Wednesday 8 November 2017

Nilai unggul didik diri

Penghayatan nilai unggul ini harus dilakukan dengan ikhlas dan jujur serta seharusnya dilaksanakan dalam konsep kepemimpinan melalui teladan. Pemimpin perlu menunjukkan nilai-nilai murni dalam tindakan yang dilakukan.

Sesiapa yang ingin jadi pemimpin, antara perkara yang perlu diamalkan atau melatih diri bersopan santun serta berbudi bahasa. Jangan anggap diri sudah sempurna dan lebih berbanding orang lain. Ingat, sebagai pemimpin akan diperhati oleh orang ramai.  

Sikap berasa diri terlalu mulia dan bijak menyebabkan ada pemimpin yang bersikap ego sehingga dirinya tidak boleh ditegur lagi. Apa sahaja dilakukan mesti dipatuhi oleh orang lain. Inilah sikap yang pernah ditunjukkan oleh Firaun yang berasa dirinya paling berkuasa sehingga mengaku dirinya Tuhan.

Saidina Ali abi Talib RA pernah mengingatkan kita, bahawa makhluk kejadian Allah SWT ini iaitu manusia, malaikat dan haiwan, terdiri daripada tiga elemen penting, iaitu akal, nafsu dan keinginan. 

Manusia mempunyai tiga unsur ini, manakala malaikat hanya mempunyai intelek, tanpa nafsu dan keinginan dan haiwan hanya mempunyai sifat nafsu dan keinginan, tanpa akal atau intelek.

Manusia akan sampai ke martabat yang paling tinggi sekiranya dapat mengawal nafsu dan keinginannya dengan akal fikiran, malah ketika itu manusia akan menjadi makhluk lebih baik daripada malaikat. 

Tetapi, sekiranya manusia menggunakan akalnya hanya untuk penuhi kehendak nafsu dan keinginannya semata-mata, maka ketika itu manusia akan jadi makhluk paling hina dan lebih buruk daripada haiwan.

Berdasarkan hal inilah manusia perlu dididik jiwa dan akalnya, roh dan jasadnya agar jadi makhluk yang sentiasa berpandukan ilmu dan inteleknya untuk meningkatkan martabat sebagai makhluk yang diamanahkan Allah SWT untuk mengurus alam ini sebagai khalifah-Nya, bukan malaikat dan bukan haiwan.

No comments:

Post a Comment