Wednesday 15 March 2017

Rumah ibadat pertama di bumi

Kaabah ialah Baitullah al-Haram dan ia merupakan kiblat bagi umat Islam. Allah SWT telah menjadikan baginya beberapa kelebihan seperti hubungannya dengan dua Rukun Islam, iaitu solat dan haji.

Tidak sah seseorang Muslim sekiranya dia tidak menghadapkan muka ke arahnya dan tidak sah haji seseorang sekiranya dia tidak melakukan tawaf mengelilinginya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk manusia (sebagai tempat beribadat) ialah Baitullah yang berada di Bakkah (Makkah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi manusia."

Tidak ada khilaf (perselisihan pendapat) dalam kalangan ulama bahawa rumah ibadat yang pertama didirikan untuk manusia ialah Kaabah.

Ini berdasarkan hadis Abi Zar al-Ghifari ketika beliau bertanya Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, apakah masjid yang paling awal dibina?” Jawab Rasulullah” “Masjidilharam.” Kemudian beliau bertanya lagi: “Selepas itu?” Jawab Rasulullah: “Masjidil Aqsa.” Beliau bertanya: “Berapakah jarak masa antara kedua-duanya?” Jawab Rasulullah: “Empat puluh tahun.”

Maksud “jarak masa 40 tahun” ialah jarak di antara pembinaan tapak asas kedua-duanya. Ini menunjukkan bahawa orang yang mula-mula meletakkan asas pembinaan Kaabah bukan Nabi Ibrahim dan orang yang mula-mula meletakkan asas pembinaan Baitul Maqdis bukan Nabi Sulaiman.

Hal itu kerana jarak masa antara kedua-duanya adalah lebih daripada seribu tahun. Mereka berdua ialah orang yang memperbaharui binaan kedua-duanya. 

Sejarah pembinaan Kaabah dan Masjidilharam. Kisah pembinaan Kaabah bermula sebelum Allah SWT menjadikan bumi dan segala isinya. Perkara ini berdasarkan kepada maklumat yang disebut dalam kitab-kitab sejarah.

Terdapat hadis sahih yang menyebutkan bahawa Nabi SAW telah bersabda dalam khutbah pembukaan kota Makkah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah yang mengharamkan Makkah pada hari penciptaan langit dan bumi.”

Makkah tidak dipilih sebagai Tanah Haram jika tidak kerana kewujudan Kaabah padanya.

Perkara yang menjadi khilaf dalam kalangan ulama ialah penentuan siapakah orang yang pertama membinanya, khasnya binaan sebelum Nabi Ibrahim. 

Walaupun ia disebut oleh ahli-ahli sejarah tetapi riwayat tersebut memerlukan penelitian dan kajian yang terperinci untuk menentukan kesahihannya.

Menurut riwayat Abu al-Walid al-Azraqi dalam kitabnya Akhbar Makkah, Ka’ab al-Ahbar telah berkata bahawa Kaabah ialah buih yang terapung di atas air selama empat puluh tahun sebelum Allah SWT menjadikan langit dan bumi dan daripadanya dihamparkan kejadian bumi.

No comments:

Post a Comment