Thursday, 9 November 2017

Definisi siber buli

Siber buli satu bentuk buli di alam siber. National Crime Prevention Council  mentakrif siber buli adalah "apabila Internet, telefon bimbit atau alat lain yang digunakan untuk mengirim teks atau imej diniatkan untuk mencedera atau memalukan orang lain." 

Manakala StopCyberbullying.org, sebuah pertubuhan pakar berdedikasi pada keselamatan, kawalan dan keperibadian internet, mentakrifkan siber buli sebagai:

"Suatu keadaan apabila seorang kanak-kanak, usia di antara kanak-kanak dan belasan tahun dan usia belasan tahun 'menyeksa, mengancam, mengganggu, menghina, memalu atau kalau tidak menyasar' berulangan oleh kanak-kanak atau remaja belasan tahun lain menggunakan mesej teks, email, mesej segera atau mana-mana jenis lain teknologi digital."

Siber buli dapat difahami iaitu apa sahaja dihantar oleh pihak lain sedangkan penerima tidak mahu kepada kandungan tersebut dan tidak mahu meneruskan apa-apa hubungan dengan pengirim itu.

Kandungan itu mungkin termasuk ancaman, ulasan seksual, kelabelan pejoratif (iaitu ucapan benci), berpakat terhadap mangsa dengan membuat mereka taklukan penghinaan dalam forum, dan mengirimkan kenyataan palsu dan apabila fakta ditujukan pada penghinaan.

Siber buli dapat mendedahkan data peribadi mangsa (contohnya nama sebenar, alamat, atau tempat kerja/sekolah) di laman web atau forum atau dapat menyamar sebagai pengenalan mangsa untuk tujuan menerbitkan bahan dalam nama mereka yang menfitnah atau memalukan mereka.

Sesetengah pembuli siber dapat juga mengirim kandungan yang mengancam dan mengganggu berterusan, sementara yang lain mengirimkan khabar angin atau umpatan dan menghasut lain untuk tidak menyukai dan berkomplot terhadap sasaran.

Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai badan selia berkaitan aktiviti atas talian atau melalui medium internet bertanggungjawab memantau aktiviti siber buli.

Bilangan laporan kes siber buli yang dibuat kepada SKMM dikira masih sedikit, namun tidak menunjukkan angka kejadian sebenar kerana dipercayai ramai lagi mangsa tidak membuat aduan dan hanya mendiamkan diri walaupun menjadi mangsa buli siber.

Kebanyakkan kes melibatkan di laman sosial seperti Facebook dan merupakan aduan paling banyak diterima oleh SKMM.

Laporan Kajian Kebangsaan Mengenai Keselamatan Siber Sekolah, lebih daripada 70 peratus pelajar sekolah terlibat dalam buli siber.

Kebanyakkan mangsa yang terjebak dalam siber buli melibatkan pelajar sekolah yang berusia antara 13 hingga 15 tahun.

Dalam masa sama, sebanyak 70 peratus pelajar sekolah dikenalpasti terlibat dalam pelbagai bentuk gangguan atas talian termasuk memuatnaik status yang tidak sopan di media sosial.

Ada dalam kalangan mereka menganggap tindakan memuat naik status di Facebook dengan menggunakan kata-kata yang tidak senonoh sebagai bukan satu kesalahan dan tidak melakukan buli siber. 

Biarpun siber buli berlaku melalui alam siber, hakikatnya ia satu penyalahan gunaan nikmat yang Allah kurniakan. Bayangkan dalam keupayaan kita menaip atau menyebarkan sesuatu di alam siber diumpakan seperti lidah. Apa yang ditulis itu adalah suara yang diucapkan.

Dosa manusia banyak berpunca daripada keterlanjuran mulut yang tidak dikawal.Kata orang ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana’. Sebab itulah, besarlah faedahnya sesiapa mampu menjaga etika daripada memperkatakan yang tidak baik di alam siber.  

Rasulullah bersabda bermaksud: “Saya memberi jaminan sebuah rumah dalam kebun syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan, meskipun dia benar. Saya juga memberi jaminan sebuah rumah di tengah-tengah syurga bagi orang yang tidak berbohong walaupun sekadar bergurau. Dan saya juga memberi jaminan sebuah rumah di tempat yang paling tinggi di dalam syurga bagi orang yang mempunyai budi pekerti yang baik.” - (Hadis riwayat Abu Daud). 

Tutur kata yang baik boleh diumpamakan seperti mutiara yang disukai semua orang. Sebab itu tutur kata yang baik akan menarik minat orang lain mendengarnya dengan perasaan yang ceria, kagum dan mengiyakan. Tarikan kepada kata-kata akan meletakkan penutur sebagai orang yang disenangi, disanjungi, dicontohi dan diterima kata-kata itu untuk tujuan kebaikan.

Sebab itu Islam amat prihatin terhadap cara bercakap agar tidak mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Setiap perkataan yang dikeluarkan dari mulut melibatkan hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah. 

Percakapan juga seperti perbuatan yang melambangkan tahap keimanan seseorang. Orang beriman menjaga setiap tutur katanya bagi mengelak perkara buruk akibatnya seperti mengumpat, menyebar fitnah, mengeji dan berbohong. 

Memandangkan besarnya bencana berpunca daripada lidah, Rasulullah menganjurkan agar sesiapa tidak mampu mengawalnya daripada berkata-kata yang tidak baik, adalah lebih baik dia mengamalkan sifat ‘mendiamkan diri’. 

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka bercakaplah perkara yang baik atau mendiamkan diri.” - (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).

Berdiam diri adalah cara paling mudah menyelamatkan diri daripada terlibat dengan fitnah, mengumpat dan berkata-kata perkataan tidak perlu. Dalam hadis lain Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesiapa yang diam, dia akan selamat.” - (Hadis riwayat Ahmad). 

Beruntunglah sesiapa dapat menjaga kata-katanya sehingga menjadi lambang ketulusan budi dan pekertinya. Sesiapa sentiasa berkata yang benar dan disenangi orang lain, hidupnya dalam kesejahteraan dan damai sentiasa.

Memang tidak dinafikan agak sukar berdiam diri terutama ketika berada dikelilingi ahli keluarga, kawan dan rakan setugas, takut nanti pula dikatakan sombong, tidak pandai bergaul dan anti sosial. Inilah sebenarnya cabaran yang terpaksa dihadapi dan berusaha menyesuaikan diri dalam keadaan memerlukan kebijaksaaan fikiran dan kekuatan iman.

Hadis diriwayatkan Abu Mansur ad-Dailami bermaksud: “Diam itu adalah suatu hukum dan sedikitlah (orang) yang melaksanaknnya.”

Jelas sekali bahawa diam atau mengelak diri daripada memperkatakan perkataan buruk adalah satu hukum atau perintah yang amat-amat dituntut dilakukan. 

Tidak dinafikan kadangkala perkataan yang diucapkan tidak melambangkan maksud sebenar yang hendak diucapkan. Jadi, sekiranya telah terkeluar perkataan tidak baik, cepat-cepat bertaubat dan mengaku kesalah diri. Adalah mulia orang yang mengaku kesalahan dan ikhlas menarik balik keterlanjuran kata-kata.

Perumpamaan lidah dan hubungan di alam siber digunakan bagi mengambil pengajaran daripada apa yang dijelaskan oleh Rasulullah berkaitan jangan adab dalam berhubung dengan individu lain.

No comments:

Post a Comment