Tuesday 28 March 2017

Resipi sura Kelantan

Asyura adalah hari ke-10 dalam bulan Muharam. Menjadi tradisi, pada hari tersebut dan hari-hari seterusnya dalam bulan Muharam adakan diadakan majlis membuat bubur asyura. Di Kelantan, bubur asyura dipanggil sura atau suro. 
 
Biasanya bubur asyura tidak ada resipi khas. Asal ada rempah yang sesuai dan dimasakkan seperti bubur, maka ia dikenali sebagai bubur asyura. Setiap negeri ada resipi masing-masing. 

Sebab itu ada dipanggil suro Kelantan, sura Terengganu, sura Kedah, sura Pahang dan seluruh nama bagi negeri-negeri di Malaysia ini. Majlis kacar suro menjadi tradisi setiap tiba bulan Muharam.  

Begitu juga cara buat suro ada macam-macam cara. Bahkan, anda boleh buat resipi suro sendiri yang ala-ala sura. Namun jangan pula sampai tidak nampak macam rupa suro. Jika resipi sendiri sudah jadi benda lain, tidaklah ia dipanggil suro.

Dengan kata lain, ia bukan saja berbeza pada nama, tetapi juga tentunya pada rasa dan bentuk siapnya. 

Namun, bagi orang jom buat sura atau pakar rujuk dalam soal buat suro, mereka pantang jika ada orang tidak mahu ikut apa yang dia buat atau suruh. 
 
Kalau rasa ada orang lain lebih pandai dan tidak mahu ikut dia, terus dia akan tinggalkan majlis. Dia tidak mahu berganjak dan berkompromi dengan cara dia buat sura. 

Sebab itu, golongan muda yang lebih inovasi dan tidak mahu terikat dengan resipi seseorang akan buat ikut gaya masing-masing. 

Sebenarnya, paling mencabar buat sura ialah masa memasaknya mengambil masa lama, kira-kira lima jam yang perlu dikacau tanpa henti untuk menggelak kerak. 
 
Ada juga yang mengacau sura hingga lapan jam. Malah di kalangan pembuat sura di Kelantan, mereka berbangga apabila lebih lama terpaksa mengacau sura.

Mereka bergilir-gilir mengacau sura yang melibatkan bantuan jiran tetangga. Suasana lebih meriah apabila dibuat secara beramai-ramai melibatkan banyak kawah sehingga jadi seperti satu pesta. 


Kalau dibuat pada hari Jumaat, semasa kaum lelaki pergi Jumaat, kenalah orang perempuan menggantikan. Ada juga kes meminta bantuan orang lelaki bukan Islam untuk membantu kaca suro masa orang lelaki Islam pergi sembahyang Jumaat.  

Ini bezanya bagi sura di Kelantan. Di tempat lain mungkin masa lebih singkat. Sura di Kelantan dimasak dalam kawah untuk memudahkan mengacaunya kerana bentuknya melengkung ke bawah. Sedangkan bubur di negeri lain dimasak dalam periuk besar.

Sebab itu, rasa dan bentuk sura yang siap dihidang berbeza-beza di antara negeri. Di kebanyakan negeri di pantai barat, buburnya cair atau sedikit pekat. Ia menepati ciri bubur yang sifatnya cair. 

Sedangkan di Kelantan dan Terengganu, buburnya akan membeku keras padat macam nasi impik apabila sejuk. Warnanya hitam seperti tar. 
 
Sebab itu, di kedua-dua negeri itu sebenarnya tidak dipanggil bubur, sebaliknya hanya dikenali sura atau sure.   

Di sini dicatatkan bahan dan cara membuat sura di Kelantan. Pun begitu, mungkin orang lain kata lain. 
 
Tidak kisahlah. Seperti dikatakan tadi, sura ini boleh buat dengan bahan dan cara yang macam-macam. 
 
Resipi bubur sura atau asyura Kelantan. 

Bahan asas untuk satu kawah suro:

Beras + keledek + ubi kayu + ubi keladi + ubi badak + ubi itik  + ubi  + labu dan yang sejenis dengannya hendaklah tidak melebihi 6 kg. Seeloknya beras 4 kg dan bahan-bahan lain hanya 2 kg.

Bahan lain:
.
- Santan 8 kg
- Gula 9 kg (atau secukup rasa  kurang atau lebih)
- Daging 5 kg
- Bawang merah 4 kg.
- Jagung 2 kg
- Kacang hijau 2 kg
- Halia  1 kg
- Bawang putih 1 kg
- Rempah.
- Garam secukup rasa.

Penyediaan bahan membuat suro.

- Daging direbus dan dilumatkan atau dicarikkan. (1)
- Kacang hujau direbus dan dihancurkan (2)
- Jagung direndang dan direbus, kemudian dihancurkan. (3)
- Bawang merah, bawang putih dan halia dimesin lumat. (4)
- Bahan asas lain (selain beras) hendaklah direbus dan dihancurkan. (5)
- Bahan 1 hingga 5 digaul bersama santan. (6)

Cara memasak sura.

- Air dipanaskan dan dimasukkan beras.
- Selepas beras menjadi bubur, masukkan bahan 5 dan 6 sekaligus. 
- Kacau hingga 'gedik'.

Tempoh memasak (tidak termasuk penyediaan bahan): Sekitar 4 hingga 6 jam, bergantung kepada kepanasan api yang digunakan.

Bahan api:

Kebiasaannya mengunakan dapur kayu. Bagaimanapun, terdapat cara lebih mudah iaitu menggunakan dapur besar gas. Anggaran penggunaan gas hanya sekitar 5 kg atau satu pertiga tangki gas 14 kg. 
 
Paling banyakpun sekitar separuh tangki. Oleh itu, anggaran kos gas adalah sekitar RM9 hingga RM12. Ia lebih mudah dikendalikan, bersih dan selamat.

Anggaran kos keseluruhan (tidak termasuk pengurusan dan kos-kos lain, seperti makan minum dan peralatan lain) ialah RM220. Kos lain biasanya penggunaan bekas plastik sekitar RM50 (plastik tahan panas).  Sebanyak 100 buah diperlukan.

Catatan:
Jika ada yang mengatakan ada bahan lain atau cara membuatnya berbeza, itu terpulang kepada kefahaman dan citarasa masing-masing. 
 
Cara ini dianggap mudah dan kos sederhana. Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment