu bentuk dasar sosial untuk mengatasi kemiskinan dan ketempangan sosial dalam masyarakat. Jaminan sosial dilaksanakan dalam pelbagai bentuk seperti sokongan pendapatan dan dasar cukai serta pemeliharaan pendapatan (taxation and income maintenance policy).

Namun jaminan sosial ini selalunya meliputi pelbagai aspek perkhidmatan sosial seperti rawatan kesihatan dan pendidikan. Terdapat dua jenis jaminan sosial iaitu berbentuk sokongan pendapatan (in-cash) dan sokongan barangan atau sokongan sosial (in-kind).

Maksud jaminan sosial ialah usaha membebaskan masyarakat daripada kesusahan. Secara khusus, jaminan sosial didefinisikan sebagai sistem pemberian wang dan/atau perkhidmatan sosial untuk melindungi seseorang daripada risiko tidak memiliki atau kehilangan pendapatan disebabkan kemalangan, kecacatan, sakit, menganggur, usia tua dan kematian.

Alasan kukuh pelaksanaan BR1M ialah melindungi kelompok tertentu dalam negara daripada menghadapi kesusahan hidup kesan daripada risiko yang tidak diduga seperti kenaikan harga barang secara mendadak kerana kemerosotan ekonomi dunia.

BR1M bukannya satu bentuk pemberian awam yang sia-sia malah satu pelaburan sosial yang menguntungkan pada jangka masa panjang jika didasari dua prinsip iaitu agihan semula pendapatan dan kesatuan sosial. Dua prinsip ini menjelaskan fungsi mekanisme jaminan sosial seperti BR1M ini.

Contohnya ialah menerangkan peredaran wang pemberian oleh kerajaan kepada penerima hingga wujud mekanisme saling melindungi untuk meningkatkan kualiti hidup. Redistribusi atau agihan semula pendapatan dibahagikan kepada bentuk vertikal dan horizontal.

Vertikal ialah pemindahan wang daripada orang kaya kepada orang miskin. Dalam maksud yang lebih mendalam, bentuk pemindahan ini ialah dokongan masyarakat yang lebih kuat kepada kelompok masyarakat yang lemah, khususnya dalam aspek ekonomi.

Horizontal ialah pemindahan wang antara kelompok seperti laki-laki kepada perempuan, dewasa kepada orang tua atau dewasa kepada remaja dan sebagainya. Contoh lain ialah kelompok sihat kepada orang sakit atau yang bekerja kepada golongan pencen dan bersara.

Kesatuan sosial mempunyai pendekatan yang berbeza kerana dilaksanakan atas dasar saling memberi keuntungan kerana sifatnya yang kolektif. Saling menguntungkan bermaksud angota masyarakat bersetuju berkongsi risiko dan tanggungjawab menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan. Manakala kolektif merujuk kepada usaha kesejahteraan sosial merupakan tanggungjawab semua anggota dalam masyarakat atau negara.

Bantuan sosial adalah jaminan sosial yang umumnya diberikan kepada golongan lemah dalam masyarakat. BR1M yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia memenuhi ciri-ciri umum iaitu pendapatan di bawah paras tertentu, bersifat kolektif dan universal iaitu setiap warganegara yang layak tetapi khusus, berbentuk in-cash dan disenggara oleh kerajaan sendiri.

Kelebihan bantuan sosial ialah menjangkau pelbagai kelompok sasar dan dapat memenuhi keperluan yang khusus. Bantuan tunai daripada BR1M dapat digunakan untuk kepentingan khusus penerima seperti persediaan anak-anak ke sekolah, meringankan beban kewangan warga emas dan penuhi keperluan harian golongan miskin dalam tempoh tertentu.

Pelaksanaan bantuan sosial seperti BR1M di Malaysia dapat menjadi asas kepada kesejahteraan sosial dalam tempoh yang singkat kerana kelompok sasar berupaya menghadapi kesulitan hidup dalam tempoh sementara.

Namun, dalam jangka masa lebih panjang, bantuan sosial dalam bentuk in-kind adalah lebih sesuai supaya kelompok sasar dapat berdikari sendiri dan berupaya memperkasa keluarga sendiri.

Pelaburan sosial dalam bentuk pendidikan boleh menggalakkan kelompok sasar lebih cepat mengubah kehidupan mereka walaupun tempoh untuk melihat perubahan tersebut mungkin mengambil masa.

Tekanan ekonomi global dan kelembapan ekonomi dunia telah mempengaruhi kestabilan ekonomi Malaysia, dan akibatnya tekanan inflasi semakin kuat dan ekonomi agak tidak stabil.

Maknanya, sesuatu ekonomi itu harus dipastikan bergerak sentiasa dan aktif dan stabil untuk memastikan ekonomi itu sihat.

Pemberian BR1M kepada rakyat membolehkan rakyat mendapatkan lebihan wang untuk berbelanja, dan wang daripada BR1M yang diberikan itu mampu memastikan aktiviti ekonomi stabil bergerak.

Sektor peruncitan adalah penjana utama sesebuah ekonomi, sektor peruncitan harus dipastikan aktif agar tidak terjadi inflasi.


BR1M amat membantu sektor peruncitan kerana bantuan BR1M mampu dan boleh memastikan rakyat dapat lebihan wang untuk kegunaan asas perbelanjaan dapur setiap bulan.

No comments:

Post a Comment