Thursday, 20 September 2018

MASJID TERAPUNG KUALA IBAI

Masjid menjadi tumpuan untuk orang ramai beribadat. Selain penduduk tempatan, masjid menjadi tempat persinggahan Muslim dalam perjalanan untuk menunaikan sembahyang beristirehat. 

Sebenarnya, pahala bersembahyang di mana-mana masjid tetap sama, bergantung kepada ketakwaan dan bukannya terletak kepada besar atau kecil, cantik atau tidak sesebuah masjid.

Namun, sudah pasti masjid yang cantik, selesa, terdapat pelbagai kemudahan dan terkenal menjadi pilihan untuk dijadikan tempat persinggahan menunaikan sembahyang.

Inilah hakikat mengapa Masjid Tengku Tengah Zaharah, terletak kira-kira lima kilometer dari Kuala Terengganu menjadi pilihan musafir yang melalui Kuala Ibai, sama ada dari selatan menuju ke Kuala Terengganu mahupun dari utara menuju ke Dungun.

Dikenali sebagai 'Masjid Terapung', Masjid Tengku Tengah Zaharah menampilkan seni bina gabungan pengaruh moden dan 'Moor'. Ia kelihatan unik dan cantik pada malam hari. 

Masjid Tengku Tengah Zaharah dibina di atas pelantar terapung, memberikan ia sudut unik. Masjid tersebut seolah-olah terapung di permukaan air. Ia adalah masjid terapung pertama di negara kita.

Nama lain turut dipanggil ialah Masjid Putih kerana keseluruhan bahagian luar masjid dicat warna putih. 

Pengguna jalan raya raya dari jauh telah dapat melihat masjid putih yang tersegam indah itu, secara langsung terdorong singgah untuk menunaikan sembahyang.  

Pembinaan masjid ini adalah inspirasi Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ibni Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Masjid Tengku Tengah Zaharah dirasmikan pada tahun 1994 mengambil sempena nama bonda Sultan Mahmud Al-Muktaffi Billah Shah, Tuanku Intan Zaharah binti Tengku Seri Setia Raja. Ia direka bentuk oleh arkitek terkemuka, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Kedamaian masjid ini turut terserlah dengan keindahan Laut China Selatan, menjadikan ia suatu destinasi pelancongan yang menarik di Terengganu.

Masjid terapung mula dibina pada September 1991 di kawasan asalnya sebuah lagun. Sebahagian kawasan tersebut asalnya berair. Bagaimanapun, kawasan berair terdapat sekarang hasil pembinaan kolam baru. 

Seni bina masjid tersebut memperlihatkan ciri-ciri tamadun Islam dan diadun dengan seni bina bercirikan kemelayuan. Kos pembinaan masjid berkeluasan 1,372 meter pesegi itu kira-kira RM6.9 juta.  

Masjid yang dapat menampung kira-kira 1,000 jamaah itu menjadi kunjungan ramai bukan sahaja untuk menunaikan ibadat, tetapi juga ingin menikmati suasana nyaman, indah dan selesa. Kebersihan dan keindahannya sentiasa terjaga sesuai dengan tuntutan Islam.    

Terdapat serambi sisi luar bagi membolehkan orang ramai ‘keliling’ masjid menikmati suasana persekitaran tasik. Selain itu, terdapat lima buah ‘wakaf’ berbentuk kubah sebagai tempat rehat. 

Berada di masjid terapung jauh daripada bunyi bising kerana kenderaan tidak dapat menghampiri masjid, selain air di sekelilingnya menyerap kesan bunyi. Bangunan masjid terletak kira-kira 50 meter dari tebing yang dihubungkan dengan jambatan konkrit. 

No comments:

Post a Comment