Kelantan dikatakan antara negeri terawal menerima kedatangan Islam di
Nusantara. Biarpun tidak jelas masa mulanya, tetapi bukti sejarah mengatakan
agama Islam mula bertapak dan dianuti penduduk Kelantan sejak kira-kira 1180
Masihi atau 577 Hijrah.
Tafsiran tersebut dibuat berdasarkan kepada penemuan dinar emas pada
tahun 1941 di kawasan bekas tapak Kota Kubang Labu yang pernah menjadi pusat
pemerintahan kerajaan Kelantan pada sekitar 1702 Masihi. Pada muka
depan dinar tersebut tertulis perkataan Arab ‘al-Mutawakkal Allah’ yang
bermaksud ‘berserah kepada Allah’. Manakala di muka belakangnya
tertulis perkataan ‘al-Julus Kelantan’ bermaksud ‘Kerajaan Kelantan”.
Di bahagian atas perkataan tersebut tertulis angka Arab 0VV bermaksud
577. Angka 557 tidak dinyatakan sebagai tahun, tetapi telah ditafsir
oleh ahli sejarah sebagai tahun 577 Hijrah yang bersamaan tahun 1180 atau 1881
Masihi.
Berdasarkan kepada penemuan dinar emas itu, dapat disimpulkan bahawa
agama Islam telah bertapak dan dianuti rakyat Kelantan sejak abab keenam Hijrah
atau abad ke 12 Masihi. Jika bahan sejarah ini dapat
diterima sebagai bukti berkaitan penerimaan ajaran Islam di Kelantan, bermakna
Kelantan lebih awal kira-kira 300 tahun daripada Melaka didatangi pendakwah
Islam.
Golongan pemerintah atau pihak istana telah memberi sumbangan besar
dalam perkembangan agama Islam di Kelantan. Kelantan menjadi pusat
perkembangan Islam di Nusantara dan diberi jolokan ‘Serambi Makkah’ yang kekal
sehingga sekarang. Dengan restu dan sokongan pihak istana, usaha pengambangan
ajaran Islam berjalan dengan lancar.
Dinasti Long Yunus yang diasaskan oleh Long Yunus (1775 - 1794) telah
menjadikan hukum Islam sebagai teras pentadbiran. Golongan ulama
dilantik menjadi penasihat kepada pihak istana dalam soal berkaitan hukum agama
dan pentadbiran.
Pada zaman pemerintahan Long Yunus, telah lahir seorang ulama terkenal
iaitu Tuan Sheikh Haji Ab. Halim. Beliau menjadi penasihat kepada
pihak istana dan mengadakan kelas pengajian agama di istana untuk kerabat
diraja dan pembesar negeri.
Pada masa pemerintahan Sultan Muhammad I (1800 - 1835), Sheikh Haji Ab
Halim telah dilantik sebagai penasihat khas baginda. Atas nasihat
beliau, Sultan Muhammad I telah mengarahkan membina banyak masjid, surau dan
wakaf untuk tempat beribadat dan kemudahan persinggahan.
Semasa pemerintahan Sultan Muhammad II (1839 - 1886), syiar Islam lebih
berkembang pesat di Kelantan. Baginda telah melantik lebih ramai
pegawai agama bagi menguruskan soal-soal keagamaan. Di setiap mukim
dan kampung dilantik imam dan bilal untuk mengendalikan hal-ehwal agama.
Pada masa pemerintahan baginda, Masjid Kota Bharu telah didirikan pada
tahun 1867 bagi menggantikan masjid lama. Masjid Kota Bharu kemudiannya muncul
sebagai pusat pengajian dan keilmuan terpenting di Kelantan dan seluruh
Nusantara.
No comments:
Post a Comment