Sunday 12 November 2017

Sekolah agama kurang sambutan

Sekolah agama yang menawarkan pendidikan agama dan Bahasa Arab mendapat sambutan di Kelantan selepas Perang Dunia Kedua. Ketika itu semangat ingin mendapat pendidikan formal semakin membara.  Tambahan pula, semangat nasionalis semakin meningkat apabila negara bebas cengkaman tentera Jepun. Gerakan ingin mencapai kemerdekaan semakin tinggi yang antara lain memikirkan nasib bangsa yang terbela melalui pendidikan.

Namun, apabila memasuki era 1970an, aliran sekolah agama semakin tepinggir. Minat orang ramai untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah agama mulai berkurangan. Sistem pengajian yang sedia ada tidak lagi dapat menghadapi pergolakan zaman yang berubah dengan begitu cepat sehingga ada sekolah-sekolah agama bantuan (rakyat) yang terpaksa ditutup kerana ketiadaan pelajar.
           
Minat orang ramai mulai tertumpu kepada sekolah menengah yang telah tumbuh di segenap pelusuk negeri yang pentadbiran dan kelengkapannya adalah lebih baik berbanding dengan sekolah-sekolah agama. Kadar kemerosotan sekolah-sekolah menengah mencemaskan terutama kedudukan negeri Kelantan sebagai pusat pengajian agama di rantau ini.

Antara sebab perkara ini terjadi ialah sistem persekolahan agama yang berjalan sehingga penghujung dekad 1960 an merupakan sistem lama yang telah berjalan semenjak selepas Perang Dunia Kedua dan sudah tidak selari lagi dengan perkembangan zaman dan keperluan-keperluan semasa.

Sijil yang didipeoleh pelajar sekolah agama tiada nilai ekonomi untuk peluang mendapat pekerjaan, kecuali yang berkait secara langsung dengan bidang agama. Pengurusan dan pentadbiran sekolah tidak cekap, di samping peruntukan atau sumber kewangan yang amat terbatas.

Kebanyakan dasar diamalkan di sekolah agama berjalan dalam bentuk semasa dan tanpa perancangan jangka panjang. Guru-guru tidak terlatih dan tidak tetap. Kebanyakan guru, sekolah agama hanya sekadar singgah mengajar sebelum mendapat tempat di sekolah-sekolah milik kerajaan atau di tempat-tempat lain yang lebih terjamin.

Langkah-langkah awal bagi mengatasi masalah tersebut ialah dengan memperkemaskan sistem persekolahan melalui beberapa cara. Pada bulan Oktober 1967, Lembaga Peperiksaan Sijil Sekolah-Sekolah Agama Kelantan di bawah peraturan Majlis Agama Islam Kelantan telah ditubuhkan.

Penubuhan lembaga ini dimaksudkan bagi menyamaratakan nilai sijil sekolah-sekolah agama Negeri Kelantan yang sebelum ini tidak diberi nilai dan pengiktirafan yang sama. Meskipun sekolah-sekolah ini memakai sistem dan kurikulum yang sama, iaitu sistem dan kurikulum MAIK, namun dalam amalannya nilai sijil yang dikeluarkan oleh masing-masing sekolah ini tidak mendapat pengiktirafan yang sama.

Misalnya, terdapat sekolah yang sijilnya diterima untuk memasuki Universiti Al-Azhar seperti Maahad Muhammadi dan terdapat yang tidak. Bagi menyamaratakan nilai sijil ini supaya menjadi seragam.

Pada tahun 1973, satu cadangan telah dikemukakan kepada pihak kerajaan negeri agar ditubuhkan satu Jabatan Khas untuk mengendalikan sekolah-sekolah agama yang diberi nama Jabatan Khas.

Kemudian, Jabatan ini diberi nama Jabatan Sekolah-Sekolah Agama (JASA) Kelantan pada 1 Julai 1974 dan diletakkan di bawah Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan.

Yayasan Islam Kelantan (YIK) diamanahkan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan Islam dan pengajian bahasa Arab di negeri Kelantan.

Hasil wujudnya YIK telah membawa kepada pengambilalihan sekolah-sekolah agama yang selama ini ditadbir dan dibiayai sendiri oleh pentadbir sekolah berkenaan. Tujuan pengambilalih itu bagi membantu perkembangan dan pentabiran lebih lancar, terutama dari segi kewangan. 

Penubuhan YIK ternyata berjaya memugarkan sistem pendidikan yang turut menawarkan mata pelajaran berkaitan ilmu Islam, selain mata pelajaran akademik lain. Justeru peluang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai displin ilmu terbuka luas kepada pelajar lepasan sekolah YIK dan peluang pasaran kerja juga tinggi.

Sekolah di bawah kelolaan YIK mendapat sambutan pelajar sehingga permintaan memasukinya melebihi apa yang mampu ditampung. Pelajarnya bukan sahaja dari Kelantan, bahkan seluruh Malaysia. 

No comments:

Post a Comment