Friday 25 January 2019

KHASIAT IKAN HARUAN SEMBUH LUKA


Khasiat ikan haruan menyembuh luka telah dimanfaatkan masyarakat Melayu sejak dahulu. Sebab itu, ia sering dijadikan menu utama disediakan untuk ibu lepas bersalin sepanjang tempoh berpantang.

Ikan haruan dikatakan menduduki tempat teratas dalam kajian keberkesanan pelbagai jenis ikan dapat mempercepatkan kadar penyembuhan luka dalaman dan luaran.

Ekstrak haruan ketara mempercepat proses penyembuhan luka kerana ia mempunyai kesan antinosiceptif yang membantu mengurangkan rasa sakit. Dari sudut lain, pesakit yang lebih selesa dan kurang tertekan akan pulih lebih cepat.

Ekstrak haruan sememangnya mempunyai kandungan khasiat tertentu yang membantu penyembuhan luka. Ikan haruan mengandungi glisin, asid amino penting yang diperlukan untuk kesihatan tubuh.

Ia juga mempunyai asid arakidonit dan asid lemak tak tepu pada tahap tinggi yang menghasilkan kesan antiradang serta menggalakkan sintesis prostaglandin, penting dalam membantu badan menangani kerosakan atau jangkitan tisu.

Paling menarik, ia juga menggalakkan pembentukan semula kolagen melalui sintesis sambung-silang inter dan intramolekul protein. Ini menghasilkan peningkatan ketara dalam kekuatan tegangan yang menyegerakan penyembuhan luka.

Kaedah terbaik untuk mendapatkan khasiat pemakanan terbaik daripada haruan adalah dengan menyediakan sup panas atau bubur, selain digoreng, digulai atau dibakar.

No comments:

Post a Comment