Masyarakat akan berada di ambang kemusnahan apabila
fitnah berlaku berleluasa. Orang ramai terlalu mudah mempercayainya dan
melakukan tindakan yang mendatangkan keburukan. Mereka tidak lagi yakin kepada
kebenaran, sebaliknya sukakan kepalsuan.
Fitnah lahir dalam masyarakat yang tidak berpegang kepada
hukum-hukum agama di mana keburukan dilakukan secara berleluasa dan ilmu
(ajaran Islam) tidak dipatuhi.
Ironisnya, orang yang melakukan perbuatan itu mendakwa
tindakan itu sebagai memperjuangkan kepentingan agama dan bangsa. Malah, atas
nama agamalah banyak berita fitnah disebarkan melalui alam siber.
Rasulullah sabda bermaksud: “Akan muncul suatu ketika di
mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasa sifat kedekut
dan banyak berlaku jenayah” (Hadis riwayat Muslim).
Perbuatan fitnah juga sebahagian perbuatan mengadu-domba
memburukkan pihak lawan dan pada masa sama untuk menonjolkan diri.
Fitnah yang disebarkan mudah menyebabkan permusuhan dua
pihak. Memang sifat manusia mudah rasa tercabar dengan mengambil tindakan yang
melanggar batasan agama dan kemanusiaan.
Situasi itu lebih bercelaru apabila ada pihak ketiga
mengambil kesempatan menaburkan fitnah agar mencetuskan permusuhan yang lebih
tegang.
Untuk mengelak wujud konflik fitnah, terutama melalui
alam siber, wajib bagi setiap Muslim menghalusi berita yang diterima. Jika
menerima sesuatu berita yang tidak sahih, janganlah diforwardkan kepada orang
lain.
Ini untuk mengelak fitnah merebak hingga tidak dapat
dikawal atau tidak dijangka kesannya. Sebelum mempercayai sebarang berita,
perlu dipastikan kesahihannya berdasarkan sumber dan
faktanya.
Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting bagi
memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah. Jangan memperkatakan
sesuatu yang kita tidak pasti. Sesungguhnya, diam lebih baik daripada
berkata-kata perkara tidak perlu.
Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud:
“Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa
sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu
tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab
kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang
kamu lakukan.”
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia.
Justeru, dosa fitnah tidak diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnahkan
memberi keampunan. Dapat kita fikirkan betapa sukarnya menemui setiap orang
yang difitnah bagi memohon maaf.
Fikirkan, betapa besarnya dosa jika fitnah itu ditujukan
kepada kelompok orang ramai yang tidak mampu ditemui setiap orang untuk memohon
maaf. Malah, kita tidak kenal pun orang yang telah difitnahkan
itu.
Dosa membuat fitnah menghalang seseorang daripada
memasuki syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang
suka menyebarkan fitnah” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Orang menyebarkan fitnah dibangkitkan di akhirat di mana
dirinya akan diberikan malu oleh Allah.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang
menyebarkan satu kata-kata yang memalukan seorang Muslim dengan tidak
sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari
kiamat” (Hadis riwayat Ibnu Abid Dunya dari Abu Zar).
No comments:
Post a Comment