Tuesday, 28 March 2017

Harga Minyak Mingguan

Pengenalan harga siling mingguan bagi minyak petrol dan diesel memberikan pengguna trend harga runcit yang lebih stabil berbanding harga siling bulanan yang dilaksanakan sebelum ini.

Pengenalan mekanisme harga siling mingguan dapat mengelakkan perubahan ketara kepada harga runcit petrol dan diesel berbanding pengiraan secara bulanan kerana tempoh pengiraan bagi harga siling yang lebih pendek dan sebarang perubahan adalah lebih berperingkat.

Walaupun harga siling ditetapkan kerajaan, terpulang kepada mana-mana syarikat minyak untuk menjual petrol dan diesel di bawah harga berkenaan.

Harga siling petro dan diesel akan diumumkan pada setiap hari Rabu dan dikuatkuasakan selepas 1200 tengah malam hari Khamis.

Keputusan menukar penetapan daripada bulanan kepada mingguan mendapati sistem itu lebih praktikal apabila tidak perlu menunggu lama untuk melaksanakan perubahan harga.

Jika berlaku naik turun harga hanya dalam jumlah yang kecil. Contohnya pada Januari lalu berlaku kenaikan ketara sehingga 20 sen, sedangkan secara mingguan kenaikan hanya antara tiga hingga tujuh sen saja.

Kenaikan tiga hingga tujuh sen tidak ketara sangat berbanding kenaikan akibat menunggu sebulan hingga sampai 20 sen yang disifatkan terlalu tinggi oleh banyak pihak.

Keadaan itu mencetuskan pembelian panik dalam kalangan pengguna yang berpusu-pusu ke stesen minyak, ini bermakna sistem mingguan akan mengawal kenaikan dan penurunan harga minyak, sekali gus ia tidak akan naik dan jatuh mendadak.

Satu lagi yang memberi kebaikan mengamalkan harga minyak mingguan ialah dari segi sikap pengguna. Pengumuman harga mingguan yang 'kerap' menyebabkan pengguna kini sudah lali dan tidak lagi begitu mengambil kisah mengenainya.  

Begitu juga di kalangan mereka yang ingin mempolitikkan soal turun naik harga minyak. Kini isu harga minyak tidak lagi 'panas' kerana turun naik berlaku dalam tempoh masa yang singkat.  



Penentuan harga mingguan ini telah ditamatkan apabila Pakatan Harapan mengambilalih pemerintahan negara.

No comments:

Post a Comment