Wednesday, 27 February 2019

BAHAYA GIGITAN NYAMUK


Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kejadian wabak deman denggi dan denggi berdarah meningkat secara mendadak sejak beberapa dekad kebelakangan ini. Lebih 100 negara di rantau Afrika, Amerika, Mediterranean Timur, Asia Tenggara dan Pasifik Barat dilanda wabak penyakit denggi.

Kini seramai 2.5 bilion manusia atau dua per lima jumlah penduduk dunia beresiko menghidap penyakit denggi. WHO menganggarkan kira-kira 50 juta kes jangkitan deman denggi berlaku di seluruh dunia setiap tahun.

Biarpun kita sedia maklum mengenai bahaya wabak bawaan nyamuk, masih ramai yang tidak mengendahkan saranan agar menghapuskan tempat pembiakan nyamuk. Nyamuk membiak di tempat takungan air, yang berpunca sikap manusia ‘menyediakan’ tempat pembiakan itu. Penyakit bawaan nyamuk berpunca kelalaian manusia.

Sebenarnya, setiap jenis nyamuk berbeza tempat membiaknya dari segi kualiti air.  Bagi nyamuk aedes yang membawa penyakit denggi, tempat membiaknya ialah dalam takungan air bersih. Manakala kebanyakan jenis lain pula boleh membiak di dalam takungan air bersih dan air kotor.

Kaedah penyebaran wabak penyakit melalui nyamuk dikenali vektor biologikal. Ini berbeza dengan kaedah penyebaran wabak yang dilakukan oleh lalat, lipas dan hidup lain yang dilakukan secara mekanikal, yakni membawa secara melekat di bahagian luar badan, atau digelar ektroparasit.

Kaedah secara biologikal melibatkan patogen (parasit, bakteria, atau virus) akan melengkapkan sebahagian daripada kitaran hayatnya di dalam badan manusia, atau binatang lain. 

Nyamuk yang menggigit dan menghisap darah manusia atau binatang, turut menyedut patogen itu. Kemudian, patogen itu akan dipindahkan kepada individu lain ketika nyamuk itu menggigit dan menghisap darah individu lain pula. 

Kemudian, patogen itu akan melengkapkan kitaran hidup barunya di dalam badan perumah barunya sebelum dipindahkan oleh nyamuk ke dalam mangsa baru.  Tempoh kitaran pertambahan patogen amat pantas. Sebab itu serangan terhadap sistem badan mangsa berlaku dengan cepat, dan cepat pula dapat dipindahkan kepada orang lain.   

Dengan kata lain, patogen itu bukan berasal dari nyamuk itu sendiri. Sebab itu, sekiranya nyamuk yang menggigit dan menghisap darah itu tidak membawa patogen yang diambil daripada pesakit lain, maka nyamuk itu tidak mendatangkan bahaya, melainkan sekadar menyebabkan rasa gatal di tempat yang digigit. 

Pun begitu, kita tentunya tidak mahu digigit oleh nyamuk biarpun sekadar menyebabkan rasa gatal. Nyamuk mengganggu tidur pada waktu malam yang boleh menyebabkan kualiti tidur merosot dan sekaligus mengganggu produktiviti kerja pada siang hari.

Tidak semua nyamuk membawa patogen. Malah, setiap jenis nyamuk yang membawa patogen jenis yang berbeza-beza. Contohnya, nyamuk jenis anopheles membawa penyakit malaria dan filariasis, nyamuk aedes membawa patogen deman denggi, deman denggi berdarah, dan deman kuning, dan nyamuk jenis culex pula menyebabkan JE.

Orang ramai mungkin tidak merasa bahaya nyamuk kerana sudah terlalu biasa digigit nyamuk. Boleh dikatakan ada individu yang digigit berpuluh-puluh dan mungkin beratus ekor nyamuk sehari. 

Mereka bernasib baik kerana nyamuk yang menggigit itu tidak membawa patogen.  Tetapi perlu diingatkan, nasib tidak selalu baik. Keadaan inilah yang dialami mereka yang dijangkiti penyakit bawaan nyamuk.

Seperti dijelaskan, tidak semua nyamuk membawa patogen. Bahkan, ada nyamuk yang tidak menggigit dan menghisap darah manusia. Sebaliknya, nyamuk itu menjadikan tisu tumbuh-tumbuhan dan bunga sebagai punca makanan.

Kita tidak seharusnya memandang mudah wabak ancaman nyamuk.  Contohnya, wabak deman fift vally yang menular di Kenya menyebabkan kematian beberapa ratus orang, selain menjangkiti beribu penduduk lain. Patogen penyakit tersebut disebarkan oleh nyamuk yang dipindahkan dari lembu.

Nyamuk culex pernah menjadi sebutan di negara kita ketika wabak JE menyerang.  Nyamuk culex menyebarkan virus JE yang menjadikan babi sebagai perumahnya. 

No comments:

Post a Comment