Friday 3 August 2018

Adat setempat boleh dijadikan sebagai sumber hukum

Terdapat pecahan atau peraturan digunapakai dalam menentukan sama ada adat itu boleh dijadikan sebagai sumber hukum atau sebaliknya

Perkara yang biasa dilakukan oleh banyak orang, maka ia mesti juga dilakukan oleh orang lain. Yakni, sesuatu yang telah biasa dilakukan oleh banyak orang lain, maka mesti orang terkemudiannya juga melakukannya. Ini memberi satu ketetapan agar mudah untuk diambil tindakan pada masa depan atau sesuatu yang berkaitan dengannya. Sesuatu perkara yang tidak wajib asalnya, tetapi telah dijadikan satu peraturan wajib dalam masyarakat disebabkan adat dan undang-undang.

Contohnya, setiap lelaki di Malaysia selepas akad nikah diwajidkan bertaklid mengikut apa yang telah ditetapkan skripnya oleh majlis agama. Setiap negeri lafaz taklidnya berbeza sebutan, tetapi sama pada maksudnya.

Ucapan taklid sebenarnya tidak termasuk dalam rukun nikah atau wajib dilakukan. Bagaimana, berdasarkan adat terpakai di Malaysia, ia adalah diwajibkan. Perkara ini bagi melindungi hak isteri dan memudahkan satu pentadbiran jika timbul masalah berkaitan dengannya. Dengan kata lain, apabila berlaku sesuatu yang lazimnya dijadikan taklid, maka pihak berkuasa agama dapat melakukan tindakan sewajarnya.

Adat yang diakui itu umumnya terjadi diketahui mengenainya oleh anggota masyarakat dan bukannya perkara jarang-jarang terjadi. Ini membawa maksud bahawa sesuatu yang ingin dijadikan peraturan itu hendaklah perkara yang telah difahami atau biasa dilakukan oleh orang ramai. Bahkan, sesuatu yang dianggap menyalahi kebiasaan jika kita melakukan sebaliknya, walaupun pada hukum asasnya dalam Islam mengkehendaki sebaliknya. 

Contohnya hal berkaitan memakai kasut atau alas kaki ketika memasuki pejabat kerajaan mahupun swasta. Umum diamalkan, pejabat sekarang membenarkan pemakaian kasut walaupun bahagian lantainya ditutupi dengan permaidani dan bersih. Pada kaedah asalnya Islam mengajar umatnya menanggalkan kasut apabila memasuki rumah atau bangunan. Ini bertujuan untuk mengelak kekotoran yang melekat di kasut dibawa masuk ke dalam rumah. 

Namun, adat mamakai kusut dalam pejabat berdasarkan kepada maslahat dan mengelak mudarat. Bayangkan jika perlu membuka kasut yang menyebabkan kesukaran dan mengganggu kelicinan tugas. Begitu, juga kasut ditinggalkan di luar besar kemungkinan akan dicuri.

Jadi, jika ada pejabat yang menetapkan peraturan agar menanggalkan kasut, maka perlulah meletakkan tanda peringatan atau arahan agar berbuat demikian. Ini perlu, seperti dijelaskan ialah adat biasanya tidak perlu ditanggalkan. Jadi, jika ingin dilakukan sebaliknya, maka perlu ada satu makluman mengenainya.

Pemberian kebenaran menurut adat kebiasaan adalah sama dengan pemberian berdasarkan kata-kata. Ia membawa erti bahawa adat yang berlaku bermaksud satu kebenaran untuk semua atau yang biasanya berkaitan dengannya. Kebenaran yang berasaskan adat itu dianggap sama seperti kebenaran melalui kata-kata.

Contohnya, sebuah kedai yang telah membuka pintu bermakna telah membenarkan orang ramai memasukinya. Walaupun tuannya tidak menjemput orang memasukinya, tetapi tindakan membuka pintu itu telah menjadi adat yang bermaksud orang boleh memasukinya. Ia boleh dianggap tuan kedai itu telah membenarkannya secara kata-kata. Maka, jika tuan kadai membuka pintu, tetapi tidak bermaksud untuk membenarkan orang ramai memasukinya, maka dia perlu menyatakan tegahan melalui tulisan atau kata-kata. Begitu, juga jika ia hanya dikhususkan untuk golongan tertentu, maka perlu dijelaskan atau dimakluman mengenainya.

Hukum itu biasa digunakan dan bukan hanya sekali sekala saja. Sesuai dengan apa yang dikatakan adat yang berlaku berulang-ulang, maka hukum mengenai adat itu juga kerap dan sering kali digunakan atau terjadi dalam masyarakat. Tidak dianggap satu hukum yang perlu jika ia hanya berlaku atau digunakan sekali sekala saja. 

Keperluan kerap digunakan itulah sebenarnya mengapa ia perlu dijadikan sumber hukum. Ia jelas menunjukkan keperluannya. Contohnya dalam aktiviti jualan salam atau tempahan barang. Ternyata jualan salam yang mana pembeli setuju membeli sesuatu barang atau produk yang belum siap kini menjadi satu perkara lumrah dalam jual beli. Kebanyakan barang dibeli melalui salam adalah harta mahal seperti rumah yang dibina apabila ada tempahan daripada pembeli.

No comments:

Post a Comment