Saturday 24 June 2017

Sejarah jajahan Pasir Puteh, Kelantan

Pasir Puteh salah satu jajahan di Kelantan. Ianya bersempadan dengan jajahan Kota Bharu di sebelah Utara, jajahan Machang di sebelah Barat, jajahan Bachok di sebelah Timur Laut dan di sebelah Selatan bersempadan dengan Daerah Besut, negeri Terengganu.

Pada asalnya Pasir Puteh dikenali sebagai Pengkalan Limbungan. Nama ini ditukar selepas lawatan Sultan Muhammad Ke-4 ke kawasan ini. Baginda melihat kawasan gemerlapan dengan pasir putih memutih di sepanjang tebing Sungai Semerak. Pada 1911, Baginda telah merasmikan nama Pasir Puteh sebagai sebuah jajahan.

Pasir Puteh amat sinonim dengan nama pahlawan terbilang Kelantan iaitu Tok Janggut yang berasal dari jajahan tersebut.

Jajahan Pasir Puteh wujud sejak tahun 1905 dengan keluasan 433.8 kilometer  persegi (167.2 batu persegi).

Topografi jajahan Pasir Puteh boleh dibahagikan kepada dua keadaan yang besar iaitu keadaan tanah yang berbukit-bukit dan tanah rendah.

Terdapat beberapa buah bukit di jajahan ini iaitu Bukit Mak Lipah, Bukit Jerus, Bukit Bayoh, Bukit Belakang Parang, Bukit Batu Kawi, dan Bukit Peraksi. 

Bukit Mak Lipah adalah merupakan bukit yang paling tinggi iaitu 269 meter yang terletak berhampiran dengan sempadan Daerah Bachok di sebelah Utara.

Pasir Puteh merupakan sebuah bandar yang wujud di antara dua buah sungai iaitu Sungai Rasau dan Sungai Semerak. 
 
Pada masa dahulu, sungai menjadi jalan pengangkutan utama. Sungai juga menjadi tempat hidupan air tawar seperti ikan, ketam dan udang yang dijadikan sumber makanan. Air sungai juga digunakan untuk tujuan pertanian. Jadi, kawasan tebingan sungai menjadi kawasan penempatan pilihan terbaik. 

Dari segi pembangunan, Pasir Putih semakin terkenal apabila Tok Bali yang terletak di dalam jajahan tersebut menjadi destinasi pelancongan dan pengkalan kepada pelbagai aktiviti berkaitan perkapalan. Tok Bali bakal menjadi pelabuhan utama di Pantai Timur pada masa akan datang. 

No comments:

Post a Comment