Wednesday 8 November 2017

Kerajan Pusat membantu Negeri

Malaysia mengamalkan konsep persekutuan atau federalisme yang mana negeri-negeri berada di bawah satu pemerintahan berpusat atau dalam konep negara kita dipanggil Kerajaan Pusat.

Namun, bidang kuasa Kerajaan Pusat tidak sepenuhnya terhadap Kerajaan Negeri kerana ada bidang kuasa tertentu diserahkan kepada Kerajaan Negeri seperti soal tanah, hutan, sungai dan hasil galian. Manakala itu, terdapat juga bidang tugas dikongsi bersama seperti pertanian, kesihatan, kebajian dan lain-lain. Kerajaan Pusat berkuasa penuh berkaitan pendidikan, keselamatan, hubungan antara bangsa dan lain-lain.

Kerajaan Pusat yang menjadi ‘bapa’ bertanggungjawab terhadap apa-apa keperluan dipinta negeri berkaitan keselamatan dan kebajikan rakyat di sesebuah negeri. Oleh itu, melalui kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan Pusat yang berada di seluruh negeri akan berfungsi mengikut keperluan.    

Contohnya dalam soal bencana banjir. Agensi Kerajaan Pusat telah membuat persediaan berdasarkan SOP setiap kali tiba musim hujan. Operasi yang berkaitan dengan banjir akan terus digerakkan apabila berlaku banjir, tidak kira besar atau kecil.

Ketika orang lain tidak sedar lagi telah berlaku banjir di sesuatu tempat, agensi Kerajaan Pusat telah bertindak memberi bantuan. Contohnya Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, polis dan sebagainya.

Jadi, tidak timbul soal perlu meminta bantuan Kerajaan Pusat, kerana memang tindakan menyelamatkan mangsa banjir telah dilakukan awal lagi. Jadi, jika dikatakan wujud diskriminasi terhadap penduduk di negeri pembangkang, maka itu adalah fitnah.

Agensi Kerajaan Pusat yang lebih berperanan untuk menyelamat dan menguruskan mangsa-mangsa banjir. Mereka melakukan tugas dan tanggungjawab seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan sifat kemanusiaan.

Itulah yang dikatakan konsep Persekutuan yang diamalkan di negara kita.

Ditinjau dari sudut sejarah, konsep federalisme di negara kita telah wujud dan diguna pakai sejak 1896. Ia bermula apabila kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu diperkenalkan melalui Perjanjian Persekutuan 1895 yang menggabungkan empat negeri yang dijajah British iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan di bawah satu kerajaan pusat yang diketuai oleh seorang Residen Jeneral. Setiap negeri itu pula diketuai oleh seorang Residen yang mentadbir berdasarkan panduan kuasa yang telah digariskan.

Sebelum itu, keempat-empat negeri tersebut diperintah oleh Residen masing-masing dengan memiliki kuasa yang terlalu luas sehingga kemajuan dan pembangunan di keempat-empat negeri itu tidak seimbang. Konsep federalisme yang dilaksanakan British itu telah berjaya mengubah landskap pembangunan di kesemua negeri terbabit. Banyak masalah dapat diatasi melalui pemerintahan berpusat itu.

Seterusnya pada 1 Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan berasaskan prinsip federalisme bagi menggantikan Malayan Union (Kesatuan Malaya) yang ditubuhkan pada 1946 tetapi mendapat tentangan hebat orang Melayu. Ketika negara mencapai kemerdekaan pada 1957, kesemua negeri-negeri di Tanah Melayu menandatangani perjanjian persekutuan dan menerima kewujudan negara yang dikenali sebagai 'Persekutuan Tanah Melayu' dengan kerajaan pusatnya berada di Kuala Lumpur.

Justeru, jika kita meneliti peruntukan asal Perlembagaan Perkara 1 (1), Perlembagaan Persekutuan 1957 dengan jelas menyatakan bahawa 'Persekutuan hendaklah dikenali dengan nama Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya).'  Pada 16 September 1963, idea mengenai gagasan Malaysia yang diilhamkan Tunku Abdul Rahman pada 1961 telah dapat direalisasikan. Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk berada dalam Persekutuan yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang sedia ada itu digunakan dengan pindaan dibuat bagi membolehkan kemasukan Singapura, Sabah dan Sarawak.

Perkara 1 (1) Perlembagaan Persekutuan yang telah dipinda menyebut bahawa 'Persekutuan adalah dinamakan Malaysia dalam Bahasa Melayu dan dalam Bahasa Inggeris'. Di dalam Perkara 1(2) disebut dengan jelas 13 buah negeri di dalam Persekutuan. Singapura menarik diri dari Malaysia dan menjadi sebuah negara merdeka pada 1965.

Secara mudahnya, konsep federalisme menonjolkan ciri-ciri pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Doktrin pengasingan kuasa juga menetapkan wujudnya pembahagian kuasa antara tiga badan utama iaitu badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman. Doktrin pengasingan kuasa bertujuan memastikan setiap cabang kuasa itu tidak diganggu atau dipengaruhi oleh cabang kuasa lain.

No comments:

Post a Comment