Wednesday, 8 August 2018

LESUNG MENUMBUK PADI

Lesung menumbuk padi digunakan untuk mengasingkan kulit padi agar menjadi beras. Biji padi diseliputi kulit. Untuk mengasingkan kulit, pada masa dahulu padi perlu ditumbuk dengan lesung padi. Lesung menumbuk padi diperbuat daripada kayu yang tahan lama. Pada bahagian tengah dibuat lubang lesung atau ibu lesung. Ukuran dan kedalaman ibu lesung berbeza-beza mengikut besar kayu.

Ibu lesung menjadi tempat untuk diletakkan padi. Untuk menumbuk padi memerlukan alu. Alu juga diperbuat daripada kayu. Alu kayu digunakan untuk menumbuk beras yang terdapat di dalam ibu lesung. Kulit padi akan tertanggal dan isinya menjadi beras.

Kerja menumbuk padi biasanya dilakukan oleh wanita. Kerja itu dilakukan secara berkumpulan. Biasanya satu lesung menumbuk padi akan menerima tumbukan dari dua atau tiga alu secara bergilir-gilir yang dilakukan oleh dua atau tiga wanita.

Untuk mengelak ketiga-tiga alu ditumbuk serentak, ada irama atau giliran yang dibuat. Memang gerak menumbuk mereka amat menarik dan mengelak dari perasaan bosan.   

Kulit padi dipanggil sekam atau dedak. Untuk mengasingkan sekam dengan beras, ia perlu ditampi menggunakan nyiru atau badang.

Beras yang terhasil dari proses menumbuk biasanya tidak sepenuhnya dalam keadaan beras yang kita lihat hari ini. Beras yang ditumbuk ada yang hancur atau patah. Beras yang hancur dipanggil melukut. Melukut akan diasingkan dari beras yang elok melalui proses tampi. Melukut biasanya dijadikan bubur beras atau dijadikan makanan ayam atau itik.   

No comments:

Post a Comment