Monday 27 August 2018

MEDIA BARAT BUAT LAPORAN NEGATIF TERHADAP UMAT ISLAM


Media Barat sentiasa menggambarkan umat Islam dalam keadaan negatif. Memang sukar untuk umat Islam menghapuskan tindakan prejudis Barat terhadap umat Islam memandangkan kuasa media amat berpengaruh. 

Kuasa media memang sesatu yang luar biasa. Napoleon Bonarparte, pemerintah Peranchis yang menaiki takhta kuasa pada tahun 1799 pernah berkata: “Saya lebih takut kepada empat surat khabar di Peranchis daripada empat ribu senjata. Apabila saya biarkan empat surat khabar itu berleluasa, tentu hanya empat minggu saja saya sempat menduduki takhta kerajaan.”

Kata-kata Napoleon itu merujuk kepada pengaruh yang dapat disebarkan melalui bahan bacaan. Apa-apa saja bahan berita atau maklumat dengan mudah dapat disebar melalui media yang mampu mempengaruhi pembaca untuk mempercayainya sebagai sesuatu yang benar. 

Penghinaan yang dilemparkan terhadap umat Islam perlu diselesaikan dengan bijaksana. Sekarang ini umat Islam sekadar membantah melalui tunjuk perasaan dan menulis surat bantahan setiap kali ada penghinaan dibuat melalui media terhadap umat Islam.

Persoalannya, apakah tindakah itu berkesan? Apa untungnya umat Islam berkumpul membuat bantahan meninggalkan urusan kerja masing-masing. Anak-anak kecil yang sepatutnya berada di sekolah dibawa bersama-sama. 

Apa kesannya membakar dan memijak bendera negara yang ditujukan bantahan itu? Manakala tulisan yang ditulis sebenarnya pula dibaca di kalangan mereka yang menyertai bantahan saja.       

Umat Islam bermati-matian menunjukkan kemarahan yang belum tentu diberi perhatian oleh negara itu. Suasana huru hara berlaku di negara umat Islam sedangkan di negara itu terus aman serta rakyatnya dapat menjalankan tugas harian seperti biasa. 

Negara Islam memulau barangan negara bukan Islam, tetapi berapa lama? Umat Islam terpaksa bergantung kepada barangan keluaran negara bukan Islam.    

Jadi, sebenarnya siapa yang untung dalam proses bantahan itu? Sebenarnya umat Islam diumpamakan seperti seekor anjing garang yang kuat menyalak tetapi berada dalam kurungan. Tidak ada faedahnya salakan itu bahkan membawa kepada kebencian pihak lain. 

Hakikatnya, umat Islam kini berada dalam keadaan lemah. Pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap umat Islam yang memberi tekanan secara berterusan. Apabila berlaku keganasan dan perbuatan melampau di mana-mana bahagian di dunia ini, umat Islam terus dipersalahkan. 

Persepsi masyarakat dunia terhadap umat Islam sekarang sentiasa dikaitakan dengan keganasan dan perbuatan melampau. Justeru, sentimen anti Islam semakin meluas. Fobia Islam dijadikan satu aliran pemikiran baru di Barat dan seluruh dunia.   

Hakikat yang tidak dapat dinafikan sekarang ialah kekuatan umat Islam sekadar mampu  berada dalam fasa defesif, yakni bertahan dan cuba mencari ruang kekuatan baru. Keupayaan dan ruang bagi umat Islam melakukan fasa offensif agak terbatas disebabkan kelemahan sistem pertahanan, ekonomi, sosial dan pendidikan. 

Kekuatan yang dimiliki umat Islam tidak mampu untuk bertindak offensif. Dengan kedudukan sekarang, jika dilakukan tindakan offensif bakal mengundang masalah yang lebih besar kepada umat Islam. 

Masyarakat Barat telah lama memandang Islam sebagai ‘musuh’yang perlu sentiasa diawasi dan dikenakan tekanan secara berterusan. Barat sedar keupayaan Islam untuk menguasai dunia seperti yang pernah berlaku pada era kegemilangan Islam dulu. 

Berdasarkan kepada kajian dan pemerhatian beberapa pihak, umat Islam dijangka mampu mengambil alih penguasaan dalam percaturan politik, ekonomi dan ketenteraan pada beberapa dekad akan datang. Hal ini berlaku sekiranya umat Islam bersatu dan menguasai ilmu. 

Justeru, Barat begitu prejudis terhadap Islam dan seboleh-bolehnya masyarakat Islam mesti digambarkan melalui sudut yang tidak baik dengan menggunakan media.      

Umat Islam memang tidak mampu menghalang media Barat melaporkan tentang Islam mengikut kaca mata mereka kerana media Barat dikuasai individu dan pertubuhan anti Islam. Apa yang perlu dilakukan sekarang ini ialah umat Islam jangan mudah terpengaruh dengan apa yang dimuatkan dalam media Barat.  

Untuk mengimbangi kekuatan media Barat, masyarakat Islam di seluruh dunia perlu bergabung membentuk kumpulan media sendiri. Sekarang ini, di kalangan negara Islam lebih bergantung kepada sumber yang disediakan oleh media Barat. 

No comments:

Post a Comment