Sunday, 12 November 2017

Peranan pemerintah sebar Islam

Umum diketahui bahawa penyebaran agama Islam pada peringkat awal di sesuatu tempat biasanya dimulai dengan pemerintah. Cara itu sesuai dengan kedudukan pemerintah pada ketika itu yang berkuasa mempengaruhi fahaman atau agama anutan rakyatnya.  

Pada zaman Rasulullah SAW, baginda menghantar wakil bertemu pemerintah di sesuatu tempat menyatakan hasrat untuk menyebarkan agama Islam. Jika pemerintah bersetuju, maka pendakwah itu akan melakukan secara aman. Jika sebaliknya, maka kemasukan secara peperangan akan dilakukan.

Dalam hal ini, kebanyakan pemimpin menerima baik kedatangan pendakwah Islam dan mereka sendiri menjadi antara yang terawal menerima atau memeluk Islam. Apabila kalangan pemimpin memeluk Islam, rakyat juga akan turut melakukan perkara sama.  

Pemerintah akan memberi sokongan dan bantuan dalam soal penyebaran agama Islam. Banyak keistimewaan disediakan kepada penganut agama dalam kehidupan seharian, tanpa menyekat kebebasan rakyat menganut agama lain.  

Hal yang sama berlaku dalam konteks penyebaran Islam di alam Melayu yang mana golongan pemerintah terawal ditemui oleh pendakwah.

Raja atau pemerintah di sesuatu kawasan menerima Islam dengan baik. Contohnya, Raja Pasai yang memeluk Islam telah menjadikan kawasan istana sebagai tempat belajar agama bagi ahli kerabat diraja dan pembesar negara.

Begitu juga yang berlaku di Semenanjung Tanah Melayu. Apabila raja Melayu yang terawal memeluk Islam iaitu Sultan Melaka yang pertama, Parameswara atau nama Islamnya Iskandar Shah, beliau telah menjemput ramai alim ulama untuk mengajar Islam di istana.

Pengajaran ini turut diikuti para pembesar istana dan rakyat jelata yang telah memeluk Islam. Kawasan istana menjadi medan untuk menyebarkan ilmu-ilmu agama. Maka itu, insitutsi istana boleh dianggap sebagai institusi pendidikan Islam terawal di Nusantara atau alam Melayu.

Tokoh ulama atau guru agama mendapat tempat dan penghormatan dalam kalangan pembesar negeri. Malah, tokoh agama dilantik menjadi sebahagian jawatan penting dalam negeri. 

Ulama berperanan menjadi penasihat kepada raja dalam soal urusan agama Islam, termasuk dalam soal perlaksanaan undang-undang syariah. Kesultanan Melayu Melaka pernah mengamalkan perlaksanaan hukum hudud berdasarkan kepada nasihat ulama.

No comments:

Post a Comment