Buli siber satu fenomina baru dalam
kepesatan dunia siber atau alam maya. Tidak ramai pengguna maya berasa dia
telah menjadi mangsa buli. Begitu juga pembuli siber tidak sedar dia telah
menjadi pembuli.
Buli siber adalah perbuatan mengancam,
memalukan atau menakutkan seseorang melalui medium elektronik dan internet.
Antara jenis buli siber ialah mesej
yang mengganggu dan mengancam, menyalahgunakan kata laluan atau nama skrin
orang lain atau menyamar sebagai orang lain.
Perbuatan lain termasuk perbuatan
siber buli ialah memanjangkan e-mel, foto atau video kepada orang lain, memuat
naik komen atau gambar yang tidak senonoh, sexting (tindakan
menghantar gambar, mesej atau video berunsurkan seksual menggunakan telefon
bimbit atau laman sosial) dan memulaukan individu tertentu daripada sesuatu
kumpulan internet dengan sengaja.
Buli siber yang teruk atau kronik
boleh menyebabkan mangsa menjadi resah, murung serta penyakit lain yang
berkaitan dengan tekanan. Dalam kes tertentu, buli siber boleh menyebabkan mangsa
membunuh diri. Buli siber adalah salah di sisi undang-undang.
Suruhanjaya Komunikasi Multimedia
Malaysia (SKMM) sebagai badan selia berkaitan aktiviti atas talian atau melalui
medium internet bertanggungjawab memantau aktiviti siber buli.
Jauhi diri anda daripada menjadi
mangsa buli siber dengan cara mengamalkan keselamatan internet. Jangan dedahkan
atau kongsi kata laluan atau kunci. Jika kita tidak senang dibuli, begitu juga
orang lain. Jadi, jangan mulakan atau amal perbuatan membuli. Wujudkan suasana
selamat dan aman di media sosial.
Sememangnya sifat semula jadi manusia
menggemari sesuatu yang mengujakan, melucukan ataupun menyentuh emosi.
Sifat ini biasanya disusuli dengan
tolakan yang kuat untuk menyebar dan menghebahkannya akibat teruja untuk
berkongsi perasaan yang sama.
Mungkin di sini bermulanya kebanyakan
video, gambar dan cerita yang tularl dalam masyarakat hari ini. Kewujudan alam
tanpa sempadan atas nama internet, media sosial dan seangkatan dengannya pula
menjadi katalis bagi fenomena ini.
Tidak kira siapa yang merakam atau
menyebarkannya, apa yang kita tahu ialah ia tular ke segenap kumpulan media
sosial dan laman web seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Ia disambut
dengan senyuman, tawa dan akhirnya kembali ditularkan.
Namun, pada sisi lain fenomena ini
yang sering kita terlepas pandang ialah akibat dan kesannya kepada mangsa yang
dirakam. Perbuatan merakam dan menyebar tanpa izin bukan sahaja menyalahi
sempadan privasi individu, malah lebih teruk, memberi kesan secara langsung
kepada subjek yang dirakam.
Dimalukan, menjadi bahan tawa dan
diejek adalah komplikasi yang lumrah hasil tangan manusia itu sendiri.
Inilah bentuk baharu buli siber yang
jelas, sebagaimana yang digariskan dalam definisi buli siber itu sendiri.
Raskauskas dan Stolz (2007)
mendefinisikan buli dalam kategori ini sebagai sebarang serangan bukan fizikal.
Ia termasuk menghina, mengejek,
menipu, mempersenda, menyebar berita palsu atau mengancam seseorang menggunakan
medium siber.
Nyata dalam kes ini, buli berlaku
tanpa segan silu dalam bentuk memalukan mangsa, tidak kira apa juga niat
pembuli berkenaan. Sekalipun tidak ada sebarang kecederaan fizikal yang
ditinggalkan dalam kes ini, apa yang nyata adalah kajian secara konsisten
menunjukkan buli siber boleh memberi kesan yang lebih serius berbanding
fizikal.
Peningkatan kes masalah mental dan
bunuh diri oleh mangsa buli siber di luar negara juga dikhuatiri merebak ke
Malaysia akibat fenomena yang sama.
Teknologi seharusnya menjadi alat
pemacu pembangunan manusia dan bukannya pemusnah kepada nilai kemanusiaan. Garis
panduan dan etika manusia jelas menggariskan kepentingan menjauhi sifat
merendah-rendahkan orang lain.
Semua pihak perlu mengambil inisiatif
menghentikan budaya penyebaran perkara yang tidak positif seperti ini dalam
media sosial. Kemunculan komputer mudah milik dan akses mudah kepada Internet
membuatkan kita lebih bergantung kepadanya.
Hari ini, seseorang itu tidak
memerlukan komputer untuk mengakses Internet kerana peranti lain contohnya
tablet, telefon pintar dan pencetak juga berupaya melakukannya. Ada kanak-kanak
yang mula diperkenalkan kepada komputer seawal umur lima tahun dan menjelang
remaja, mereka sudah pun menjadi ‘pakar teknologi’.
Internet sudah menjadi perkara penting
kehidupan remaja kerana ia pintu gerbang kepada banyak maklumat. Mereka boleh
membuat kerja sekolah, penyelidikan dan merujuk kepada bahan berkualiti untuk
tugasan.
Internet juga adalah cara yang baik
untuk remaja bersosial.
Media sosial digunakan secara meluas
oleh remaja (dan juga orang dewasa) sebagai cara untuk berhubung dengan kawan
dan keluarga, di mana-mana dan pada bila-bila masa. Anak anda tidak mengenali
dunia tanpa Internet atau media sosial dan mereka tidak dapat bayangkan dunia
tanpanya.
No comments:
Post a Comment