Saturday 2 March 2019

AGAMA LAIN BEBAS DIAMALKAN DI MALAYSIA


Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan berbunyi, Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Pengiktirafan Perlembagaan kepada pelbagai entiti Islam dan badan-badan seperti mahkamah syariah dan pihak berkuasa agama Islam yang diberi kuasa-kuasa yang jelas untuk menjalankan hal ehwal umat Islam adalah sejajar dengan semangat kerangka asas Perlembagaan itu sendiri.

Bukan Islam tidak perlu takut Malaysia akan menjadi negara Islam. Kita kekal kepada apa yang asal, bukan negara Islam dan bukan juga negara sekular. Inilah uniknya Malaysia. 

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dikekalkan dan agama lain boleh terus diamalkan. 

Islam itu menyeluruh memenuhi keperluan manusia. Islam diturunkan kepada manusia yang memerlukan panduan hidup. Islam adalah cara hidup yang bersandarkan kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT sebagai pencipta. 

Islam tidak hanya pada satu amalan atau tindakan sahaja. Islam bukan hanya difahami melalui hudud semata-mata. Persoalan hudud atau undang-undang jenayah Islam hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan wajah Islam yang menyeluruh.

Sesiapa yang melihat Islam sekadar hudud hanya akan menyempitkan pandangan orang terhadap Islam. Urusan kekeluarga, perniagaan, pendidikan, pemerintahan, pertahanan dan segala aktiviti kehidupan manusia ada garis panduan yang disediakan oleh Islam. 

Kita perlu melihat dan mengenali Islam secara menyeluruh. Jangan hanya terhad kepada hudud semata-mata. Kata seorang pemimpin, hudud hanya 0.0001 peratus daripada keseluruhan syariat Islam. 

Kalau kita tidak mampu melaksanakan yang 0.0001 peratus itu, tidak cacat iman kita. Apa yang penting jangan tolak atau menafikan itu hukum ditetapkan Allah. 

No comments:

Post a Comment