Thursday 28 February 2019

Kereta terbang Malaysia


KUALA LUMPUR (26 Febuari 2019): Kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu oleh teknologi tempatan, kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata prototaip kereta itu sudah ada dan dijangka diperkenalkan kepada awam tahun ini.

Meskipun beliau menerima pelbagai kritikan susulan kenyataannya sebelum ini mengenai kereta terbang, Mohd Redzuan berkata perkara itu bakal terlaksana tidak lama lagi.

“Tahun ini, anda akan melihat saya menaiki kereta terbang. Tahun ini adalah tahun yang sesuai. Bagaimanapun, jangkaan masa mengenainya tertakluk kepada interaksi antara dua pihak iaitu penyedia teknologi dan juga penaja.

“Ia bergantung kepada pihak berkenaan sama ada mereka boleh mengemukakan saranan mereka mengenai teknologi berkenaan dengan kadar segera.

“Apa yang penting, kementerian mahu membuka mata semua pihak bahawa ia boleh dilaksanakan. Malah, ada beberapa kementerian lain memberikan maklum balas kepada saya untuk menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV) di kawasan pedalaman,” katanya kepada media selepas pelancaran Growth Malaysia, di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata pelancaran kereta terbang itu juga tertakluk kepada undang-undang keselamatan penerbangan.

“Kereta terbang itu perlu memenuhi beberapa spesifikasi termasuklah terbang pada altitud yang rendah, mempunyai kelajuan yang munasabah serta selamat.

“Prototaip kereta terbang itu sudah ada dan sebenarnya syarikat tempatan mempunyai kemahiran yang cukup untuk membangunkan kereta terbang,” katanya.

Beliau berkata, kereta terbang itu mungkin menggunakan teknologi tempatan dan mempunyai kapasiti untuk dua penumpang.

Ia dijangka menelan kos pelaburan sekitar RM1 juta.

Menerusi laporan berita sebelum ini, Jepun dijangka melancarkan kereta terbang pertamanya pada 2025. 

No comments:

Post a Comment