Sunday 12 November 2017

Pelajar YIK cemerlang

Yayasan Islam Kelantan (YIK) diamanahkan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan Islam dan pengajian bahasa Arab dalam kalangan penduduk negeri tersebut.

Sejarahnya bermula apabila pada tahun 1973, satu cadangan telah dikemukakan kepada pihak kerajaan negeri agar ditubuhkan satu Jabatan Khas untuk mengendalikan sekolah-sekolah agama yang diberi nama Jabatan Khas.

Kemudian, Jabatan ini diberi nama Jabatan Sekolah-Sekolah Agama (JASA) Kelantan pada 1 Julai 1974 dan diletakkan di bawah Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan.

Hasil wujudnya YIK telah membawa kepada pengambilalihan sekolah-sekolah agama yang selama ini ditadbir dan dibiayai sendiri oleh pentadbir sekolah berkenaan. Tujuan pengambilalih itu bagi membantu perkembangan dan pentabiran lebih lancar, terutama dari segi kewangan. 

Bermula 1 Ogos 1976, sebanyak enam buah sekolah diambilalih oleh YIK, iaitu Madrasah Muhammadi (Kota Bharu), Madrasah Falahiah (Pasir Pekan, Tumpat), Madrasah Amir Indera Petra (Beris Kubor Besar, Bachok), Madrasah Yaakubiah (Nipah, Bachok), Madrasah Arabiah (Pasir Mas) dan Madrasah Syamsul Maarif (Pulai Chondong, Machang).

Sebelum diambil alih oleh Jabatan Sekolah-Sekolah Agama (JASA) Kelantan pada tahun 1976, semua sekolah agama dalam negeri Kelantan terletak sama ada di bawah pentadbiran penuh MAIK atau pertubuhan lain, termasuk perseorangan.

Tindakan proaktif secara lebih sistematik perlu dilakukan kerana pada awal tahun 1970 an merupakan zaman kemerosotan pelajar-pelajar di semua sekolah agama di negeri Kelantan, terutama di sekolah-sekolah bantuan atau rakyat.

Minat orang ramai untuk menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah-sekolah agama mulai berkurangan. Sistem pengajian yang sedia ada tidak lagi dapat menghadapi pergolakan zaman yang berubah dengan begitu cepat sehingga ada sekolah-sekolah agama bantuan (rakyat) yang terpaksa ditutup kerana ketiadaan pelajar.
           
Minat orang ramai mulai tertumpu kepada sekolah menengah yang telah tumbuh di segenap pelusuk negeri yang pentadbiran dan kelengkapannya adalah lebih baik berbanding dengan sekolah-sekolah agama. Kadar kemerosotan sekolah-sekolah menengah mencemaskan terutama kedudukan negeri Kelantan sebagai pusat pengajian agama di rantau ini.

Penubuhan YIK ternyata berjaya memugarkan sistem pendidikan yang turut menawarkan mata pelajaran berkaitan ilmu Islam, selain mata pelajaran akademik lain. Justeru peluang melanjutkan pelajaran dalam pelbagai displin ilmu terbuka luas kepada pelajar lepasan sekolah YIK dan peluang pasaran kerja juga tinggi. 

Sekolah di bawah kelolaan YIK mendapat sambutan pelajar sehingga permohonan memasukinya melebihai apa yang mampu ditampung. Pelajarnya bukan sahaja dari Kelantan, bahkan seluruh Malaysia. 

No comments:

Post a Comment