Wednesday 8 August 2018

Bagai melukut di tepi gantang

Terdapat peribahasa yang berbunyi 'bagai melukut di tepi gantang'. Peribahasa tersebut bermaksud individu yang tidak berharga dalam masyarakat. 

Keberadaan individu itu dalam masyarakat tidak memberi makna. Kewujudannya tidak dipeduli dan tidak menambah atau mendatangkan apa-apa kebaikan. Manakala tiadanya tidak dirasakan atau berkurangan.  

Melukut adalah pecahan beras yang halus-halus atau hujung beras yang terhasil semasa proses menumbuk. Sekarang ini sukar untuk menemui melukut kerana proses memesin beras dilakukan dengan 'sempurna' menghasilkan beras yang elok. Jika adapun melukut, ia terus diasingkan dan hanya beras yang elok dipasarkan.  

Manakala gantang ialah alat untuk menyukat beras. Jadi, dalam proses menyukat beras, jika ada melukut di tepi gantang, ia tidak akan diambil untuk dimasukkan ke dalam gantang. 

Sama ada terus dibiarkan di tepi gantang atau dimasukkan ke dalam gantang, ia tidak membawa apa-apa erti kepada jumlah beras yang sudah berada di dalam gantang. Bahkan, biasanya melukut akan diasingkan untuk mengelak kualiti keseluruhan beras menjadi tidak elok. 

Denga kata lain, kehadiran melukut tidak dipedulikan dalam apa keadaan sekali pun. Begitulah nilai diri seseorang apabila dia tidak memberi apa-apa erti kepada orang lain atau masyarakat. 

Jadi, berusahalah untuk meningkat nilai diri pada pandangan orang lain agar, hadirnya memberi kebaikan dan ketiadaan akan dirasai.

No comments:

Post a Comment