Wednesday 31 July 2019

Untung secupak rugi segantang

Pada April 2017, kerajaan BN dahulu bersetuju untuk membeli 4 kapal pesisir tentera laut yang canggih dari negara China dengan harga RM1.17 bilion.

Malaysia berunding dengan China dan semua pihak bersetuju bahawa 2 kapal akan dibina di negara China dan 2 lagi dibina di Malaysia oleh syarikat Boustead Naval Shipyard.

Tetapi, pada bulan Oktober 2018, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dengan persetujuan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu telah mengarahkan bahawa keempat-empat kapal itu akan dibina di China.

Dengan ini, Malaysia dikatakan dapat berjimat RM122 juta kerana kos kontrak baharu akan turun kepada RM1.048 bilion.

Kedua-dua mereka dikatakan pandai dan bijak apabila dapat menjimatkan RM122 juta wang rakyat.

Hakikatnya mereka berdua telah melakukan kesilapan besar. Syarikat Boustead ini milik siapa? Milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT). Jika dua kapal itu dibina di Malaysia, anak tempatan akan berpeluang mendapat kerja. Ada perpindahan teknologi. Malaysia boleh belajar.

Malaysia mampu membuat penyelenggaraan dan naik taraf kapal pada masa hadapan. Tidak perlu membayar begitu banyak kepada pihak asing pada masa akan datang. Tidak perlu semua bergantung kepada negara China.

Syarikat Boustead dapat keuntungan dan membayar dividen kepada LTAT. LTAT pula boleh bayar dividen kepada ahli-ahli.

Ada limpahan ekonomi dan ada kitaran wang dalam negara kita yang berkali-kali ganda lebih besar berbanding RM122 juta yang kononnya dijimatkan itu.

Sekarang limpahan ekonomi dan kitaran wang semua berada di negara China. Malaysia hanya menjadi pengguna sahaja. Perlu bergantung penuh kepada negara lain.

Boustead kehilangan peluang. Bererti LTAT dan ahli-ahli mereka tidak berpeluang   mendapat keuntungan yang sepatutnya diperoleh.

Ini yang dimaksudnya peribahasa "penny wise, pound foolish". Untung secupak rugi segantang. Peribahasa tersebut bermaksud pemikiran yang sempit dan tidak berpandang jauh.

No comments:

Post a Comment