Wednesday 8 November 2017

Padah hina Nabi

Pengguna internet di negara kita sepatutnya lebih berdisiplin dan peka agar tidak membangkitkan isu sensitif, hasutan dan fitnah yang boleh menimbulkan keresahan dan kemarahan rakyat. Contohnya dalam isu keagamaan dan kepercayaan seperti tindakan individu yang menhina Nabi Muhammad SAW.

Mereka perlu sedar bahawa walaupun perbuatan itu dilakukan di atas talian dan menggunakan nama samaran, kecanggihan teknologi dan kepakaran forensik pihak berkuasa mampu mengenalpasti identiti mereka dan dibawa kepada muka pengadilan. 

Rakyat yang sayangkan keamanan dan hubungan baik sesama kaum perlu peka dan faham mengenai isu sensitif. Garis panduan mudah ialah jangan hina agama kaum lain yang merangkumi kepercayaan, cara hidup, cara melakukan ibadat, tempat sembahan dan individu atau objek yang dianggap mulia oleh sesuatu agama.

Bagi orang Islam, janganlah kerana ada pihak yang telah melakukan provokasi, maka perbuatan itu dibalas dengan perbuatan yang sama. Ini bukan soal kita takut atau lemah, tetapi itu lebih baik. Pihak berkuasa telah melakukan yang terbaik dalam hal ini. Inilah pentingnya rakyat sentiasa menyokong kerajaan. 

Berbalas dan mencipta isu agama untuk melawan pihak musuh tidak mendatangkan kebaikan. Malah, keadaan akan menjadi lebih buruk. 

Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Anam ayat 108 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan." 

Nabi Muhammad pada fizikalnya adalah manusia biasa. Apa diperlukan oleh manusia lain, juga diperlukan oleh baginda seperti makan, minum, tidur, ditimpa penyakit dan sebagainya. Tetapi di segi yang lain, khususnya peribadi dan kemampuan Baginda amat istimewa yang tiada tandingannya.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadis) tidak lain hanya wahyu yang diwahyukan kepadanya." (Surah an-Najm, ayat 3-4).

Kesempurnaan sikap dan kepimpinan Nabi Muhammad SAW bukan saja diiktiraf oleh umat Islam, bahkan juga di kalangan sarjana bukan Islam.

Sir Herbert Spencer (1820-1903) dalam bukunya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab, Ushulul Ijtima antara lain menulis: “Hendaklah kamu menjadikan Muhammad sebagai contoh politik agama yang benar, dan seorang yang paling jujur dalam menerapkan sistemnya yang kudus di tengah-tengah umat manusia seluruhnya. Muhammad merupakan sesuatu yang dijadikan amanat yang dijelmakan dalam kejujuran yang murni, siang dan malam selalu tekun membangunkan umatnya.”     

Jadi, sesiapa yang menghina Rasulullah SAW sebenar golongan yang buta sejarah dan sememang ingin mencipta polimik yang tidak memberi keuntungan kepadanya, melainkan akan berdepan dengan kemarahan umat Islam.

Sesungguhnya Rasulullah SAW dilahirkan bukan saja untuk kaum Arab, bahkan baginda adalah pemimpin dan ikutan untuk semua umat manusia hingga ke hari kiamat. Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Tidak Kami utuskan (Muhammad), melainkan untuk seluruh umat manusia, membawa khabar gembira dan memberi peringatan, namun kebanyakan manusia tidak mengetahui." (Surah Saba, ayat 28)

No comments:

Post a Comment