Friday 3 August 2018

Hukum beramal dengan adat

Sebelum kedatangan Islam di Tanah Melayu, masyarakat Melayu telah mengamalkan pelbagai adat. Dalam situasi ini, mana-mana adat diamalkan sesuai dan selari dengan matlamat dan prinsip Islam, ia diteruskan sebagai satu adat yang diterima. Sebagai contohnya, adat bersanding dan menepung tawar pengantin. 

Manakala, mana-mana adat yang bercanggah dengan syariat ditolak seperti adat mempercayai tenung nasib yang ditegah syarak. Firman Allah SWT surah al-Maidah ayat 90 bermaksud: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, penyembahan berhala dan bertilik nasib adalah najis (haram), dan ia dari perbuatan syaitan.”
Manakala ada adat dipinda atau perbaiki agar selari dengan matlamatnya. Contohnya, kebiasannya pengantin perempuan mendedahkan aurat ketika bersanding. Namun, kini atas kesedaran agama, kebanyakan pengantin wanita bersanding dalam keadaan menutup aurat.

Mana-mana adat yang sahih wajib diberi perhatian dalam perundangan dan kehakiman dalam proses menentukan hukum. Hakim juga perlu mengambil kira adat dalam menentukan keputusan penghakiman. Ini kerana sesuatu adat telah menjadi sebahagian keperluan dan kepentingan masyarakat.

Adat berdoa diketuai imam diamalkan masyarakat Melayu ada keperluannya. Biasanya jika doa tidak diketuai imam, maka tidaklah banyak orang melakukannya. Jadi, untuk membiasakan amalan berdoa, maka adatnya ia diketuai oleh seeorang.

Manakala adat batal mesti ditolak. Contohnya adat mandi tolak bala pada bulan Safar. Amalan itu tidak termasuk bab darurat atau maslahat untuk terus mengharuskannya. Masyarakat tidak pincang jika adat itu tidak diteruskan. Ataupun adat menangguhkan pengembumian jenzah kerana perlu diadakan bedah siasat dikira sebahagian daripada darurat yang mengharuskan perkara dilarang. 

Tidak dapat dinafikan adat merupakan tempat rujukan bagi perlaksanaan hukum. Pun perlu ditegaskan, perbezaan perlaksaan hukum kerana mengikut perbezaan adat bukanlah perbezaan dalam hukum, tetapi hanya dalam perlaksanaan. Hukum tetap satu daripada Allah SWT.

Hukum syariat diperundangkan untuk kepentingan manusia seluruhnya. Ini berdasarkan kepada beberapa keadaan.

Syariat Islam telah membiarkan banyak perkara yang tidak ditetapkan mengenainya, bahkan memberi peluang adat menentukannya. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan hendaklah kamu mempersiapkan dua orang yang adil dari kalangan kamu." (Surah at-Talak, ayat 2).

Apa yang dimaksudkan adil dalam ayat itu?  Ini bermakna memberi peluang untuk para fuqaha memperincikan adil itu berdasarkan kepada keperluan adat yang diterima. Setiap masyarakat mempunyai takrif adil yang berbeza. Antara yang menentukan sifat adil ialah orang menjaga maruah. Sedangkan, istilah menjaga maruah berbeza antara golongan dan kawasan.

Contohnya, golongan raja menjaga maruah dengan menggunakan bahasa istana  Jika mereka menggunakan bahasa orang kebanyakan, maka sudah dianggap menjatuhkan maruah, sedangkan perbuatan itu tidak pula bagi golongan biasa. Maka hukum syariat di sini berbeza dengan sebab perbezaan tersebut.

Perubahan hukum disebabkan perubahan masa. Tidak dinafikan adat dan keperluan manusia berubah mengikut masa. Sesungguhnya hukum-hukum dikeluarkan ulama terdahulu berasaskan kepada adat ketika itu. Contohnya, ulama silam menghukumkan merokok sebagai makruh kerana tidak ada bukti ia membahayakan kesihatan. Tetapi ulama terkini menghukum perbuatan itu sebagai haram kerana bukti perubatan jelas menunjukkan perbuatan itu membahayakan kesihatan. Setiap yang memdatangkan mudarat adalah haram. Ini menunjukkan perubahan itu berdasarkan kepada perubahan masa.

Perbezaan hukum berdasarkan perbezaan tempat. Sesungguhnya, cara hidup manusia berbeza mengikut tempat tinggal. Mereka memerlukan hukum tertentu untuk digunapakai di tempat berkenaan. Contohnya, orang di kawasan kutub menghadapi kesukaran menentukan waktu sembahyang, yang mana waktu siangnya berbulan-bulan dan begitu juga waktu malam. 

Maka ulama perlu mencari kaedah yang boleh diterima pakai, berbanding biasa berdasarkan kedudukan matahari di tempat berkenaan. Antara yang diputuskan ulama untuk dijadikan asas hukum bagi penduduk di kawasan berkenaan menentukan waktu sembahyang ialah menggunakan waktu negara terdekat dengan mereka.

Hukum berdasarkan keadaan semasa. Banyak perkara yang dilakukan dalam kehidupan ini bersifat harus atau menerima sebagai apa yang difahami umum dan tidak ada fatwa khusus mengenainya. Perkara ini berlaku kerana tidak ada keperluan untuknya. Contohnya, berkaitan fatwa mati syahid.  Umum diketahui sesiapa mati di medan perang mempertahankan negara dianggap mati syahid. Tetapi, Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini perlu mengeluarkan fatwa bahawa perwira yang mati di isu Lahad Datu adalah syahid akhirat. Perkara ini perlu dilakukan kerana ada pihak mempertikaikan kedudukan itu. Dengan kata lain, fatwa itu dikeluarkan atas keperluan semasa dan menjelaskan suasana semasa atas perkara yang berlaku.

No comments:

Post a Comment